Thursday 19 August 2010

JPKAS BELUM PROFESIONAL URUS KEBAJIKAN




Saudara Pengarang,

SALAM 1Malaysia. Saya amat terkilan dengan layanan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS), cawangan Keningau yang langsung tidak professional menjalankan tugas terutama memastikan Piagam Pelanggan terlaksana; sehingga menyebabkan sistem penyampaian dan mutu kerja yang rendah.

Untuk makluman warga Sabah, saya terasa mual berurusan dengan jabatan ini, namun demi masa hadapan kami saya gagahi juga untuk mendatangi JPKAS semata-mata untuk menguruskan permohonan bantuan kebajikan bagi pihak suami saya.

Tetapi saya amat kecewa dengan layanan pegawai dan kakitangan di jabatan ini kerana setelah setahun permohonan diajukan, barulah suami saya mendapat bantuan kewangan, itupun setelah berpuluh kali saya berulang alik menanyakan keputusan permohonan bantuan tersebut.

Namun amat mendukacitakan kerana sehingga sekarang, entah apa sebab dan tanpa sebarang penjelasan, Kad OKU suami saya masih belum dikeluarkan lagi.

Saya harap dengan komen yang disiarkan di Sabahkini.net, JPKAS Keningau dapat menjalankan kerja dengan lebih telus dan bertanggungjawab sejajar dengan namanya sebagai Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, maka tugas prihatin adalah terhadap masyarakat yang memerlukan bantuan.

Salam Hormat,

KASMIAH NARIMIN

No comments:

Post a Comment