Sunday 15 August 2010

SAHUR, SAHUR! VK LIEW MAKAN SAHUR!



SERONOK….Liew kelihatan begitu seronok makan sahur bersama umat Islam dengan ditemani Hj Alipudin di sebelahnya.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

KEDATANGAN mendadak Ahli Parlimen Kawasan Sandakan Datuk Liew Vui Kiong bersama rombongannya semarai 30 orang yang terdiri daripada masyarakat Cina ke Taman Mesra lebih kurang jam 3.00 pagi tadi telah mengejutkan penduduk-penduduk dan jiran-jiran setempat lainnya yang sedang bersiap-siap untuk mengerjakan sunat sahur.

Beberapa orang penduduk yang tinggal di blok 20 dan blok 40 taman tersebut merasa hairan dan terkejut apabila melihat ramai di kalangan masyarakat Cina yang berpakaian Baju T berlambangkan obor berkerumun di hadapan kedua-dua blok yang bertentangan itu.

Rupa-rupanya mereka itu adalah ahli Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP) yang sedang menunggu ketibaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew untuk bersahur bersama-sama penduduk taman ini.

Sebentar kemudian muncul Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Surau Saidina Ali Abi Talib, Taman Mesra, Hj Alipudin Puyon; Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) kawasan Elopura Mohamed Hj Utung dan Pemaju Mukim Elopura Mohd Hafid Sealing dan termasuk ahli-ahli jawatankuasa surau berkenaan.

Sebelum menjamu selera dengan pelbagai juadah yang telah tersedia itu di rumah Hajjah Jainab Said, Mohd Utung selaku bagi wakil masyarakat Islam Taman tersebut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Parlimen berkenaan kerana sudi bersama-sama umat Islam makan sahur dan menghormati ibadah puasa.

“Saya sudah masuk empat penggal memegang jawatan sebagai Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) kawasan Elopura, belum pernah nampak mana-mana ahli-ahli Parlimen mahupun ADUN kawasan ini yang bukan beragama Islam turut makan sahur bersama-sama penduduk Islam, khususnya di bulan Ramadan Almubarak yang penuh berkat ini,” ujar Mohd Utung lagi.

Kata Mohd Utung, beliau bukan mahu memperbesarkan isu ini tetapi terharu dengan keprihatinan Datuk V.K. Liew yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Umat Islam, sekalipun beliau tidak mengerjakan ibadah puasa, namun penghormatan ini cukup bermakna kepada mereka.

“Kunjungan di waktu sahur sebegini adalah kali pertama dilaksanakan oleh seorang Ahli Parlimen kerana sebelum ini semua Wakil Rakyat hanya memeriahkan majlis berbuka puasa,” jelas Mohd.

Kata Mohd Utung lagi, beliau percaya tindakan VK Liew dan rombongannya berpaksikan kepada usaha untuk mengeratkan hubungan mesra antara masyarakat Islam dan bukan Islam ini sejajar dengan konsep dan Gagasan ‘1Malaysia’ untuk mengendurkan ketegangan kerana sebelum ini LDP ditohmah dengan pelbagai tuduhan liar (termasuk isu Patung Mazu).

Dalam ucapan balasnya, VK Liew antara lain menjelaskan ini, adalah menjad misi dan visi beliau sebagai seorang Ahli Parlimen kawasan Sandakan yang dipilih oleh rakyat majmuk, maka beliau harus kembali bersama-sama rakyat agar segala permasalahan rakyat dapat diketahui dengan lebih dekat lagi.

Selesai saja majlis makan sahur, VK Liew dan rombongannya beredar, manakala umat Islam lain masing-masing menuju ke surau berkenaan untuk menunaikan solat subuh.

No comments:

Post a Comment