Friday 23 July 2010

MDT LINDUNGI PENJENAYAH ALAM SEKITAR?




Oleh: MAIL MATHEW


ISU penebangan pokok kawasan perkadaran Majlis Daerah Tenom, iaitu di hadapan Sekolah Menengah (SM) Tshung Tsin, meskipun ia sudah berlalu kira kira dua minggu lepas, namun pihak pencinta alam masih ingin kepastian bentuk tindakan dari segi perundangan yang telah dikenakan oleh pihak tertentu khususnya Majlis Daerah Tenom.

Penolong Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tenom, Sami Jeman bagaimana pun sekadar dapat menjelaskan bahawa isu tersebut telah pun dikemukakan kepada Majlis Tindakan dan Pembangunan Daerah untuk tindakan lanjut ketika dihubungi Sabahkini.net pada Jumaat.

“Saya tidak dapat memberi butiran lanjut berhubung perkara itu kerana semasa mesyuarat dijalankan Pegawai Eksekutif yang menghadirinya. Walau bagaimana pun kena tunggu sedikit masa lagi,” jelas Sami.

Isu tersebut tercetus ekoran tindakan pengurusan SM Tshung Tsin yang menebang pokok besar tanpa kebenaran pihak majlis di mana pokok tersebut terletak di luar kawasan sekolah tersebut dan berada di lokasi kawasan perkadaran.

Dalam pada itu, selain tindakan itu dibantah oleh beberapa bekas penuntut sekolah tersebut tetapi juga ia turut menjadi kemarahan kepada pemimpin masyarakat hususnya pencinta alam yang mahu mempertahankan pengekalan pokok-pokok di kawasan pekan dan taman perumahan sebagai usaha penghijauan kawasan dari tekanan pemanasan global.

Salah seorang aktivis pencinta alam, Stanis Buandi, 35, yang lantang menyuarakan agar suatu bentuk tindakan tegas perlu dilakukan untuk menghalang trend pemusnahan pokok dalam kawasan pekan dan taman perumahan kerana perbuatan tersebut tidak mencerminkan tindakan positif ke arah pengurangan pemanasan global.

“Setiap sesuatu kes yang telah dirungkaikan, sudah pastilah ada penutupnya di mana masyarakat pencinta alam juga ingin tahu tindakan yang telah diambil sebagai suatu contoh kepada masyarakat umum berhubung ketegasan kerajaan dalam menguatkuasakan larangannya,” kata Stanis yang juga salah seorang Pegawai kerajaan.

Tegasnya, pihak majlis harus tegas dalam menguatkuasakan peraturannya supaya penjagaan pokok pokok yang boleh membantu mengurangkan haba dapat bertahan dalam masa masa seterusnya.

(NOTA: Pegawai Eksekutif MDT, Wolfred Gentiu tidak dapat dihubungi kerana menjalani mesyuarat di luar daerah).

No comments:

Post a Comment