Thursday 22 July 2010

TUDUHAN CHIN TIDAK BERASAS!



Saudara Pengarang,

TUDUHAN liar Chin Khin Lai daripada ‘LDP’ menghentam Sabahkini.Net yang bertajuk ‘Sabahkini.Net Melindungi Penjenayah’ yang tersiar di web ini, amat mengecewakan dan tidak berasas sama sekali.

Saya selaku Ketua Biro Sabahkini.Net, Wilayah Sandakan menyifatkan tuduhan Chin terlalu kebudak-budakan.

Chin sepatutnya tidak boleh menghentam atau menuduh Sabahkini.net sebagai web pelindung penjenayah yang boleh disewa beli kerana ianya merupakan tuduhan liar dan berniat jahat.

Saya rasa Chin tahu peranan Sabahkini.net yang banyak membongkar penyelewengan saudagar-saudagar ‘haram’ dalam beberapa hal. Kalau Chin mahu menghentam Divid Fong, hentam saja tapi jangan babitkan nama baik Sabahkini.net dengan tuduhankononnya boleh dibeli atau disewa dengan sesuka hati.

Setiap berita yang disiarkan bukan sekadar melepas batuk di tangga sahaja. Sebagai wartawan veteran selama 33 tahun, apa saja berita yang saya terima, yang hendak disiarkan di mana-mana media termasuk Sabahkini.net, semuanya berdasarkan fakta terutama maklumat prima dan sekunder yang melampaui keraguan munasabah.

Terpulanglah, sama ada dakwaan seseorang itu benar dan sebaliknya. Yang penting, kita sudah dapat dan memegang salinan surat atau dokumen daripada mereka yang membuat dakwaan.

Saya ingin memberi amaran secara ‘Gentlement’, jika Chin ini bermain api dengan Sabahkini.net, adalah lebih baik jangan cuba bermusuhan atau mencipta sengketa dengan wartawan atau Sabahkini.net yang menjadi wadah masyarakat majmuk meluahkan isi hati mereka.

Jika Chin ingin menghentam sikap atau dakwaan David Fong, silakan kerana kami tidak boleh melarang tetapi, jangan sekali-kali melibatkan dan menjatuhkan nama baik Sabahkini.net.

Saya terbaca bukan sedikit artikel LDP yang tidak senang dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj Aman. Apa punya parti LDP ini kerana sanggup menghentam komponen BN atau tergamak menikam Ketua Menteri dari belakang.

Ahli-Ahli UMNO dan BN cuba baca artikel Chin Khin Lai dengan teliti. Adakah patut dia suruh Sabahkini.net hentam Ketua Menteri Sabah?

Saya juga adalah salah seorang penyokong kuat BN saya dapat rasakan LDP tidak begitu senang dengan UMNO. Kalau Chin rasa tidak senang dengan BN, ada baiknya sertai PKR atau tubuh Parti Barisan Pakatan Rakyat Sabah. Itu adalah jalan terbaik untuk LDP.

Sebagai wadah masyarakat, Sabahkini.net akan terus mara ke hadapan untuk membela rakyat yang hidup terhimpit dan sanggup menyiar kenyataan Chin sekalipun menghentam Sabahkini.net. Bukankah ini bukti Sabahkini.net liberal dan lebih liberal daripada LDP!

Salam Hormat,

SHAIMON JUMADI

(KETUA BIRO SANDAKAN)

No comments:

Post a Comment