Tuesday 17 August 2010

NELAYAN TERTINDAS AKAN DIBANTU




PENGERUSI…LIEW sedang mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

AHLI Parlimen Sandakan, Datuk Liew Vui Keong berkata isu mengenai nelayan yang sering terdedah kepada tekanan dan penindasan pihak berkuasa akan di atasi segera bagi mengelakkan mata pencarian kaum nelayan terjejas, bahkan boleh melemahkan semangat mereka untuk turun ke laut menangkap ikan.

“Saya tidak menafikan aduan ramai nelayan bahawa ramai pegawai penguatkuasa enggan bertolak ansur walaupun nelayan hanya melakukan kesalah kecil yang boleh dimaafkan atau dikompaunkan,” kata Liew setelah menerima laporan daripada Ko-Nelayan Sandakan ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Pertanian kawasan Parlimen Sandakan.

Bagaimanapun, Liew berjanji akan merujuk perkara tersebut kepada Jabatan tertentu bagi mengatasi isu nelayan yang semakin kritikal ini.

“Kaum nelayan juga sebahagian besar adalah penyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Oleh itu, kita tidak boleh memandang rendah kepada golongan nelayan,” ujarnya.

Selain daripada itu, kata Liew, kerajaan sentiasa memberikan ruang kepada golongan Nelayan, sektor Pertanian dan Pengusaha Ternakan yang bersungguh-sungguh mengusahakan perusahaan mereka untuk mendapatkan kemudahan pinjaman bank, khusus bagi membesarkan lagi perniagaan mereka.

Bagi mereka yang mempunyai tanah yang terletak sekitar lapan batu jaraknya dari kawasan bandar dan berhasrat untuk menternak ayam, itik dan kambing juga diberi galakan, di samping mendapat pelbagai bantuan daripada Jabatan Haiwan.

Mesyuarat hampir dua jam itu yang membabitkan Jabatan Pertanian, Jabatan Haiwan, Jabatan Perikanan, Ko-nelayan, Pertubuhan Peladang, Majlis Perbandaran Sandakan dan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat adalah bertujuan untuk mendapat maklum balas yang terperinci daripada jabatan-jabatan yang berkaitan mengenai perkembangan dan isu-isu semasa, sama ada dalam aspek pertanian, perikanan, nelayan dan ternakan.

No comments:

Post a Comment