Wednesday 4 August 2010

PEGAWAI BANCI NAFI KASARI ORANG AWAM




Oleh: MAIL MATHEW


SEORANG Pegawai Banci yang juga mantan Pengetua Sekolah Menengah, Raymond Emus Gintod (gambar), menafikan tuduhan Ketua LDP Tenom, Kapitan Ng Tet Hau dalam laporannya di Portal Sabahkini.net baru-baru ini kononnya seorang Pegawai Banci bertindak kasar ketika menemuduga orang awam, adalah tidak benar dan terpesong daripada fakta sebenarnya.

Katanya, besar kemungkinan pemimpin terbabit hanya mendengar penjelasan di sebelah pihak ketika menerima aduan orang awam yang mungkin terdapat salah faham dari aspek komunikasi di antara Pegawai Banci dengan pihak terbabit (orang awam).

“Kita khuatir ia suatu perkara salah faham yang boleh diselesaikan secara perbincangan tetapi kita kesal kerana pemimpin terbabit memilih media untuknya menyelesaikan kekalutan tersebut,” kata beliau ketika memberitahu Sabahkini.net petang tadi.

Tegasnya, tidak mungkin Pegawai Banci terbabit boleh melakukan perkara sedemikian di mana selain sifat-sifat mulia dan tatasusila yang sedia dimiliki oleh seseorang Pegawai Banci malah, mereka juga telah diberikan kursus-kursus intensif sebelum turun padang untuk menjalankan tugas sepertimana yang diamanahkan kerajaan.

Emus seterusnya berkata, Kapitan Ng seharusnya meneliti saranan daripada kerajaan yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Banci Malaysia bahawa pengiraan penduduk dan stok perumahan di negara amat penting dilakukan bermula dari 6 Julai hingga 22 Ogos 2010 semata-mata untuk keperluan Pembangunan Negara sepertimana mengikut peruntukan di bawah Akta Banci 1960.

Jelas Emus lagi, saranan itu turut mengandungi kata-kata berikut, “Untuk menjayakan projek raksasa ini, maka kerjasama semua pihak khususnya para pemimpin masyarakat seperti Ketua Kampung, Pengerusi JKKK dan Kapitan Cina amatlah dihargai.”

Beliau menegaskan bahawa, umum telah tahu tentang tugasan setiap pembanci di mana mereka telah diberi kuasa sepenuhnya untuk menemubual setiap individu atau keluarga penduduk tanpa mengira seseorang itu fasih berbahasa Malaysia atau sebaliknya.

Namun begitu tambah Emus, apa yang menjadi keutamaan adalah dari segi maklumat kependudukan, harta benda dan ada kalanya soalan itu seolah-olah berkisar kepada soal keperibadian.

“Saya menyarankan kepada Kapitan Ng Tet Hau selaku pemimpin LDP agar bertindak positif ke arah menjayakan program kerajaan seterusnya mengarahkan penyokong penyokong beliau bertindak sedemikian supaya program ini dapat berjalan dengan lancar,” tegas Raymond.

Kenyataan Raymond Emus tercetus ekoran kenyataan Ketua LDP Tenom Kapitan Ng Tet Hau sebelum ini yang mendakwa terdapat Pegawai Banci yang juga mantan Pengetua Sekolah Menengah bertindak mengasari orang awam ketika menemuduganya.

Malah tegas Ng lagi, pegawai terbabit turut menyoal responden dengan soalan-soalan lain yang tiada kaitan dengan tugas bancian seperti soal keperibadian suami isteri.

No comments:

Post a Comment