Saturday 14 August 2010

KEMBALIKAN TANAH ADAT KAMI SECARA MANDATORI!





Saudara Pengarang,

IZINKAN saya tujukan surat terbuka saya ini kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Tanah dan Agama), Datuk Nasir Tun Sakaran agar dapat dibaca oleh semua rakyat Sabah yang mengaku bertamaddun dan berbudipekerti.

Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, tiada hadiah yang berharga bagi saya selain daripada mendapat hak warisan keturunan nenek moyang kami yang telah dirampas dari kami dan keluarga kami oleh pihak tertentu; dengan menggunakan proksi bagi mengambil hak orang lain untuk kekayaan diri sendiri dan mengetepikan keputusan Mahkamah Anak Negeri Semporna yang bertarikh 22 Oktober 1996, melalui surat bil: PKDS : 200-3/2.

Saya amat sedih dan terkilan dengan tindakan pihak berkuasa yang tidak menghormati keputusan ‘Mahkamah Adat’ yang telah diputuskan oleh Ketua Daerah dan empat orang Hakim Mahkamah Anak Negeri yang bertanggungjawab terhadap hak istiadat masyarakat Bajau di Daerah ini.

Setelah sekian lama ingin mendapat pengadilan dari pihak berkuasa, dari orang yang dihormati dan pemimpin-pemimpin kami di daerah ini, saya melihat bahawa hak saya telah menjadi milik dan hak orang lain tanpa persetujuan kami dan kerelaan kami. Ini adalah tidak adil untuk kami bagi rakyat yang telah memberi kemenangan kepada Barisna Nasional pada setiap kali pilihanraya.

Kepada Adun Senallang, Datuk Nasir Tun Sakaran, elok saya imbas kembali perjuangan kami untuk mendapatkan hak kami semula sebagai ingatan agar datuk dapat mempertimbangkan hak tanah adat kami dan dikembalikan semula kepada orang miskin dan susah seperti kami ini.

Imbas Kembali Masalah Tanah Adat Kami

1994 Pertikaian Tanah dengan Orang Kampung. (Tampi Tampi Timbayan)

Kekecohan bermula sejak Sakaran Dandai (Tun) menjadi Ketua Menteri Sabah pada tahun 1994 kerana kami mendapati tanah berkenaan telah jatuh ke tangan orang lain dan hampir menyebabkan pertumpahan darah dengan masyarakat kampung kerana peristiwa itu. Kami telah berusaha menemui Ketua Menteri Sabah yang kebetulan wakil rakyat kami sendiri, tetapi gagal kerana tiada ruang untuk menemui beliau mungkin disebabkan kesibukan beliau.

1995 Rombongan Menumui TYT Sabah Di Istana Negeri.

Pada 16 September 1995, saya sekeluarga dan penama tanah adat itu pergi ke Kota Kinabalu untuk menemui TYT Sabah yang kebetulan sebelum ini adalah wakil rakyat kawasan kami itu iaitu Tun Sakaran Bin Dandai bagi meminta jasa baik beliau menyelesaikan isu tanah adat ini dengan adil dan saksama.

Rrombongan kami juga gagal kerana hari berkenaan adalah hari jadi TYT dan beliau sibuk sehingga kami terpaksa balik ke kampung di Semporna walaupun terpaksa mengharungi perjalanan jauh berjam-jam lamanya.

1996 Perjumpaan di Kediaman TYT di Pekan Semporna.

Dalam satu perjumpaan di kediaman TYT (Sakaran) di Semporna, semua pihak telah bertemu bagi penyelesaian Tanah Adat berkenaan. Semua pemilik dan waris tanah hadir diantaranya:-

1.Lajawid Bin Asmajid
2.Ulah Bin Lajunah
3.Tilkah Bin Muhammad
4.Tamban Bin Masaat
5.Maman Bin Indangan.

Satu keputusan telah dibuat bahawasanya TYT telah bersetuju untuk membantu para pemilik tanah adat ini agar dapat diserahkan semula kepada mereka mengikut keputusan Mahkamah Anak Negeri Semporna.

Keputusan ini juga telah dipersetujui oleh mereka yang terlibat dalam masalah pertikaian tanah berkenaan iaitu Idiris Hj Arajul dan Basirul Bin Sanarul dengan di saksikan oleh wakil-wakil dari pihak berkuasa, antaranya Pegawai Daerah Semporna (Salsidu Hj.Ibrahim), Ketua Polis Daerah Semporna (ASP Sulaiman Junaidi) dan Setiausaha TYT (Abdillah Hussien) serta wakil dari Pejabat Tanah Negeri.

Malangnya, selepas 4 tahun menunggu (2000), kami dapati geran tanah baru telah dikeluarkan atas nama seorang sahaja daripada nama di atas iaitu Maman Indangan yang kebetulan Pemaju Mukim Adun Senallang (Datuk Nasir Tun Sakaran); sementara nama empat orang yang lain telah ‘HILANG’ dan digantikan dengan nama Azman Bin Haji Ahmad (Anak Saudara ADUN sendiri dan Cucu Sakaran).

Akhirnya kami sedang telah ditipu oleh seorang tokoh politik termasyhur di Sabah dan Adun kami sendiri sehingga memaksa kami membuat bantahan demi bantahan di pejabat tanah sejak 2000 hingga sekarang, tetapi tidak mendapat layanan sewajarnya selain dari perkataan keramat, “TUNGGU!”.

Kami amat kesal kerana meletak hak nama penama kedua di dalam geran tanah adalah bertentangan dengan keputusan Mahkamah Anak Negeri tetapi telah ‘DIHALALKAN’ oleh pihak berkuasa tanpa kerelaan kami; seolah-olah perkataan “TUNGGU!” itu adalah sekadar melepas batuk di tangga.

Jesteru itu, melalui warkah terbuka ini, kami memohon jasa baik kerajaan Negeri khasnya, Datuk Seri Musa Aman selaku Ketua Menteri Sabah supaya dapat mengkaji dan menyerahkan semula tanah adat berkenaan kepada pemilik asalnya, serta membatalkan geran yang dikeluarkan tanpa merujuk keputusan mahkamah dan Ordinan Tanah Sabah.

Kami menaruh harapan yang tinggi agar Datuk Seri Musa Aman dapat memastikan tanah ini dikembalikan kepada waris yang berhak dan tidak menghalalkan menterinya berbuat sesuka hati dan Jabatan Tanah membuat keputusan yang berat sebelah.

Sesungguhnya Geran Tanah NT.123024993 Kg.Tampi Tampi ini telah dituntut oleh pihak kami sejak 1992 melalui Surat Istana Negeri 4 Mac 1996, Bil : 63/3/Pt.19.

Amat menghairankan kami, melalui surat berkenaan PPHT Semporna memaklumkan bahawa ADUN Senallang, Datuk Nasir Bin Tun Sakaran telah membayar tanah NT ini dengan jumlah RM 25,000.00 melalui Nota bidai PPHT.

Apakah hubungkait Pembayaran RM 25,000 itu oleh ADUN Senallang dan kepada siapa ia dibayar yang menyebabkan nama anak saudaranya secara automatik dimasukkan ke dalam ‘Geran Tanah Baru’ berkenaan?

Apakah salah seorang waris yang telah dimasukkan namanya ini terlibat dalam konspirasi kotor dan jijik kerana pada hari ini beliau dilantik oleh ADUN Senallang sebagai Ketua Kampung Tampi Tampi Timbayan dan membenarkan ADUN Senallang membena jeti perikanan di kampung kami.

Kami berpandapat seolah-olah ada konspirasi di antara pihak-pihak berkepentingan dan orang dalam sehingga menyebabkan tanah ini jatuh ke tangan orang lain yang bernama Azman Hj.Ahmad, yang sudah pastinya dijadikan ‘Proksi’ dalam permainan pemilikan tanah adat oleh mereka yang terlibat.

Jesteru itu bagi menegak keadilan, kami yakin YAB Ketua Menteri Sabah adalah orang yang boleh menyelesaikan masalah kami sebelum kami bawa isu ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis dan Perdana Menteri Malaysia.

Sekian, Salam Hormat,

LAJAWID BIN ASMAJID.

Waris Tanah Adat
Kg.Tampi Tampi Timbayan
Dun Senallang, Semporna.
13 Ogos 2010

No comments:

Post a Comment