Sunday 15 August 2010

PENINDASAN TERBUKA TERHADAP ORANG ASAL




Saudara Pengarang,

DENGAN nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, saya berdoa semoga Allah melimpahi rahmat dan rahimnya kepada Sabahkini.net yang telah memberi peluang kepada kami, hamba-hamba Allah yang tertindas untuk menyuarakan keluhan hati kami sebagai salah satu Etnik Orang Asal Sabah; setelah semua rayuan dan permintaan kami tidak mendapat layanan setimpal daripada Kerajaan Negeri Sabah.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penaja Pengusaha kecil Penjaja di Pekan Semporna (DUN Senallang) kami meminta belas ehsan dan pembelaan dari Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Haji Noor kerana kawasan perniagaan kami telah dirobohkan baru-baru ini bagi memberikan laluan kepada pengusaha Tiong Hua, Sim Sing Lee membangunkan kawasan tersebut.

Kesinambungan daripada insiden tersebut, saya amat kesal dengan tindakan pihak berkuasa dan pemimpin tempatan yang tidak prihatin terhadap nasib para penjaja dan pengusaha kecil di daerah ini yang telah sekian lama menjalankan perniagaan di tapak berkenaan.

Di tapak inilah, para penjaja kecil yang terdiri daripada golongan miskin dan daif yang hanya mampu menjual hasil tanaman dan sayuran mereka di kawasan yang dikenali oleh masyarakat setempat sebagai Tapak Pasar Putu.

Dari segi undang-undang Ordinan Tanah Sabah, Tapak Perniagaan ini sebenarnya menjadi ‘Tanah Adat’ yang tidak boleh diganggu gugat kerana telah menjadi pusat perniagaan rakyat bumiputera miskin tempatan sejak di Zaman British lagi dan sepatutnya diluluskan kepada kami yang tidak berkemampuan menyewa rumah kedai di kawasan berkenaan.

Sepatutnya pemimpin kami, mempunyai visi dan misi untuk bumiputera tempatan dan menjadikan tapak ini sebagai Pusat Usahawan Kecil Tempatan yang menjadi lambang kebanggaan rakyat, khasnya usahawan kecil di pekan Semporna kerana di sinilah bermulanya bumiputera tempatan belajar berniaga.



Sama ada pemimpin sedar atau tidak, tapak perniagaan Pasar Putu ini telah banyak berjasa kepada masyarakat Semporna, kerana ramai dari kalangan ‘anak-anak’ Semporna yang telah berjaya hari ini, sebenarnya ibubapa mereka pernah berjaja di kawasan ini.

Bayangkanlah, betapa sedihnya perasaan ‘anak-anak’ Semporna hari ini kerana ramai daripada mereka telah menjadi usahawan, pegawai kanan Kerajaan, pemimpin politik dan kalangan professional kerana Ibubapa mereka atau keluarga mereka satu ketika dahulu adalah pengusaha di tapak ini dan hasil dari perniagaan kecil-kecilan memerah titik peluh, mereka telah menyumbang kepada ‘anak-anak’ sehingga mereka berjaya menjadi orang yang berguna pada hari ini.

Oleh yang demikian, selaku Mantan Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sulabayan, adalah menjadi tanggungjawab saya mengemukakan masalah ini kepada pihak atasan kerana semua jalan di peringkat bawahan telah ditutup rapat disebabkan kepentingan pihak tertentu yang telah dikawal sekian lama oleh kumpulan Kapitalis Cina di daerah ini.

Sebagai pembayar cukai dan pemilih berdaftar, saya amat terkilan dengan layanan buruk pemimpin tempatan yang ‘beraja di mata dan bersultan di hati’ yang telah menyebabkan atau bersubahat sehingga tapak usahawan kecil ini jatuh ke tangan kapitalis; sedangkan penjaja kecil tempatan menganggap tapak sekangkang kera ini sebagai ‘Syurga’ mereka sejak berzaman.

Saya amat sedih, di usia yang hampir menginjak senja ini, pemimpin tempatan telah berlaku khianat dengan memohon tapak berkenaan dan menjualkan tanah yang telah diluluskan kepada Kapitalis Cina semata-mata sifat rakus untuk mendapat keuntungan peribadi dan menyingkirkan rakyat miskin dan daif yang telah memberi kuasa kepada mereka melalui undi pada setiap pilihanraya.

Sehubungan itu, saya merayu ehsan YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman supaya campur tangan menyelesaikan masalah rakyat di kawasan ini kerana wakil-wakil Rakyat yang sedia ada, seolah-olah bersubahat dengan golongan kapitalis untuk menyusahkan kami.

Terlalu banyak laporan kami terima sebelum ini terutama mengenai pencerobohan tanah adat, penindasan nelayan, penindasan pekebun, rampasan tanah adat dan hari ini pula, di bulan Ramadan yang mulia ini, giliran kami usahawan kecil menjadi mangsa rakus pemimpin, pegawai kerajaan dan golongan kapitalis.

Lebih memalukan Umat Islam di Malaysia, peristiwa yang amat mengharukan ini berlaku di bulan Ramadan, kerana kami dihalau dengan kejam daripada tapak perniagaan kami oleh sebuah syarikat yang mendakwa telah memiliki geran di tanah adat ini.

‘Syurga’ rezeki kami telah dijadikan ‘neraka’ oleh pemimpin kami sendiri. Alangkah malangnya nasib penjaja kecil seperti kami yang mengharapkan rezeki daripada pusat perniagaan ini untuk menyambut hari raya, kini terpaksa berpuasa sepanjang tahun selagi tapak baru belum disediakan kerajaan.

Kami tidak tahu kenapa pemimpin tempatan (Wakil Rakyat dan Ahli Parlimen) kami begitu bacul untuk menghalang kezaliman ini, sedangkan sebelum ini, Pemilik Hotel Seafest, Datuk Chua telah menutup operasi para nelayan di hadapan hotelnya dan kali ini Pemilik Pasar Putu, Sim Sing Lee telah menutup tapak perniagaan kami yang terletak di belakang kedainya.

Sebagai pengundi yang tidak pernah berpaling daripada Kerajaan Barisan Nasional sejak Sabah mencapai kemerdekaan dan Semporna menjadi salah satu Pusat Tamaddun Awal Manusia, kami amat kesal kerana BN kini lebih kejam daripada semua penjajah yang pernah memerintah Sabah, namun belum pernah berjaya memerintah Daerah Magindora yang terletak di Semporna.

Inikah hadiah Wakil Rakyat kami di bulan Ramadan dengan merobohkan tapak perniagaan kami?. Sekian lama kami membayar yuran kepada Majlis Daerah sebanyak RM 30.00 sebulan dengan pungutan harian RM 1.00; tetapi dengan tiba-tiba orang lain pula datang merobohkan tapak perniagaan kami.

Di mana keadilan untuk bumiputera yang gagal dipertahankan oleh semua Wakil Rakyat kami yang bagaikan menjadi ‘khadam’ kepada Kapitalis Cina ini?

Terdapat hampir 100 pengusaha dan penjaja kecil yang berjaja di kawasan berkenaan yang terdiri dari bumiputera tulen yang datang dari pulau-pulau sekitar Semporna untuk memasarkan barang-barang pertanian mereka seperti sayuran, lada, bawang dan sebagainya dengan mengharapkan untung antara RM5.00 hingga RM10.00 sehari; akhirnya kehilangan pendapatan di bulan Ramadan ini dan tidak dapat ber‘Hari Raya’ kerana sudah tiada apa lagi boleh diniagakan mereka.

Sementara itu, Majlis Daerah Semporna yang memungut cukai harian tidak kelihatan dan seolah-olah tidak bertanggungjawab terhadap masalah yang kami hadapi; seolah-olah selama ini mereka memungut cukai secara haram.

Jesteru itu, kami mohon pertimbangan supaya YAB Ketua Menteri dapat membela kami dan menegakkan keadilan dengan membatalkan kelulusan yang telah diberikan kepada golongan kapitalis ini, serta mewartakan tapak berkenaan sebagai ‘Hak Tanah Adat’ bagi membolehkan penjaja meneruskan tradisi yang mereka jalankan sejak zaman sebelum merdeka lagi.

Andaikata YAB Ketua Menteri gagal membantu kami kerana kekangan undang-undang, maka kami tidak mempunyai pilihan selain membawa isu ini ke mahkamah untuk menuntut keadilan yang gagal ditunaikan Kerajaan Barisan Nasional Sabah.

Sekian, Salam Ramadan,

HADIMAN IBNUHARI

Pengerusi Penaja Persatuan Usahawan Kecil Semporna


s.k.


Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak,

Perdana Menteri Malaysia,

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,

62502 PUTRAJAYA.


(Mohon ehsan YAB Datuk Seri agar dapat menasihati Kerajaan Negeri Sabah agar mengembalikan tapak tanah tersebut kepada para penjaja kecil yang selama ini diberi lesen menjaja atau berniaga secara sah melalui pungut bayaran sewa RM1 sehari kepada Majlis Daerah Semporna)


Yang Berusaha Mr. Ban Ki-Moon,

Setiausaha Agung PBB,

760, United Nations Plaza,

New York,

NY 10017, USA.


(Mohon ehsan agar PBB menghantar wakil untuk menyiasat kerana berlaku penindasan terbuka terhadap hak dan masa hadapan ‘Orang Asal’ di Sabah dan memberikan pembelaan sewajarnya sebagaimana dilakukan di negara lain di dunia.)

No comments:

Post a Comment