Monday 30 August 2010

MERDEKA! KERANDA UNTUK SIAPA?



Oleh: MUTALIB M.D

JIKA bom ikan yang dilemparkan ke rumah saya oleh orang suruhan Mantan Adun Lahad Datu, Datuk Haji Mohd Yusof Amat Jamlee meletup pada 1999; atau jika saya tidak cepat mendapatkan rawatan mata yang disembur asid setelah diserang curi oleh tiga orang upahan Yusof Jamlee, mungkin saya tidak lagi dapat menulis di ruangan Jendela Kuasa pada hari ini.

Serangan demi serangan fizikal dan mental yang dilakukan oleh orang suruhan Yusof Jamlee termasuk serangan beliau sendiri dan pemimpin Sabah yang lain termasuk Tun Sakaran Dandai, tidak pernah mematahkan semangat saya untuk menulis dan terus menulis membongkar kejalangan pemimpin yang telah mencemarkan nama baik UMNO, terutama yang terlibat dan bersubahat dengan Sindiket Kad Pengenalan Palsu dan IC Projek.

Walaupun tembuni saya ditanam di Kampung Parit Panjang, Mukim Lanai, Baling Kedah dan sewajarnya saya tidak harus menggadai nyawa memperjuangkan hak rakyat Sabah, namun tembuni anak-anak dan isteri saya ditanam di Sabah; apatah lagi mereka tidak berpeluang lahir dua kali seperti warga Indonesia, Filipina, Pakistan, India dan China yang mendapat kad pengenalan projek; maka saya terpaksa teruskan perjuangan yang belum berakhir ini secara ‘keseorangan’ kerana sikap berkecuali rakyat Sabah yang enggan memberikan sokongan material dan moral secara terbuka.

Dalam keadaan terkial-kial memburu hidup di penjuru nasib, saya terpaksa menggunakan segala simpanan yang ada untuk meneruskan perjuangan melalui http://www.sabahkini.net dan http://sabahkinimirror.blogspot.com kerana derma rayuan saya untuk mendapatkan dana bagaikan dipersenda kerana sejak dilancarkan tabung berkenaan, saya hanya menerima RM50 sahaja.

Kos untuk menyelenggara Sabahkini.net bukanlah murah kerana bukan sahaja terpaksa membaiki server yang sering digodam oleh penggodam professional yang diupah pemimpin dan musuh Sabahkini.net; malah terpaksa membayar gaji pekerja dan pemberi maklumat untuk mendapatkan maklumat yang sahih demi untuk menjaga kredibiliti Sabahkini.net yang ditohmah sebagai ‘Agen Yahudi’ untuk meruntuhkan Barisan Nasional atau portal milik pembangkang.

Sampai satu kemuncak, seorang pemimpin Sabah menawarkan RM2 juta dan dinaikkan sehingga RM20 juta untuk membeli Sabahkini.net dan diri saya agar tidak lagi menulis dan boleh menghabiskan sisa hidup di luar negara sebagai jutawan ‘fikir’ yang kaya kerana menjual fikiran dan maruahnya.

Memandangkan Sabahkini.net bukanlah untuk dijual, maka saya menolak semua tawaran kerana saya percaya suatu hari nanti, di saat saya menutup mata, ada warga Sabah akan meneruskan perjuangan saya yang entah bila akan selesai.

Sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan Malaya (yang diwar-warkan sebagai kemerdekaan Malaysia, sedangkan pada 1957, Malaysia hanya ada dalam kotak fikir Tun Mustapha); maka saya menyeru rakyat Sabah yang ada maruah bangkit bersama semangat saya untuk memperjuangkan Sabah daripada sebarang bentuk penjajahan alaf baru dan petualangan anasir subversif seperti ‘Warganegara Penyu’ iaitu rakyat asing yang mendapat kerakyatan Malaysia secara tidak sah setelah mengoyak Perlembagaan Persekutuan.

Saya tidak mahu, satu hari nanti anak cucu saya akan kencing di kuburan saya disebabkan mereka marah kerana saya tidak berani menentang petualang yang ingin menjajah negara ini melalui percambahan klon baru manusia yang ‘bertubuh ayam tetapi berhati helang’ sehingga mereka menjadi pelarian di tanah air mereka sendiri.

Kehilangan 600,000 warganegara Indonesia, 300,000 warganegara Filipina, 50,000 warganegara China, 30,000 warganegara India dan 20,000 warganegara Pakistan setelah memasuki negara ini masih menjadi misteri bagi kerajaan yang terpaksa bersikap menyapu sampah ke bawah permaidani.

Walaupun hidup saya ibarat kais pagi belum tentu makan petang, namun saya sudah meninggalkan wasiat yang paling berharga kepada isteri dan anak-anak dalam bentuk buku iaitu IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah; Pengundi Untuk Disewa; IC PROJEK Agenda Tersembunyi Mahathir? dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir; namun saya kesal kerana tidak dapat meninggalkan apa-apa khazanah buat rakyat Sabah yang masih berperang dengan pemimpin yang gila kuasa, rasuah dan khianat.

Sehubungan itu, saya menyeru agar rakyat Sabah yang cintakan negeri ini agar berganding bahu bersama saya membantu memerangi pemimpin yang rasuah, salahguna kuasa, menjadi petualang dan pengkhianat negara kerana saya yakin bahawa pena lebih berbisa daripada mata pedang!

Saya tidak lagi mengharapkan sebarang bantuan kerana rayuan derma yang saya siarkan di Sabahkini.net seperti pengemis jalanan yang meminta kepada mereka yang tidak sudi memberi walau satu sen di belah tujuh, namun sanggup mengeluarkan ratusan ribu untuk membantu rakyat asing atas nama semangat kejiranan.

Saya hanya memerlukan kerjasama anda agar terus memberikan sokongan moral dengan menghantar email jika ada sebarang isu yang ingin dibongkar demi membina masa hadapan Sabah yang cemerlang.

Selamat Menyambut Ulang tahun Kemerdekaan Malaya yang sebenarnya sebuah keranda yang disediakan khas untuk kita, tetapi siapalah yang bertuah menempah keranda berkenaan kerana Sabah hanya merdeka pada 16 September 1963 yang telah diaku terima secara rasmi sebagai Hari Malaysia pada tahun lalu?

APAKAH DOSA KAMI SEHINGGA DIHINA SEBEGINI?


GIRING.... Mereka digiring persis anjing kerana menggunakan gari dan rantai anjing sedangkan mereka bekerja secara sah. Inspektor Polis ini mempunyai rekod buruk di Tingkayu Gate, kini mencipta nama di Latangon Gate.

Oleh: HAFIZ JAMAIL

SERAMAI enam orang pekerja asing Indonesia yang menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara merayu Konsulat Indonesia di Malaysia membela maruah mereka yang dihina oleh 100 orang Polis Malaysia yang menyerbu mereka di waktu subuh menjelang satu Ramadan dan menahan mereka di dalam lokap yang sempit selama empat hari tanpa sebarang kesalahan jenayah.

Turut mendukacitakan, kesemua isteri dan anak-anak mereka seramai 35 orang berusia antara 35 hari hingga 13 tahun turut disumbat ke dalam lokap yang sempit dan kotor bersama tahanan yang lain tanpa belas kasihan.

“Apa dosa kami pak? Kami cuma kerja ngikut arahan majikan. Kami nggak ada salah apa-apa pak. Kenapa kami ditangkap? Kasian anak-anak kami, kayak anjing dikandang (kurung) begitu,” ujar Bahlan Bin Pabe yang kesal kerana Konsol Indonesia di Tawau enggan membantu mereka walaupun majikan sudah melaporkan berhubung tangkapan mereka.




KEJAM.... Betapa kejamnya polis Malaysia kerana mengheret wanita dan kanak-kanak ke kancah jenayah sedangkan mereka tidak tahu apa-apa. Apakah kanak-kanak dan wanita ini dijadikan Sandera (Tebusan)?


Kata Bahlan, mereka diambil bekerja secara sah oleh Gabungan Saga Sdn.Bhd, konktraktor yang menguruskan kontrak perladangan dengan OKK Hassnar MP Ebrahim sejak tiga bulan lalu tidak menyangka polis Malaysia akan bertindak secara kasar tanpa perikemanusiaan, terutama terhadap wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

“Mereka begitu tega jadikan kami sandera (tebusan) agar majikan kami tampil. Tetapi apabila majikan kami datang untuk bebaskan kami, mereka (polis) nggak apa-apa in majikan kami,” ujar Bahlan yang mendengar perbualan polis bahawa alasan mereka ditahan ialah untuk memaksa majikan datang ke balai polis bagi menghadapi dakwaan.

Kata Bahlan, beliau terkejut kerana tidak menyangka dakwaan rakan yang baru pulang dari Malaysia bahawa polis Malaysia kejam adalah benar kerana sebelum ini beliau mengganggap mereka sengaja mahu menakut-nakutkan beliau agar tidak datang ke Malaysia.

“Walau polisi (polis) beragama Islam, tapi nggak punyai perasaan sesama agama. Apalagi kami ngerjain ibadah puasa. Apa salah itu ibu-ibu dan anak-anak kok sama ditangkap kayak banjingan? Mereka kan nggak tau apa-apa. Kan baik kalau mereka biar saja di rumah. Biar kami saja yang digiring ke balai,” ujar Bahlan yang kesal kerana rayuan mereka tidak diendahkan polis Malaysia.

Kesemua mereka termasuk seorang lelaki warga tempatan, Mohammad Bin Awang ditahan di bawah Seksyen 448, Kanun Keseksaan berdasarkan Laporan Polis Kinabatangan/1487/2010.

Enam pekerja asing Indonesia yang menggunakan pas lawatan kerja sementara yang ditahan ialah;

01. Busry Bin Rahmat

02. Yusuf Duren

03. Jerry Bin Kassim

04. Jusman Bin Gasing

05. Bahlan Bin Pabe

06. Udin Bin Ary Sad

Manakala isteri pekerja yang ditahan terdiri daripada;

01. Harni Binti Lahari

02. Rosma Binti Made

03. Augustina Paulus

04. Faridah Bin Randu

05. Tina Bte Sukardi

06. Rosdianah Bte Made

07. Sudarmi Bte Made

08. Yusmah Bte Wahidin



KASIHAN....Betapa pilunya saudara mara ibu malang ini di Indonesia kerana mendapat khabar ibu yang masih dalam pantang dan anak kecil yang berusia 35 hari terpaksa bermalam di Lokap berlantaikan simen tanpa selimut. Masih adakah perikemanusiaan di kalangan polis?


Dalam pada itu, Krew Sabahkini.net berjaya menghubungi Mantan Ketua Daerah Sandakan, OKK Hassnar MP Ebrahim, pemilik benefisial tanah berkenaan untuk mendapatkan ulasan.

Menurut Hassnar, tiga hari sebelum puasa, beliau telah memberi cuti tanpa rekod kepada para pekerja ladang warganegara Indonesia selama tiga hari agar mereka dapat menyambut kedatangan Ramadan dengan selesa.

Namun menjelang subuh, 13 Ogos 2010, di antara jam 3.00 hingga 5.00 pagi satu battalion polis seramai 100 orang telah dikerah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Kinabatangan, DSP Jaini Abdul Kadir menangkap tujuh pekerja ladang termasuk seorang warga tempatan yang mempunyai pasport dan permit kerja yang sah.

Menurut OKK Hassnar, Polis mempunyai niat malafide menangkap para pekerjanya dan pekerja kontraktor pada subuh Jumaat agar dapat memberi tekanan kepada pekerja supaya berhenti kerja kerana mereka tidak dapat dijamin keluar selepas tempoh 24 jam kerana cuti umum.

“Sifat khianat Iblis dan otak Syaitan yang ada dalam kepala Pesuruh Jaya Polis Sabah dan Ketua Polis Daerah Kinabatangan menunjukkan betapa pengecutnya mereka kerana hanya berani menangkap pekerja yang tidak mampu melawan,” Ujar Hassnar dengan nada kesal dengan peristiwa melontar najis ke Kedutaan Malaysia di Indonesia dan membakar bendera jalur gemilang kerana marah dengan layanan buruk kerajaan Malaysia terhadap warga Indonesia.

Menurut Hassnar, dua orang pegawai kanan polis (Noor Rashid dan Jaini) sewajarnya dipersalahkan kerana membangkitkan kemarahan rakyat Indonesia dengan menahan mereka yang tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak kecil yang tidak tahu apa-apa.

“Mereka terlalu bacul kerana tidak berani menangkap saya, sebaliknya menangkap pekerja Indonesia yang mempunyai permit yang sah dengan pelbagai tuduhan palsu termasuk menceroboh tanah berhak milik,” kata Hassnar yang mendesak Ketua Polis Negara menukar dua pegawai polis ini yang telah disamannya kerana salah laku dan salahguna kuasa polis pada 2007.

Kata OKK Hassnar, Noor Rashid dan Jaini mungkin dalam keadaan terdesak terpaksa mengikut arahan ‘Taukey’ Cina (kemungkinan akibat sogokan) yang menggunakan Sijil Anak Negeri Palsu melakukan kezaliman kepada warga Indonesia yang bekerja secara sah.

Sehubungan itu, OKK Hassnar meminta Ibu Pejabat Polis Bukit Aman agar menjalankan siasatan kenapa Noor Rashid dan Jaini menyalah gunakuasa polis mengerah 100 orang polis menyerang ladangnya yang masih dalam pertikian mahkamah, sedangkan polis tidak mempunyai bidang kuasa menceroboh tanah berhak milik, apatah lagi jika masih dalam perbicaraan di Mahkamah Undang-Undang.

“Saya menggesa agar Konsol Indonesia campurtangan kerana warga negara mereka yang bekerja secara sah menerima layanan buruk daripada Polis Di Raja Malaysia yang langsung tidak berperi kemanusiaan,” kata OKK Hassnar yang mengakui sedang menyediakan laporan rasmi untuk dihantar kepada Konsol Indonesia dalam masa terdekat.

Menurut OKK Hassnar, kejadian ini mengulangi serangan polis pada 27 November 2007 di ladang berdekatan dengan kejadian terbaru. Ketika itu, Noor Rashid dan Jaini yang menerima arahan daripada ‘Mafia Perladangan’, Kwan Bersaudara (Kwantas Corporation Berhad) mengerahkan lebih 200 orang anggota polis pelbagai pangkat yang lengkap bersenjata menyerbu tanah bergeran dan menangkap 17 pekerja yang berdokumen dengan mencipta tuduhan palsu, kononnya mereka ‘mengadakan perhimpunan haram’.

Akibat daripada serbuan haram polis tersebut, OKK Hassnar telah memfailkan saman terhadap Noor Rashid, Jaini dan lebih 50 pegawai polis yang telah menyalahguna kuasa mereka menyerbu ladangnya yang mempunyai geran hak milik pada jam 2 pagi untuk merampas semua parang dan tombak yang digunakan untuk bekerja di ladang. Kes tersebut akan dibicarakan pada September 2010.


WAJAH..."Apakah mereka yang berjubah polis ini layak digelar manusia jika berperangai Iblis dan berwajah Syaitan?" kata OKK Hassnar.


“Saya amat sedih dengan sifat kebinatangan CP dan Jaini yang tidak berhati perut menyumbat wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa ke dalam lokap yang sempit dan berbau busuk seperti kandang babi dalam keadaan mereka berpuasa. Di mana Jabatan Kebajikan dan SUHAKAM?,” getus OKK Hassnar dengan nada kesal kerana polis Malaysia sengaja mencetus kemarahan agar warga Indonesia di Sabah memberontak.

Walaupun kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah empat hari ditahan di lokap, namun kata OKK Hassnar, tidak dapat membasuh dosa ‘The Satanic Police’ Noor Rashid dan Jaini yang sewajarnya diberi hukuman berat dan digantung tugas masing-masing setelah beliau memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu awal tahun ini.

PERJANJIAN SYAITAN UNTUK MENDARAT DI NERAKA?



Oleh : NASPAZI

Paradigma Terbuka Kepada Warga Sabah,

‘Siapa kau?’ atau ‘orang yang jahil!’ merupakan menu utama dalam ungkapan puitis segelintir warga Malaya untuk merendah-merendahkan martabat warga Sabah yang sanggup melahirkan pandangan bercanggah dalam pelbagai bentuk perbincangan.

Yang demikian, jika dihayati frasa tersebut di atas secara holistik, seolah-olah menepati kenyataan Melayu UMNO yang akhir-akhir ini begitu ghairah dan bernafsu mewar-warkan Sabah sebagai negeri yang termiskin di Malaysia.

Hakikatnya ialah, merekalah sebenarnya yang muflis akal budi tanpa sedikit perasaan malu, lantaran merekalah yang bertanggungjawab menjadikan Sabah termiskin gara-gara pendekatan politik khianat dan curang mereka dalam melaksanakan orientasi pimpinan gagasan bernegara persekutuan yang didasari oleh ‘Perjanjian 20 Perkara’ sebagai syarat persetujuan pembentukan Malaysia. Pada hal, suatu ketika dahulu, Sabah merupakan negeri yang terkaya di Malaysia.

Sesungguhnya, betapa pendekatan politik jijik dan curang melayu UMNO adalah C4 kepada warga tulen Sabah. Tatacara atau budaya politik kebinatangan Melayu UMNO juga mengesahkan paradigma saya terhadap mereka sebagai ‘sarjana agung dalam berbohong.’

Nyata bahawa, Ketamakkan harta dan kerakusan kuasa mendorong mereka untuk sentiasa berbohong, terus berbohong dan selamanya berbohong ketika berfikir, bercakap dan menulis. Yang demikian, corak dan langkah tindakan mereka juga mencerminkan kebohongan dan penipuan melampau.

Adilkah Melayu UMNO yang memaksa warga tulen Sabah menerima pendatang haram dari Pakistan, Filipina dan Indonesia yang diberikan (IC Projek) oleh mereka sebagai warganegara Sabah atas alasan demi kewujudan kerajaan Sabah yang berteraskan Islam?

Manakala pembohongan demi kewujudan kerajaan Perak yang berteraskan Melayu pula mereka canangkan dalam usaha merompak Perak dari pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat.

Menyentuh soal kaum dan agama yang dijadikan senjata berbahaya oleh Melayu UMNO sejak sekian lama. Betapa Melayu UMNO telah menjadikan kaum dan agama sebagai talian hayat yang sangat berbahaya untuk mengekalkan kuasa, hatta menghancurkan warga tulen Sabah, sebagaimana isu demi survival agama Islam yang telah mereka mainkan di Sabah, dengan menghalalkan pemberian Kad Pengenalan Projek kepada pendatang haram Pakistan, Filipina dan Indonesia dengan gertak dan ugut wajib mengundi Melayu UMNO atau calon BN dalam sebarang pilihan raya, sehingga bilangan mereka pendatang haram kini mungkin lebih ramai berbanding dengan warga tulen Sabah.

Persoalannya, apakah benar bahawa negara dan warga tulen Sabah memperoleh keuntungan maksima hasil dari tingkah laku Melayu UMNO tersebut? Adakah kemungkinan atau tidak kemungkinan, bahawa pada suatu masa kelak warga tulen Sabah akan terbit penyesalan yang mendalam angkara kedurjanaan melayu UMNO kini?

Sesungguhnya, betapa kaedah dan tata cara berpolitik Melayu UMNO bukan sahaja amat berbahaya kepada kerukunan dan keharmonian bermasyarakat dan bernegara dalam konteks Sabah yang telah diiktikraf di era awal penubuhan Persekutuan Malaysia, bahkan dari sudut pertimbangan jangka panjang sangat mengancam kelangsungan dominan warga tulen Sabah.

Justeru, saya tegaskan kepada seluruh warga tulen Sabah, bahawasanya rentak dan multikhianat politik Melayu UMNO bakal meletupkan warga tulen Sabah dengan C4 untuk dikubur di lembah kehancuran tanah air sendiri.

Kepada juak-juak, barua-barua, boneka-boneka dan talibarut Melayu UMNO di Sabah yang begitu tamak dan rakus, lapar dan dahaga kepada kuasa melalui rasuah, penipuan, pembohongan, gertakan dan ugutan dalam pelbagai wajah dengan memadamkan pelita demokrasi bagi rakyat membuat pertimbangan yang saksama, sedarlah bahawa jangka hayat kamu juga akan berakhir dan jika perlu akan dicatat dalam sejarah sebagai manusia bajingan yang wajar ditimpakan dengan kutukan abadi.

Betapa budaya jahat dan durjana bangsa melayu dalam hikayat melayu seperti tipu-menipu, bohong-membohong, belot-membelot dan fitnah-memfitnah yang diwakili oleh Si Kitol dan Raja Mamak Mendaliar, kini berlaku di hadapan mata khalayak negara dan antarabangsa. Tegasnya, semua budaya jijik para pembesar Melayu silam, kini dilakukan semula oleh Melayu UMNO yang gigih dipertahankan oleh segelintir cendekiawan dan multimedia upahan Melayu UMNO.

Dengan ungkapan lain, Melayu UMNO telah menunggangi segala media, termasuk polis, hakim ‘korek-korek’ serta para doktor bagi menegakkan benang basah mereka dengan segala jenis penipuan dan pembohongan terjijik kepada warga marhaen sebagai pencacai dan pelengkap kepada ruang kesarjanaan agung Melayu UMNO dalam berbohong. Saya sungguh hairan, bagaimana para cendekiawan yang gagal membaca politik menegakkan benang basah Melayu UMNO.

Ungkapan kata jasa sering dikumandangkan oleh Melayu UMNO untuk mewajarkan mereka terus berkuasa dan memerintah negara. Yang demikian, mereka mendakwa bahawa Sabah dan Sarawak patut bersyukur kepada Malaya, kerana kononnya Sabah dan Sarawak maju sebab masuk Malaysia.

Cisss! Siapa sebenarnya yang masuk Malaysia? Tiada siapa yang masuk Malaysia, kerana Malaysia dibentuk bersama oleh Malaya, Sabah dan Sarawak yang ditandatangani pembentukannya pada 9 Julai 1963 oleh Harold Macmillan (wakil British), Tunku Abdul Rahman (wakil Malaya), Datu Mustapha (wakil Sabah), Philip Ernest Housden Pike (wakil Sarawak) dan Lee Kuan Yew (wakil Singapura).

Yang demikian, saya menganggap mereka yang berkata Sabah masuk Malaysia sebagai keldai dan lagi, bagi mereka yang berkata Malaysia wujud pada 1957 sahih keldai yang gila, gamaknya.

Jasa juga bukan penanda aras untuk tidak mewajarkan perubahan kepimpinan dan kerajaan. Sementelahan, dalam usaha menukar pemerintah dan kerajaan dalam negara yang mendakwa demokrasi bukan suatu pengkhianatan yang layak untuk dihantar ke tali gantung. Saya juga percaya bahawa, seseorang pemimpin mestilah atau wajiblah mempamerkan contoh tingkah laku moral yang terbaik kepada masyarakat kerana najis tidak boleh membersihkan najis. Saya juga yakin bahawa, setiap pemimpin, bahkan setiap orang yang sanggup menipu dirinya sendiri, sudah pasti sanggup juga untuk menipu orang lain.

Dengan kata lain, kuasa yang dimiliki atas dasar penipuan dan ugutan semasa dalam proses mencapai kuasa tersebut, seperti menipu undi dalam pilihanraya, mengugut dan menggertak para pengundi supaya mengundi Melayu UMNO, sudah pasti pimpinan Melayu UMNO sanggup juga untuk menipu, mengugut dan menggertak masyarakat semasa mereka menggunakan kuasa yang telah mereka genggam hasil dari mandat rakyat yang mereka telah tipu, ugut dan gertak sebelumnya.

Natijahnya ialah, kerajaan Malaysia yang dibentuk atas dasar penipuan, ugutan dan gertakan semasa pilihanraya bukan lagi cerminan dari ketulusan akal budi masyarakat sebagaimana yang dinyatakan oleh John Stuart Mill (1806-1873) bahawa, standard kerajaan sesebuah negara adalah ukuran dari standard pemikiran warganegaranya yang memberi mandat kepada pimpinan atau penguasa yang membentuk kerajaan. Justeru, dengan meneruskan kewujudan melayu UMNO di Sabah hanya akan menjadi parasit kepada warga tulen Sabah.

Bahkan, lebih bijak seseorang Melayu UMNO itu, atau individu yang menjadi proksi kepada melayu UMNO itu, nescaya mereka akan lebih berjaya dalam penipuan melampau mereka terhadap warga tulen Sabah.

Sesungguhnya agama Islam yang dijadikan alat propaganda oleh Melayu UMNO, bagi menghalalkan pemberian kad pengenalan (projek) kepada pendatang haram, walaupun seakan suatu yang istimewa dalam konteks kepercayaan beragama, namun ianya tetap menjadi suatu pemecahan sejarah yang mencabar keharmonian kontrak sosial dan kebijaksanaan leluhur warga tulen Borneo, sebagaimana yang telah ditentukan dasarnya dalam ‘Dokumen Perjanjian 20 Perkara’ yang juga menjadi asas kepada pembentukan Malaysia, namun akhirnya, warga tulen Sabah dengan mudah telah menjadi korban penipuan tidak terhingga oleh Melayu UMNO.

Sejak pembentukan Malaysia, Melayu UMNO juga telah menganggap Sabah hanya sebagai harta mereka untuk dieksploitasikan. Tatkala beberapa orang talibarut Melayu UMNO di Sabah disogok dengan kekayaan, sedangkan warga marhaen tulen Sabah dipaksa meneruskan hidup di tengah-tengah pemerasan paling sedih oleh tuan barunya yang bernama Melayu UMNO serta proksinya.

Darah warga marhaen tulen Sabah juga telah dihisap oleh kezaliman Melayu UMNO, dengan melihat warga pendatang haram lebih berhak dijaga atas nama kepentingan agama Islam.

Justeru, hakikatnya adalah demi kelangsungan politik mereka yang begitu menjijikkan dan akhirnya, ‘Dokumen Perjanjian 20 Perkara’ hanya menjadi persetujuan ‘warga tulen Sabah dengan syaitan untuk mendarat di neraka’.

WARGA INDON TIDAK SETUJU DEMONSTRASI


BERKUMPUL…. Salah satu lokasi rakyat Indon berkumpul ketika hari kelepasan am untuk merisik dan berbincang tentang untung nasib mereka di perantauan. Gambar sisipan Mohammad Hatta (kiri), Amir Rahim dan Pin Pagama.

Oleh: MAIL MATHEW

KETEGANGAN yang meletus di kalangan segelintir golongan berhaluan kiri rakyat Indonesia yang berlaku sejak kebelakangan ini dan semakin hangat mengadakan beberapa demostrasi di beberapa tempat di bandaraya utama di negara itu, bagi membantah ketegasan negara ini yang menguatkuasakan undang-undang maritime, bagaimana pun tidak mendapat sokongan warganegara itu yang bekerja di pedalaman Sabah.

Demonstrasi yang didalangi ‘Benteng Demokrasi Rakyat’ (BENDERA) mendakwa bahawa tindakan Negara ini yang menahan tiga nelayan negara itu yang menceroboh perairan negara kononnya keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan.

Bagaimanapun, tinjauan secara rambang Sabahkini.net pada Isnin di beberapa lokasi di Tenom, yang menjadi medan warga Indonesia berkumpul ketika waktu kelepasan umum, memberikan reaksi yang berbeza berbanding warga mereka di tanah air sendiri.

Seorang pekerja ladang di Kg Pamalan, Mohd Hatta, 39, menyifatkan tindakan rakyat negara mereka yang membakar bendera adalah melampaui batasan undang-undang, malah ia jelas suatu penghinaan kepada sesebuah negara yang berdaulat seperti Malaysia.

Hatta yang telah nenetap di Sabah sejak lebih 20 tahun lalu mengakui bahawa beliau merasa selesa dengan corak penghidupan di Sabah terutama bagi seseorang yang mematuhi peraturan dan undang-undang negara ini.

Ditanya apakah beliau pernah dianiaya oleh pihak berkuasa kerana statusnya seorang warga asing bekerja di sini, Hatta berkata, “Itu tidak pernah. Tetapi jikalau kita salah dari sisi undang-undang Negara, sudah tentu kita diserkap pihak berkuasa. Itu kok, undang-undang namanya,” jelas Hatta yang berasal daripada Jawa Tengah, Jakarta.

Seorang lagi Amir Rahim, 39, yang bekerja di sebuah kilang papan syarikat pembalakan, Sawalong, di jalan Nabawan turut tidak bersetuju dengan tindakan puak BENDERA kerana beliau percaya tidak mendapat sokongan keseluruhan rakyat negara itu yang dianggapnya sebagai puak ekstremist.

“Saya percaya pemerintah Indonesia tidak sebulu dengan apa yang dicetuskan oleh BENDERA. Saya sokong pemerintah negara Indonesia agar ambil tindakan tegas membendung usaha BENDERA itu dari terus menular dan jangan menjadi kacau,” tegasnya.

Manakala Pin Pagama, 42, seorang pekerja projek lebuhraya stesen Marak Parak Ranau turut menyatakan penentangan beliau kepada kegiatan demonstrasi itu sehingga terjadi insiden membakar bendera dan melempar najis ke pejabat Kedutaan Malaysia di Jakarta.

“Kita harus menghormati undang-undang sesebuah negara terbabit dan sebaliknya mereka harus memberikan ruang untuk pemerintah di kedua-dua negara berjiran menyelesaikan masalah itu secara aman damai. Kenapa mesti kelam kabut,” tegasnya.

Ketika ditanya dari mana beliau mendapat informasi berhubung insiden itu, Pin berkata, bahawa setiap malam beliau mengikuti siaran berita wilayah dan dunia untuk mengikuti perkembangan tersebut.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan puak BENDERA yang seolah-olah mencontengkan arang ke muka setiap rakyat Indon yang tidak sebulu dengan mereka (kok) kita di sini hormati undang-undang Malaysia dengan lebih bagus,” tambahnya lagi.