Sunday 1 August 2010

JKKK DESAK MPS TANGGUH OPERASI ROBOH RUMAH



GERAN …..Ansar menunjukkan geran tanah kawasan Kg Istimewa berlatar belakangkan salah sebuah rumah yang terlibat dalam pembongkaran.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

SERAMAI 30 keluarga yang tinggal di 14 buah di sepanjang Jalan Batu Sapi di tiga buah kampung iaitu Kg Karamunting, Kampung Istimewa (Kg Jaya Lama) dan Kg Simpang Lupak Meluas bakal kehilangan tempat tinggal untuk selama-lamanya kerana rumah mereka akan diroboh dalam masa terdekat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Istimewa, Ansar Ali memberi tahu, sebanyak 14 buah rumah termasuk sebuah surau yang terletak di hadapan Flat MPS Karamunting bakal diroboh oleh pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) atas ‘arahan’ pihak kontraktor kerana terlibat dalam projek melebarkan jalan raya penghubung antara Jalan Bokara sehingga ke Jalan Batu Sapi.

Ansar berkata, pihak MPS sudah mengeluarkan notis untuk meroboh kepada para penduduk terbabit supaya mengosongkan rumah-rumah mereka dalam tempoh 21 hari dari tarikh surat dikeluarkan.

Tindakan pihak MPS mengeluarkan notis meroboh rumah yang secara mendadak itu telah memeranjatkan penduduk terbabit kerana tanpa sebarang perbincangan dengan pemilik rumah dan ADUN Sekong, Datuk Haji Samsudin Yahya.

“Saya sebagai pengerusi JKKK Kampung ini, merasa terkilan terhadap tindakan pihak MPS yang terlalu tunduk dengan kehendak pihak pemaju/kontraktor. Sepatutnya pihak MPS memanggil ADUN atau PKR dan CDO bagi menjelaskan mengenai perkara ini dan bukan membelakangi pemimpin atau wakil rakyat berkenaan,” kata Ansar lagi.

Kata Ansar, pihaknya tidak menghalang kerajaan untuk membangunkan sesuatu kawasan kerana jalan raya merupakan satu keperluan, namun memandangkan rumah penduduk kampong dibina di atas tanah bergeran atau rizab kampong, maka kerajaan perlu menyediakan rumah yang baru atau tapak rumah sekiranya kawasan berkenaan ini diambil untuk pembangunan,” kata Ansar yang ingin menyelesaikan masalah tersebut secara toleransi dan muhibbah.

Menurutnya lagi, mereka mendiami Kampung Istimewa sejak di zaman British lagi sehingga sekarang sudah tiga generasi turun menurun dan kawasan tapak rumah tersebut sudahpun diwartakan sejak 100 tahun yang lalu.

“Saya sebagai Pengerusi JKKK kampung ini yang mewakili lebih 400 penduduk kampung Istimewa, saya merayu kepada pihak MPS, khususnya kerajaan Negeri Sabah agar menangguhkan dahulu buat sementara waktu kerja meroboh rumah-rumah yang terlibat dengan projek ini sehingga kes ini dibawa ke meja perundingan antara pihak MPS, pihak kontraktor, Wakil Rakyat Sekong dan Ahli Parlimen kawasan Batu Sapi kerana dengan cara demikian ia boleh mengelakkan ketegangan atau rasa tidak puas hati antara satu sama lain,” jelasnya

No comments:

Post a Comment