Friday 6 August 2010

SINGKIR DURI DALAM DAGING UMNO!



RAMAI…. Samsudin bergambar beramai-ramai bersama ahli-ahli UMNO yang hadir pada majlis tersebut.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

MEMANDANGKAN pilihanraya umum ke 13 semakin hampir, Ketua Bahagian UMNO yang juga selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) kawasan Batu Sapi, Datuk Hj Samsudin Yahya menyarankan supaya setiap jentera pentadbiran sama ada di peringkat bahagian, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri termasuk juga di peringkat cawangan hendaklah dikemaskinikan demi memantapkan perjalanan pentadbiran masing-masing.

“Walaupun kita baru saja selesai mengadakan Mesyuarat Tahunan Bahagian ini dengan keadaan harmoni tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak, ini tidak bermakna bahagian dan cawangan kita sudah cukup kuat dan mantap namun sebaliknya semua pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan harus bergerak seiring dalam mempastikan kedudukan pengundi ahli-ahli kita” sarannya.

Samsudin membuat saranan demikian ketika berucap di majlis Makan Malam Bersama Ketua Bahagian UMNO Batu Sapi dengan Ahli Jawatankuasa Bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri di sini malam tadi.

Samsudin melahirkan rasa gembira dan terharu kerana kerjasama yang erat di kalangan ahli-ahli UMNO sama ada di peringkat bahagian, cawangan sehinggalah ke akar umbi jalinan mesra antara satu sama lain begitu ketara sekali.

“Cara beginilah yang kita mahu dengan kewujudan keharmonian dan perpaduan yang sedia terjalin dengan sesama ahli sendiri tanpa mengira kedudukan mereka dalam parti dan ini jelas akan menjurus kepada ketelusan dan kekuatan dalam memperjuangkan semangat kental dalam UMNO,” jelasnya.

Dalam kontek ini, perlu dijelaskan kata Samsudin, kita tidak mahu ada ahli-ahli UMNO di kawasan Batu Sapi ini yang disifatkan sebagai ‘Duri Dalam Daging’ kerana spesis ini tidak boleh berada lebih lama dalam UMNO. Kesannya mereka akan menghancurkan perjuangan UMNO.

“Syukur Alhamdullilah. Buat masa ini belum wujud lagi kelompok-kelompok kecil yang membentuk kumpulan A, B dan C di kawasan Batu Sapi, seperti yang terdapat di kawasan-kawasan lain,” tambah Samsudin.

Jika wujudnya kumpulan-kumpulan seperti yang beliau nyatakan itu ini akan memecahbelahkan perpaduan dan kerjasama di dalam bahagian itu sendiri kerana sudah tidak sehaluan lagi.

Majlis yang diadakan di restoran Pasir Putih Sandakan telah dihadiri seramai lebih 70 orang ahli daripada bahagian Pemuda, Wanita, dan Puteri.

No comments:

Post a Comment