Thursday 5 August 2010

LAYANAN KELAS KAMBING DI SMC?



Saudara Pengarang,

SETELAH kerajaan mengambil alih Pusat Perubatan Pakar Sabah (SMC) dengan kos beratus juta ringgit, saya berharap agar perkhidmatan yang ditawarkan lebih bermutu daripada Hospital Queen Elizabeth, maklumlah nama SMC sudah gah di seluruh Asia Tenggara.

Namun amat malang sekali bagi rakyat Sabah yang mengalami sakit kronik dan terpaksa menjalani rawatan lanjut terutama CT Scan dan X-Ray kerana terpaksa menerima ‘Layanan Kelas Kambing’ daripada SMC, kerana rupa-rupanya Kementerian Kesihatan menswastakan kembali hospital yang dibeli kepada SMC sehingga rakyat terpaksa menunggu antara dua hingga lima jam untuk mendapatkan rawatan atau pemeriksaan.

Apakah Kerajaan Malaysia sudah bankrap sehingga tidak mempunyai wang dan pakar untuk mentadbir urus hospital yang dibeli sehingga terpaksa mengswastakan kembali hospital berkenaan kepada SMC?

Isteri saya adalah salah seorang mangsa layanan buruk SMC kerana dasar SMC lebih mengutamakan pesakit mereka sendiri dan setelah selesai pesakit yang berdaftar dengan SMC barulah mereka melayan pesakit yang dirujuk oleh Hospital Queen Elizabeth atau hospital kerajaan.

Bayangkanlah betapa menderitanya isteri saya yang menghidapi penyakit kronik yang terpaksa menunggu selama lebih empat jam dalam pergerakan yang terbatas; semata-mata untuk menjalani pemeriksaan CT Scan yang hanya terdapat di SMC.

Jika pengswastaan hospital ini untuk memperkayakan orang tertentu, saya harap agar rakyat tidak dijadikan mangsa atau ‘haiwan uji’ (Guinea Pig) untuk mencapai tujuan berkenaan.

Sebagai pembayar cukai dan pengundi berdaftar yang mengundi sehingga tertubuhnya sebuah kerajaan BN yang stabil, saya merayu agar Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Rashid Shirlin menyiasat aduan ini dan saya akan tampil sebagai saksi (jika diperlukan).

Dalam hal ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga wajar membuka fail siasatan kerana mereka ‘tertidur terlalu lama’ apabila Skandal SMC pertama belum selesai, kini muncul pula Skandal SMC kedua yang langsung tidak pernah disiasat SPRM sekalipun melibatkan kerugian ratusan juta ringgit kepada kerajaan.

Salam Merdeka!

SUAMI KECEWA

No comments:

Post a Comment