Sunday 18 July 2010

TIMBALAN MENTERI LAWAT SEKOLAH DAIF




Oleh: MAIL MATHEW

MASALAH kedaifan dua buah sekolah di Tenom iaitu SK Kalang Kanar dan SK St Anthony telah mendapat perhatian Timbalan Menteri Pelajaran, Haji Mohd Puad Zarkashi yang seterusnya akan mengemukakan masalah itu kepada kerajaan, khususnya pihak Kementerian untuk tindakan seterusnya.


Haji Mohd Puad dalam rangka lawatan beliau di sini pada Jumaat sempat melawat SK Kalang Kanar yang mengalami masalah tapak sekolah tersebut sering dilanda banjir sejak tahun 2007; kerana selain kedaifannya selepas banjir tidak dapat dibaikpulih, bangunan itu turut disahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak selamat untuk digunakan lagi.


Manakala SK St Anthony selain bermasalah kerana tidak mempunyai kemudahan tapak ko-kurikulum termasuk kedaifan bangunan, tebingan mengalami runtuhan dan risiko menghempap dinding sekolah terbabit ketika musim hujan.


Sebelum itu, Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Tenom, Ajmal Haji Jumah dalam taklimatnya kepada Timbalan Menteri itu berkata bahawa masalah kedaifan dan pendawaian semula SK Kalang Kanar perlu dilakukan dalam masa terdekat sepertimana terkandung dalam permohonan yang dikemukakan sebelum ini.


Tegasnya lagi, keperluan pembaikan itu dilakukan sebelum memiliki bangunan baru adalah semata-mata untuk mengelakkan sesuatu perkara buruk akan berlaku.


Menurutnya selain pendawaian, kabin dan 2 bilik darjah termasuk logistik dianggarkan RM377,000 telah pun dikemukakan untuk kelulusan.


Sementara itu, ketika Puad melawat tapak baru yang dicadangkan untuk SK Kalang Kanar dan beliau diberi taklimat oleh Pengerusi PIBG sekolah terbabit Walter Mailap yang menerangkan bahawa kawasan tapak baru adalah amat sesuai kerana terletak di lokasi pertengahan kepadatan penduduk di situ, serta bebas daripada masalah banjir.


Turut serta dalam lawatan beliau Adun Kemabong Datuk Rubin Balang; PPD Ajmal Haji Jumah; Exco Pemuda Umno Pusat Jamawi Jaafar; Sadim Abdul Ketua Sektor Pengurusan dan Pembangunan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPN) dan Albeari Binsin merupakan wakil khas daripada Pengarah JPN Sabah.


Pengerusi PIBG St Anthony mantan Adun Kemabong Esar Andamas dan PBG SK Kalang Kanar masing masing menyerahkan memo dan dokumen berkaitan masalah kedaifan sekolah kepada Timbalan Menteri itu untuk tindakan lanjut.


No comments:

Post a Comment