Sunday 18 July 2010

LONGGARKAN SYARAT SUBSIDI RAKYAT





GESA......Masiung menggesa agensi kerajaan agar melonggarkan syarat bagi membolehkan penduduk mendapat bantuan subsidi.


Oleh : SHAIMON S JUMADI

WAKIL Rakyat Kumat, Masiung Banah, menggesa kepada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Lembaga Tabung Getah supaya memberi kelonggaran syarat kepada para petani dan juga peladang yang tanah mereka tidak mempunyai geran untuk mendapatkan bantuan subsidi.


“Ramai di kalangan petani dan peladang yang bertahun-tahun lamanya mengusahakan tanah-tanah mereka dengan penanaman kelapa sawit, getah dan sebagainya telah terpinggir untuk mendapatkan sebarang bentuk bantuan daripada kerajaan ekoran ketiadaan geran-geran tanah mereka,” katanya.


Masiung berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Tongod Kali-3/2010 di sini kelmarin.


Selain itu, Masiung juga menggesa kepada pihak Jabatan Tanah dan Ukur supaya mengambil tindakan segera memproses pemohon-pemohon tanah yang mereka sudah ajukan sekian lama dan yang sudah diluluskan tetapi belum diukur; mestilah diukur dengan seberapa segera supaya pihak jabatan yang berkenaan dapat mengeluarkan geran masing-masing kepada pemohon tanah tersebut pada masa terdekat ini.


“Saya sebagai wakil rakyat di kawasan Kuamut akan sentiasa mengambil berat terhadap tanah-tanah yang bermasalah, kerana kita tahu ramai di kalangan petani dan peladang di kawasan ini yang sudahpun mengeluarkan hasil tetapi tanah-tanah mereka masih belum mempunyai geran lagi,” tegasnya.


Bagi tanah-tanah dan lot-lot yang terancang kata Masiung, beliau sudahpun ajukan kepada kerajaan untuk diproses dan saya sebagai wakil rakyat akan terus membantu dan memperjuangkan hak-hak orang kampung agar mereka dapat geran yang sah daripada jabatan-jabatan yang berkaitan.


Menyentuh mengenai peranan Pertubuhan Peladang, Masiung berasa bangga kerana melalui pertubuhan ini masyarakat kampung yang telah menjadi ahli dalam pertubuhan tersebut hidup mereka telah terbela kerana hasil masyhul yang diusahakan oleh pihak pertubuhan tersebut telah diageh-agehkan kepada ahli-ahli terbabit.


Tindakan dan usaha pihak pertubuhan tersebut membuka tapak semaian bagi penyemaian dan penanaman benih-benih sawit kata Masiung, merupakan satu usaha murni kerana dengan penjualan benih-benih sawit tersebut kepada para peladang sudah tentu mendapat pendapatan yang lumayan.


Mesyuarat yang diadakan di Dewan Serbaguna Tongod telah dihadiri lebih 500 orang ahli pertubuhan tersebut yang datangnnya dari pelbagai kampung.


Turut hadir pada majlis tersebut Pegawai Perhubungan ADUN Kuamut, Awang Gariman dan Penolong Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kinabatangan, Manaf Abdul Rahim.

No comments:

Post a Comment