Thursday 29 July 2010

SYUKUR KERANA MENJADI TETAMU ALLAH




SALAM MESRA...Datuk Nasir (tengah) diringi Mohamad Ahamadur (dua kanan) dan Tahir Amir (kanan) bersalaman dengan sebahagian bakal haji Semporna.

Oleh: ARSHAD HUSSIN

MENTERI Di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran mengingatkan semua bakal jemaah haji sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan Tabung Haji Malaysia dan Kerajaan Negara Arab Saudi serta merujuk kepada Tabung Haji Malaysia sekiranya berhadapan dengan masalah semasa menjalankan ibadah haji.

Katanya, bakal jemaah haji juga perlu mengamal dan memanfaatkan ilmu yang diperolehi semasa berkursus haji disamping menjaga kesihatan serta banyak bersabar semasa berada di tanah suci Mekkah Al-Mukarramah kelak.

Nasir berkata, ibadat haji adalah ibadat yang memerlukan kekuatan diri dari segi mental dan fisikal untuk menunaikan rukun Islam kelima itu dengan lebih selesa dan lancar.

Sehubungan itu Nasir menasihatkan bakal-bakal jemaah haji yang terpilih menunaikan haji tahun ini sentiasa bersyukur sebagai tetamu Allah dengan melaksanakan rukun-rukun haji dan umrah dengan sempurna serta bersungguh-sungguh kerana Allah SWT.

Katanya, tujuan ke tanah suci perlulah jelas serta mestilah ikhlas dengan niat dan tujuan semata-mata kerana Allah untuk menunaikan ibadat haji rukun Islam yang kelima.

Datuk Nasir yang juga Menteri Bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, menjelaskan niat yang ikhlas melahirkan ibadat yang sempurna dan akan mendapat ganjaran pahla yang besar daripada Allah SWT.

Datuk Nasir berkata demikian sempena merasmikan Kursus Haji Bersiri bagi Daerah Semporna di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Semporna.

Hadir sama sempena majlis itu Pengurus Tabung Haji Daerah Semporna, Haji Mohamad Haji Ahamadur; Pemimpin Unit Kemajuan Rakyat Kawasan Senallang, Haji Tahir Haji Amir; Ketua Daerah Semporna, OKK Haji Musa Sabaani dan Pegawai kanan JHEAINS Semporna, Haji Ahmad Mokhtar.

Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) Kawasan Senallang, berkata perjalanan ke Bitullah bukanlah semudah yang diucapkan kerana kos perbelanjaan yang digunakan adalah hasil daripada jerih payah yang sekian lama dikumpul sedikit demi sedikit secara menabung melalui Lembaga Tabung Haji untuk menunaikan fardu haji hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Nasir turut menasihatkan peserta-peserta kursus bakal haji yang belum lagi disahkan menunai haji hendaklah bersabar dan berdoa semoga niat mereka akan tercapai apabila usaha penambahan kouta haji tahun ini diluluskan.

Bakal jemaah haji Semporna pada tahun ini yang telah disahkan seramai 122 orang sementara 175 orang masih lagi dalam senarai menunggu pengesahan.

Kesemua bakal jemaah itu dijangka akan berangkat ke Mekah pada 09 Oktober 2010.

No comments:

Post a Comment