Friday 6 August 2010

KEKAL MEWAH SEMAKIN CUAI?.



PECAH….Konkrit simen pengalas gelagar jambatan telah pecah sehingga membahayakan kenderaan yang melalui jambatan tersebut. Gambar sisipan Martin menunjukkan surat yang dihantar kepada Kekal Mewah Sdn.Bhd.

Oleh: MAIL MATHEW

PARA penduduk Kg Undusan, Tenom diminta bersabar berhubung masalah jambatan di situ yang mengalami kerosakan dan membahayakan pengguna, khususnya kenderaan berat kerana masalah itu akan ditangani segera, sebaik sahaja peruntukan untuk tujuan itu diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Gesaan itu dinyatakan Juruteknik Kekal Mewah Sdn Bhd, Sameon Endim ketika dihubungi Sabahkini.net untuk mendapatkan ulasan beliau berhubung masalah tersebut pada Jumaat.

Tegasnya, masalah yang dialami di Kg Undusan itu sudah pun disenaraikan untuk mendapatkan peruntukan pembaikan daripada pihak berkaitan khususnya, Kementerian Kewangan selepas pemeriksaan dilakukan beberapa bulan lalu.

“Kita minta mereka (penduduk) bertenang dan bersabar dalam sedikit masa lagi kerana kami akan tetap melaksanakan pembaikan itu selepas peruntukan diluluskan dan juga arahan kerja dikeluarkan kelak,” tegas Sameon.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Undusan, Martin Kamandu, merungut kerana permohonan mereka telah pun dimajukan lebih tiga bulan lalu tetapi sehingga kini terus senyap seolah-olah ia dilupakan.

“Kami minta pihak tertentu supaya pembaikan ini disegerakan kerana jambatan ini sering digunakan pengguna khususnya kenderaan berat yang menghantar barang barang keperluan dan mengangkut hasil pertanian keluar ke bandar,” tegas Martin.

“Saya selaku JKKK di sini, sering menjadi sasaran tohmahan penduduk kerana masalah sebegini rupa, tetapi apa yang saya boleh lakukan kalau pihak berkaitan sering memberi jawapan tunggu, tunggu dan tunggu seolah-olah janji itu tiada noktah,” tambahnya lagi dengan nada kesal.

Martin seterusnya menegaskan bahawa, punca sebeginilah kecekapan dan keaktifan seseorang JKKK sering menjadi pertikaian penduduk yang seterusnya melabelkan sesuatu yang negatif terhadap kewibawaannya mentadbir dan mengurus pembangunan di sesebuah kampung, sebaliknya bukanlah kelalaiannya.

No comments:

Post a Comment