Sunday 8 August 2010

JAMAWI JANJI HULUR BANTUAN SEPANJANG HAYAT



SUMBANGAN… Jamawi (kiri) sedang menyampaikan sumbangan beliau kepada Pengerusi Persatuan Karate Cawangan Tenom, Mahathir Hj.Mohammed, sambil diperhatikan oleh Pegawai Daerah Tenom selaku penaung persatuan itu.

Oleh: HAJI WAHAB TIMPAI

KETUA Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaffar berjanji terus memberi perhatian kepada semua persatuan di kawasan itu dengan membantu sekadar yang termampu sepanjang hayatnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan majlis makan malam amal anjuran Persatuan Karate, pada malam semalam di Dewan Chung Hua, Tenom.

Jamawi, juga mahukan supaya Persatuan Karate dan yang lain dapat membimbing remaja di daerah ini untuk menjadi remaja yang berdisiplin menerusi aktiviti dalam persatuan.

Beliau yang juga selaku Exco Pemuda UMNO Pusat telah memberi jaminan akan membawa isu keperluan persatuan bela diri di Tenom ke peringkat atasan, terutama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bagi meneruskan kesinambungan aktiviti mereka.

Sementera itu Jamawi merayu jasa baik para ibubapa supaya membenarkan anak-anak mereka menyertai persatuan mempertahankan diri seperti karate dan sebagainya serta mengelakkan membuat andaian negatif terhadap peranan persatuan tersebut.

Menurutnya, seni mempertahankan diri bukan semata-mata bertujuan menggalakkan remaja berlawan, tetapi ia juga merupakan sukan dan seni yang diiktiraf oleh persatuan- persatuan di seluruh dunia.

Jamawi turut melahirkan kegembiraannya kerana salah seorang ahli persatuan seni bela diri yang berasal daripada kampung halamannya iaitu Kampung Sumbiling, Melalap kini berada di Hongkong kerana mewakili Malaysia dalam acara sukan Karate.

Katanya, kejayaan Persatuan Karate Tenom melatih anak-anak di kampungnya sehingga terpilih mewakili negara bukan sahaja menjadi kebanggaan persatuan itu dan keluarga, malah turut dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia; apatah lagi jika mereka melakarkan kejayaan gemilang dengan membawa pulang pingat emas untuk Malaysia.

Turut Hadir di majlis itu ialah Pegawai Daerah Tenom yang juga selaku Penaung Persatuan Karate Tenom, Siriman M.F. Basir. Majlis itu dihaisi dengan pelbagai persembahan, termasuk pertunjukan mempertahankan diri di peringkat remaja dan dewasa.

No comments:

Post a Comment