Sunday 8 August 2010

MISTERI KG UPAK AKAN TERJAWAB?



RAMAI….Chong bergambar bersama-sama penduduk kampung yang menyertai gotong royong berkenaan.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

TANAH perkuburan Islam yang berusia lebih 100 tahun yang terletak kira-kira 10 batu nautika dari bandar Sandakan yang terbiar begitu saja setelah ditinggalkan hampir 8 tahun lalu kini telah dibersihkan melalui gotong-royong anjuran pejabat Ahli Parlimen Batu Sapi kelmarin.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah telah mengetuai gotong- royong bersama-sama lebih 70 orang penduduk kampung berhampiran yang turut sama mengambil bahagian dalam program tersebut.

Dalam ucapan ringkasnya antara lain Chong berkata, melalui aktiviti seperti gotong royong ini secara tidak langsung boleh menjalinkan hubungan mesra antara pemimpin dengan rakyat.

Katanya lagi, sebagai wakil rakyat yang dipilih beliau sentiasa turun padang, khususnya untuk menemui rakyat terutama sekali mereka yang tinggal di perkampungan kepulauan yang masih memerlukan pelbagai bantuan dalam aspek kemudahan asas dan sebagainya.

“Ini adalah dasar kerajaan Barisan Nasional dan juga saranan Perdana Menteri kita agar setiap Ahli Parlimen mahupun ADUN diwajibkan turun padang pada setiap masa untuk mendekati rakyat, di samping mengenali pasti lebih dekat lagi terhadap segala kemuskilan dan permasalahan yang mereka hadapi,” kata Chong lagi.

Chong memberitahu selanjutnya, suatu masa dahulu, Kampung Upak yang terletak di pesisiran pulau memang ramai penduduknya dan terdapat juga sedikit kemudahan asas seperti balairaya dan surau.

“Saya sendiri pun tidak tahu macam mana dan apa sebabnya mereka jadi pindah randah ke kampung lain dan meninggalkan begitu sahaja rumah-rumah mereka. Apapun kita akan cari jawapannya nanti mengenai misteri Kampung Upak yang kini jadi padang jarak, padang terkukur,”ujarnya.

Berhubung dengan misteri bekas kampung Upak itu, Ketua Biro Sabahkini.net di Sandakan akan membuat susulan untuk menemui beberapa orang penduduk yang pernah tinggal di pulau itu untuk mengetahui sebanyak sedikit mengenai cerita misteri sebenar tempat tersebut.

No comments:

Post a Comment