Sunday 25 July 2010

HUB-MAKANAN ‘1 MALAYSIA’ DI KENINGAU



Oleh: MAIL MATHEW

BERALASKAN minat dan kecenderungan menerokai industri pelancongan, maka timbul kesedaran untuk membuka lembaran baru dalam perniagaan restoran dan kali ini menjadikan kawasan pedalaman Sabah sebagai Hub-Makanan Halal 1Malaysia’.

Bangunan restoran tersebut diberi nama Pusat Restoran Pelancongan Pedalaman Keningau dibina sebuah tapak seluas dua ekar dengan kos kira-kira RM0.7 juta dijangka akan dirasmikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Demikian dinyatakan Pengurus Besar restoran tersebut, Frankie Tamin, 54, yang juga merupakan seorang usahawan bumiputra tempatan kepada Sabahkini.net di pejabatnya pagi tadi.

Restoran itu yang terletak di Kilometer 3, Lebuhraya Keningau-Tenom, berhampiran dengan simpang tiga Lebuhraya Nabawan-Tawau, merupakan satu-satunya kawasan strategik sebagai persinggahan bagi para pelancong sebelum beredar ke sesuatu destinasi yang dituju.

“Kita buat restoran ini atas kesedaran bahawa daerah ini yang kian membangun dan kerap dikunjungi pelancong luar, (jadi) kita mesti ada sebuah restoran yang besar dan selesa untuk mereka (pelancong) bersantai sambil menikmati juadah tempatan. Ia juga boleh dijadikan sebahagian daripada daya tarikan pelancong,” tegas Frankie.

“Selain penyediaan makanan halal pelbagai menu, kita juga menyediakan makanan masakan tempatan di kesemua 20 gerai atau kiosk jualan makanan,” tambah Frankie lagi.

Frankie yang sebelum ini telah mendapat sokongan dari pelbagai pihak terutamanya Pegawai Daerah termasuk Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Adun Sook Datuk Ellron Angin, tidak akan menghampakan hasrat kerajaan untuk menjadikan kawasan pedalaman sebagai tumpuan pelancong sepertimana yang digariskan didalam Program Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Restoran tersebut akan memulakan operasinya pada 28 Julai ini, di mana pihak pengurusan menjemput orang ramai dan tokoh-tokoh perniagaan di daerah Keningau untuk menikmati juadah yang disediakan di gerai-gerai dalam program ‘Sesi Mencuba Rasa’.

Bagaimanapun, Frankie menegaskan bahawa selepas perasmian restoran tersebut oleh menteri terbabit pada 9 Ogos, 2010, operasi restoran itu akan terus berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

No comments:

Post a Comment