Wednesday 1 September 2010

JANGAN CETUSKAN SENGKETA DI SABAH




Saudara Pengarang

IZINKAN saya untuk menjawab kritikan yang bertajuk ‘Warga Indonesia Tidak Sedar Diri’ yang ditulis oleh orang yang menggunakan nama samaran ‘Anak Sabah Yang Kecewa’ yang tersiar di laman web Sabahkini.net.

Sebagai rakyat Malaysia, kita memang tidak setuju dengan apa yang mereka buat kepada Kedutaan Malaysia di Jakarta; bukan saja melempar najis mahupun membakar bendera kita (Jalur Gemilang), namun pada pandangan peribadi saya, tindakan liar mereka mungkin berpunca daripada keterlanjuran pihak keselamatan kita, khususnya kelakuan dan layanan buruk pegawai polis kita; seperti yang berlaku di Tingkayu dan Latangon Gate.

Bayangkan mereka diseksa seperti binatang yang digiring ke Pusat Sembelihan seperti yang didedahkan oleh Wartawan Sabahkini.net, Hafiz Jamail yang turut menjadi mangsa kemarahan seorang pegawai polis yang bertindak memukul kamera Hafiz sehingga terkena muka dan kepalanya ketika menjalankan tugas.

Sebagai Wartawan Veteran yang telah bertugas selama 33 tahun dengan pelbagai media, saya amat tidak bersetuju dengan kritikan ‘Anak Sabah Yang Kecewa’ yang boleh mencetuskan atau menimbulkan hura-hara kerana tulisan berkenaan benar-benar menyinggung perasaan rakyat Indonesia yang bekerja di negara ini, khususnya di Sabah.

Saya juga memang tidak bersetuju langsung dengan perbuatan rakyat Indonesia yang keterlaluan di sana, tetapi bukan di Sabah. Saya telahpun menemui beberapa orang rakyat Indonesia, baik berbangsa Timur, Jawa atau Bugis yang tinggal di negara ini, masing-masing menyatakan mereka tidak setuju dengan perbuatan yang di luar batasan nilai dan norma ketimuran, terutama yang dilakukan kumpulan ekstrimis di Indonesia.

Adalah wajar bagi ‘Anak Sabah Yang Kecewa’ berhati-hati sebelum mengeluarkan sentimen yang boleh menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat Indonesia yang ada di negeri kita kerana mereka tidak terlibat langsung dengan insiden di Jakarta itu.

Saya bukan hendak menyebelahi mana-mana pihak tetapi dengan tulisan ‘Anak Sabah Yang Kecewa’ boleh membangkitkan kemarahan mantan warga Indonesia terutama yang telah mendapat Kad Pengenalan sejak di zaman Kerajaan Berjaya lagi

Ramai orang Bugis dan Jawa yang mendapat kad Pengenalan Projek H035XXXX hingga H058XXXX, muka mereka sudah kerepot tetapi agak aneh kerana mereka yang memegang kad pengenalan lama Sabah H035XXXX kononnya lahir pada tahun 1960-an sedangkan saya lahir pada tahun 1955 masih belum berkedut.

Saya tidak menyalahkan bulat-bulat kepada rakyat Indonesia mahupun rakyat Filipina yang mendapat kad pengenalan Sabah pada zaman itu kerana berpunca daripada para sikap ‘Yahudi’ para pemimpin negara kita yang rakus mahu menjadi YB dan mendapat kuasa politik sehingga sanggup memberi kerakyatan Sabah (Malaysia) secara hentam keromo, termasuk kepada warga Pakistan dan tidak terkecuali ada PATI yang menjadi isteri Speaker dan Ahli Parlimen Malaysia.

Salam Hormat,

SHAIMON S JUMADI

No comments:

Post a Comment