Tuesday 17 August 2010

HAJIJI AKAN IMARAH MAJLIS BERBUKA PUASA



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

KETUA Umno Bahagian Tuaran, Datuk Haji Hajiji Haji Noor dijangka akan menghadiri beberapa Majlis Berbuka Puasa yang dianjurkan oleh Biro Agama, Umno Bahagian Tuaran di sekitar Masjid dan Surau di Tuaran bermula di Perumahan Laya-Laya Tuaran pada 19 Ogos ini.

Ketua Penerangan Umno Bahagian Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih memberitahu, majlis berbuka Puasa yang akan diadakan tahun ini adalah merupakan kegiatan ‘Bulan Ibadah dan Kerohanian’ yang menjadi sebahagian dari Program Juara Rakyat Umno Bahagian tersebut.

Haji Ghulabdin mengharapkan program berbuka puasa yang menjadi acara tahunan Umno Bahagian Tuaran itu diharap akan dapat melibatkan pemimpin peringkat bahagian, cawangan dan keseluruhan ahlinya bagi memperkukuhkan persefahaman dan silaturrahim, khususnya dalam mengimarahkan Ramadan pada tahun ini.

"Saya berharap bagi pihak Pengerusi Biro Agama, Umno Bahagian Tuaran, Haji Murnih Haji Lamsari yang telah menyusun jadual berkenaan dengan kerjasama beberapa Agensi kerajaan seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS) Tuaran, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Tuaran dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Daerah Tuaran akan dapat memupuk perpaduan serta boleh memperkukuhkan kekuatan Umno pada keseluruhannya," kata Haji Ghulabdin lagi.

Beliau juga menyatakan bahawa Datuk Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sulaman kemungkinan tidak akan dapat menyertai Majlis Berbuka Puasa Umno Bahagian ini sehingga ke akhirnya kerana banyak terlibat dalam Majlis Berbuka Puasa pada peringkat negeri.

"Meskipun tidak kehadiran Datuk Hajiji dalam beberapa siri Majlis Berbuka Puasa, namun pemimpin-pemimpin tempatan yang lain, terutamanya Ahli Jawatankuasa Biro Agama, Umno Bahagian yang diketuai oleh Haji Murnih akan tetap bersama-sama sehingga ke akhirnya yang dijadualkan pada 7 September depan di Masjid Kampung Bolong Lama," tekan Haji Ghulabdin.

No comments:

Post a Comment