Monday 19 July 2010

CHE’GU BARD BERJAYA TAWAN KG LALANG





Oleh: KREW SABAHKINI.NET


PERJUMPAAN yang berlangsung di Kg Lalang, Ulu Tomani Tenom berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Berduyun-duyun penduduk Kampung Lalang terutama ahli yang baru mendaftarkan nama sebagai ahli PKR membanjiri rumah kebudayaan di kampung berkenaan untuk mendengar sendiri penerangan halatuju PKR dan Pakatan Rakyat dan penjelasan dari Barisan Kepimpinan Negeri dan Pusat.

Antara pemimpin yang hadir ialah Ahmad Thamrin Hj Jaini, selaku Pengerusi MPN Sabah, Badrul Hisham Saharin atau lebin sinonim dengan panggilan Che’gu Bard dari Majlis Kepimpinan PKR Pusat serta Zuilkifli Ibrahim, EXCO AMK Pulau Pinang, Gunsibin Yosundang Ketua Penaja Cabang PKR Tenom dan Datuk Halik Zaman yang berusaha mendapatkan keahlian baru untuk PKR Cabang Tenom.

Banyak isu semasa yang telah diperjelaskan oleh Kepimpinan PKR Negeri dan Pusat. Rata-rata yang hadir merasakan begitu dihargai kerana kesudian pemimpin-pemimpin ini menjenguk serta bertemu muka dengan penduduk kampung di pedalaman.

Menurut mereka, pengalaman bertemu pemimpin ini tidak pernah mereka rasai kerana kepimpinan BN yang ada sekarang ini tidak pernah sudi untuk menjenguk apatah lagi bertanyakan khabar mereka.

Sani Kuak selaku Ketua Ranting Kg Lalang begitu bangga dengan kehadiran penduduk kampung yang menyatakan kesediaan mereka untuk melakukan perubahan dalam pentadbiran negeri menerusi kuasa undi PRU kelak.

"Kami rata-rata mahu pembaharuan maka itulah kami di kampung ini mahu berubah dari BN ke arah PKR," kata Sani Kuak.

Dalam ucapan Che’gu Bard, beliau merasa sungguh kecewa melihat jalan menuju ke Kampung Lalang yang masih bertanah merah dan tidak sempurna. Beliau juga menyatakan ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan BN telah lama memerintah negeri ini dan tiada sebarang kemajuan dan pembangunan infrastruktur dilaksanakan di sini.

Maka kerana itulah menurut Che’gu Bard lagi, peralihan kuasa harus dilakukan demi memperbaiki kehidupan penduduk kampung di pedalaman.

"Kalau anda dapat merubah dengan tidak memberikan undi kepada calon BN dalam PRU13 nanti, maka Pakatan Rakyat akan mengatasi masalah orang Murut di semua kawasan Tenom ini untuk merubah dari hidup miskin daif kepada rakyat yang senang dan berpendapatan tinggi dan dapatlah hidup senang sama taraf dengan rakyat yang berkemampuan," tegas Che’gu Bard.

Manakala Halik Zaman pula bercakap mengenai kos hidup rakyat yang melambung tinggi kerana katanya, hari ini harga minyak petrol dan gula pasir sudah dinaikkan oleh Kerajaan UMNO/BN.

“Bila minyak petrol Kerajaan UMNO/BN sudah dinaikkan maka sekaligus semua barang makanan pun dinaikkan oleh peniaga. Bukan peniaga yang salah tapi Kerajaan UMNO/BN yang salah kerana menaikkan harga petrol, maka ia melibatkan semua jenis barangpun naik. Kerana apa? Kerana harga pengangkutan pun mencanak tinggi," terang Halik.

Tegas Halik, gaji pegawai pegawai Kerajaan agak rendah, pendapatan orang kampung terlalu rendah, masih lagikah kamu sokong Kerajaan UMNO/BN? Masih lagi rakyat mahu undi calon BN sedangkan BN yang menaikkan harga kos hidup rakyat sedangkan Wakil-wakil rakyat BN terus diam membisu seribu bahasa.

Di akhir perjumpaan penduduk Kampung Lalang menyatakan rasa sukacita mereka di atas kesudian para pemimpin PKR turun padang dan sudi bersama-sama mereka di sebuah kampung yang paling terpencil di pedalaman, Sabah.

No comments:

Post a Comment