Sunday 18 July 2010

RM3 JUTA UNTUK JAMBATAN MALAGATAN, TONGOD


LAWAT….Masiung bersama Pegawai Perhubungan ADUN Kuamut, Awang Gariman serta penduduk kampung Malagatan Kecil memeriksa jambatan usang yang perlu dibina semula.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

EKORAN tragedi yang meragut nyawa seorang penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod berusia 15 tahun di Kampung Malagatan Kecil, Tongod apabila motorsikal yang ditunggangnya terbabas, kemudian terjunam ke dalam sungai setinggi 200 kaki, Wakil Rakyat Kuamut, Masiung Banah memandang serius terhadap insiden tersebut.

Beliau yang melawat sendiri ke jambatan tersebut lokasi di mana mendiang Jerrely Jefri, maut di situ, mendapati jambatan berkenaan sepanjang 100 kaki dan 16 kaki lebar memang tidak boleh digunakan lagi sebagai laluan utama masyarakat kampung kerana sudah terlalu uzur dan menjadi punca kemalangan yang menyebabkan kemalangan maut.

Masiung berkata demikian kepada Ketua Biro Sabahkini.net sejurus selepas lawatannya ke kampung berkenaan kelmarin.

Mengenai masalah jambatan tersebut kata Masiung, beliau sudahpun mengajukan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) pada tahun 2008 lagi dan kerajaan negeri telahpun memperuntukkan RM3 juta untuk membina jambatan konkrit bagi menggantikan jambatan kayu yang sudah usang itu.

“Tetapi malangnya sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak JKR. Jadi saya harap jangan ada lagi kehilangan nyawa baru mahu bertindak,” ujar Masiung yang kesal dengan kejadian malang yang menimpa pada pengundinya.

Memandangkan jambatan tersebut merupakan laluan utama kepada masyarakat kampung Malagatan Kecil dan kampong sekitarnya, maka selaku Wakil Rakyat, Masiung mendesak agar JKR membina segera jambatan tersebut dengan peruntukan yang sedia ada dalam masa yang singkat.

“Kita tidak mahu ada lagi penduduk kampung lainnya menjadi nahas korban di jambatan tersebut dan buat sementara waktu ini sebelum pihak JKR membaik pulih jambatan berkenaan saya nasihatkan mereka yang mempunyai kenderaan berat melebihi satu tan agar tidak menggunakan jambatan ini kecuali untuk motorsikal dan pejalan kaki sahaja, itupun harus berhati-hati,” tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment