Sunday 8 August 2010

BUMBURING NYALAKAN LAMPU KUNING?





BUAH TANGAN…..Sebagai tanda hormat, Masiung menghadiahkan 3 biji durian merah kepada Bumburing.


Oleh : SHAIMON S JUMADI

TIMBALAN Presiden Parti UPKO, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing mendesak pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) supaya berlaku adil dalam soal pengagehan kerusi DUN mahupun Parlimen di seluruh Sabah bagi mengekalkan pemerintahan BN di Sabah.

Dengan pengagehan kerusi DUN mahupun Parlimen secara adil dan saksama, kata Bumburing, tidak akan menimbulkan sebarang keraguan di kalangan ahli-ahli parti komponen BN yang ada di negeri ini yang sama-sama seiring sejalan memartabatkan perjuangan BN.

Bumburing berkata demikian ketika berucap di majlis Konvensyen parti UPKO 2010 Gabungan Bahagian, Kinabatangan, Sandakan, Beluran dan Batu Sapi di sini kelmarin.

Sebagai ahli komponen BN, Bumburing berkata, mereka juga ada hak dan tidak perlu takut dengan ahli atau pemimpin parti komponen BN yang lain jika hendak menyuarakan sesuatu masalah demi kepentingan bersama.

“Sebagai contoh, kerusi Parlimen Beluran telahpun dimiliki oleh UMNO yang mewakili suku kaum KDM, sementara Kerusi DUN kawasan Sugut juga dimiliki UMNO, manakala kerusi DUN Labuk dimiliki oleh PBS dan apa salahnya kalau pilihanraya umum ke 13 nanti, kerusi Parlimen diberikan kepada UPKO?” jelasnya.

Dalam hal ini, Bumburing ingin menjelaskan bahawa sesiapa saja tidak boleh menafikan ekoran daripada kesan pembahagian kerusi yang dianggap tidak adil terhadap calon-calon parti komponen yang lain sehingga telah menimbulkan rasa tidak terkilan di kalangan para pemimpin kanan parti-parti komponen BN yang sedia ada.

Tegas Bumburing lagi, mereka takut untuk bersuara kerana bimbang dikritik hebat kerana parti UMNO adalah sebuah parti gergasi di negara ini yang menyebabkan pemimpin parti komponen BN yang lain semuanya tunduk dan akur apa sahaja dilakukan pemimpin UMNO.

“Sebenarnya mereka tidak sedar, tanpa penyatuan parti-parti komponen seperti MCA, Gerakan dan MIC di Semenanjung Malaysia, BN tidak boleh menjadi Kerajaan Persekutuan. Samalah juga ceritanya di Sabah kerana tanpa PBS, UPKO, LDP, PBRS dalam komponen BN, sudah tentu BN tidak dapat membentuk kerajaan BN negeri Sabah yang stabil,” kata Bumburing lagi.

Sehubungan itu, Bumburing menjelaskan bahawa dalam konsep perkongsian kuasa BN, terutama UMNO tidak boleh terlalu angkuh dan sombong sehingga ditolak rakyat.

“Ekoran sikap sesetengah pemimpin BN yang bongkak, lihat apa yang terjadi di Pulau Pinang, Kedah yang merupakan kubu UMNO; Perak dan Selangor akhirnya menjadi kubu kuat pembangkang. Nasib baik Perak dapat ditebus semula melalui proses mahkamah,” jelasnya.

Oleh itu, Bumburing mendesak agar semua pemimpin BN mengamalkan konsep toleransi dan mengukuhkan kerjasama secara setia kawan dan telus bagi mengekalkan kuasa BN yang kini hebat diancam perpecahan akibat kumpulan desperado di dalam BN.

Sementara itu, Ketua Bahagian Parti UPKO Kinabatangan, Masiung Banna berkata dengan jumlah 4,000 ahli UPKO yang terdapat di kawasan itu menunjukkan perjuangan UPKO semakin hari semakin diterima oleh rakyat jelata, bukan saja di kawasan Kinabatangan bahkan di seluruh Sabah.

“Dengan bertambahnya jumlah ahli yang mendadak ini, maka perjuangan UPKO semakin mantap dan kuat kerana setiap ahli, sama ada di peringkat bahagian dan cawangan seiring bersama menggembleng tenaga ke arah memertabatkan perjuangan parti itu,” katanya.

Dalam ucapan Masiung yang hampir 35 minit itu beliau banyak mempertikaikan soal tanah milik orang kampung yang menjadi sasaran pihak tertentu yang rakus merampas tanah rakyat tanpa menghormati undang-undang.

“Sebagai wakil rakyat Kuamut yang dipilih oleh rakyat, saya harus kembali kepada rakyat dalam membantu dan mempertahankan hak-hak asasi masyarakat kampung yang terhimpit oleh perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata Masiung.

Tanah-tanah yang telah dirancang untuk tujuan pertanian dan sudah lama diusahakan dengan penanaman kelapa sawit dan sebagainya, kata Masiung, sudah lama diusahakan tetapi mereka belum mendapat geran; walaupun sudah dipohon berkali-kali di pejabat Tanah dan Ukur.

“Inilah antara tugas mencabar saya dan saya tetap akan mempertahankan rakyat saya dalam apa juga keadaan,” kata Masiung yang berikrar akan membela habis-habisan sehingga tanah mereka menjadi milik yang sah.

Majlis konvensyen yang diadakan di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Tongod telah dihadiri seramai 700 orang ahli UPKO dari lima bahagian itu dan tidak ketinggalan Ketua Bahagian PBS, Kuamut Awang Garigam juga turut hadir sama.

No comments:

Post a Comment