Thursday 5 August 2010

SELEPAS TANAH, KINI BN ROMPAK TANDAS?



TANDAS…Dr Nicholas melawat tandas yang terlibat dan menemubual penyewa.

Oleh: MAIL MATHEW

PENYELARAS Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dun Liawan, Dr Nicholas James Guntobon menggesa pengurusan Majlis Daerah Keningau (MDK) agar memberi peluang kepada para penyewa dan penyelenggara tandas awam untuk menyertai tawaran baru berdasarkan rekod baik mereka sebelum ini yang difahamkan tidak pernah mendapat tohmahan para pengguna.

Katanya, mengikut amalan prosedur yang betul, setiap penyewa harus diberi masa yang secukupnya iaitu sekurang-kurangnya tiga bulan notis sebelum menamatkan kontrak, tetapi sebaliknya bagi kes ini mereka hanya diberikan masa selama dua minggu untuk menyerahkan kunci setiap tandas awam.

Beliau berkata demikian ketika memberitahu Sabahkini.net semasa melawat para penyewa tandas awam yang menerima penamatan kontrak secara tergesa-gesa oleh pengurusan MDK pada Rabu.

Dr Nick turut menggesa pihak MDK agar segera memulangkan wang deposit kepada para penyewa 5 buah tandas awam di sini sebanyak lebih RM2,000 setiap penyewa kerana mereka ini terdiri dari golongan yang kurang berkemampuan dan perlu dibantu kerajaan.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut ekoran tindakan beberapa penyewa tandas yang merasa kecewa dan ingin mendapat pembelaan tidak kira di mana saluran yang dituju kerana mereka mendakwa bahawa mereka sudah puas dan letih mengemukakan masalah tersebut namun semuanya menemui jalan buntu.

Dr Nick yang turut bersimpati masalah tersebut lantas mengambil tindakan mengikut saluran kerana selain mengutus surat kepada pihak MDK, beliau juga melakukan lawatan ke tempat-tempat terlibat termasuk menemubual para penyewa di lima buah tandas awam.

“He he, dulu mereka rompak tanah rakyat, halau dan bakar rumah rakyat di kawasan hutan simpan. Selepas itu sedar mereka silap, mereka perkenalkan Communal Title. Kini tandas pun mereka mau rompak juga? Memang memalukan bagi sebuah kerajaan yang merompak tandas daripada rakyat setelah kehabisan kontrak,” ujar Dr Nick dalam nada berseloroh.


KEJAM… Surat daripada MDK berhubung penamatan kontrak salah sebuah konsesi tandas awam.

Dalam pada itu, seorang penyewa yang dikenali Theresa tanpa segan silu memberitahu sambil menunjukkan surat dari MDK bil. MDKGU: 300.(S): 300-8/349 bertarikh 3 Febuari 2010 yang mereka seolah-olah dianak tirikan oleh MDK.

“Kami ditawarkan menyewa di sini bukan ada tempoh kontrak. Asalkan bersih, selamat dan tiada masalah kontrak kami tetap diteruskan. Tetapi sekarang apa sudah jadi? Kami ini miskin dan warga tempatan langsung tiada pertimbangan,” tegas Theresa.

Ketika ditanya lanjut sudahkah mereka mengajukan rayuan kepada pihak MDK Theresa berkata, beliau dan rakan-rakan yang lain sudah puas berusaha menemui pihak-pihak tertentu termasuklah wakil rakyat tetapi masih juga berkeadaan yang sama.

“Kami tiada pilihan lain kami minta tolong pembangkang dan juga media supaya masalah kami boleh dilihat oleh pihak lain termasuk Menteri. Kami bukan tidak beri muka kerajaan tempatan di sini tapi kalau mereka tidak bertimbang rasa, apa juga kami boleh buat. Kami pun inginkan keadilan juga,” tambah Theresa yang diiringi perasaan kecewa dan kekesalan.

No comments:

Post a Comment