Friday 13 August 2010

PAIRIN JANJI LESTARI KONSEP 1MALAYSIA


SALAM....Pairin bersalaman dengan dif-dif kehormat sejurus selepas merasmikan tokong tersebut.

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PARA pengguna air di Sandakan ini tidak perlu lagi risau kerana mereka tidak akan menghadapi masalah bekalan air berikutan Loji Rawatan Air Segaliud mampu mengeluarkan air terawat sebanyak 125 juta liter air bersih sehari.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, pada masa ini, pengguna di kawasan itu hanya menggunakan 35 juta liter air sehari manakala kapasiti pengeluaran air loji tersebut melebihi permintaan sedia ada.

Beliau menegaskan bahawa kapasiti pengeluaran air loji itu mampu menampung pembangunan di daerah berkenaan termasuk projek Hab Pendidikan dan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) yang kini giat dibangunkan.

Pairin memberitahu Sabahkini.net selepas melawat loji berkenaan dan sebelum merasmikan tokong baru, Tokong Hong San Tze Kong Teck Chun Ong yang terletak di Pinetree Road, Jalan Leila, Sandakan.

"Kerajaan telah membuat perancangan yang baik dalam jangka panjang untuk menyediakan bekalan air bersih kepada rakyat, termasuk menampung pembangunan pesat di daerah ini," katanya yang mengakui mahu melihat sendiri operasi dan keberkesanan operasi loji tersebut; berikutan rungutan daripada pengguna mengenai kebersihan air di Sungai Segaliud, termasuk penemuan ikan mati.

Beliau memberi jaminan air yang dirawat di loji berkenaan adalah bersih sebelum disalurkan kepada pengguna dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Katanya, pengguna juga harus memainkan peranan mereka dalam menjaga kualiti air yang diterima dengan membersihkan tangki atau kawasan tadahan air di rumah setiap enam bulan.

Dalam pada itu, ketika merasmikan Tokong Hong San Tze Kong Teck Chun Ong, Pairin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada kepada Lembaga Pengurusan di atas kejayaan membina Tokong baru yang sudah pastinya memberikan suntikan semangat baru kepada masyarakat Tionghua untuk mengamalkan ibadah dengan lebih selesa lagi.

“Bangunan baru ini itu pastinya menjadi mercu tanda kebanggaan masyarakat Tionghua di kawasan Sandakan,” kata Pairin sebagai melestari azam Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang penekanan kepada konsep 1 Malaysia.

Tambah Pairin lagi, asas untuk mewujudkan keharmonian yang lebih kukuh di Malaysia adalah semestinya berteraskan kepada keadilan sejagat terhadap semua kaum, terutamanya kepada kelompok masyarakat yang minoriti.

“Saya mahu agar masyarakat Tionghua akan turut sama menyumbangkan kepada pembentukan Negara Malaysia yang lebih sejahtera, semoga sifat bersefahaman dan saling hormat menghormati ini akan terus diperkasakan,” jelas Pairin.

No comments:

Post a Comment