Monday 26 July 2010

KEMATIAN WONG BUKAN KERANA REMPIT




Oleh: MAIL MATHEW


KETUA Polis Daerah Tenom, Deputi Suprintendan Polis (DSP) Mazlan Haji Lazim menasihatkan pihak tertentu agar tidak membuat sebarang andaian negatif dalam satu kemalangan jalanraya yang melibatkan kematian pejalan kaki Wong En Piau, 70, pada malam Ahad di hadapan Gereja Basel kira-kira 200 meter dari pekan Tenom.

Dalam kemalangan itu yang berlaku kira-kira jam 9.30 malam, kata Mazlan, mangsa mati serta-merta setelah dilanggar motosikal yang dipandu oleh seorang belia warga Murut tempatan berumur lebih kurang 26 tahun dan dipercayai mabuk dipengaruhi alkohol berlebihan.

Menurut DSP Mazlan, ketika itu mangsa melintas jalan di hadapan Gereja Basel untuk mengambil keretanya yang diletak di seberang jalanraya. Malangnya motosikal yang dipandu laju tertuduh dari arah Tenom ke Keningau melanggar mangsa.

Mangsa yang mati serta-merta di tempat kejadian dipercayai mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, patah kedua belah kaki dan berlaku pendarahan dalaman. Manakala tertuduh telah ditahan Polis untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, DSP Mazlan mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai suatu kemalangan jalanraya yang biasa berlaku sebaliknya bukan disebabkan konvoi motosikal atau lebih dikenali sebagai ‘Mat Rempit’.

“Disini (Tenom) mana ada Mat Rempit? Kita juga (PDRM) senantiasa mengadakan sekatan jalanraya pada malam hari sejak sebelum kejadian itu. Kita tak pernah jumpa Mat Rempit pun?m” tegas DSP Mazlan.

Sebelum itu, Ketua Liberal Demokratik Parti (LDP) Tenom Kapitan Ng Tet Hau meminta kerjasama pihak Polis agar serius menangani masalah gangguan bising akibat aktiviti konvoi motosikal yang sering berlaku ketika hujung minggu yang bukan sahaja mengganggu kelancaran aliran lalulintas; tetapi juga gangguan bunyi bising yang kadangkala menjangkau sehingga larut malam.

“Ada kalanya, kita tidak selesa melihat kelibat mereka (para konvoi) yang seakan akan berkelakuan liar bila memandu motosikal di jalanraya. Kejadian baru-baru ini mungkin salah satu ikhtibar kepada Polis untuk melakukan tugasan mereka secara proaktif lagi,” tegas Ng.

No comments:

Post a Comment