Thursday 19 August 2010

SPRM DIGESA SIASAT SKANDAL SRJK YUK YIN



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

MENGEJUTKAN! Tapak SJKC Yuk Yin di Pekan Keningau yang telah menimbulkan kontroversi sebelum ini telah dijual kepada sebuah syarikat pemaju. Pada masa kini, syarikat ini telah berjaya menjalankan operasi sebuah pasaraya dalam satu bangunan empat tingkat.

Walaubagaimanapun, bekas pelajar SJKC Yuk Yin Keningau, Chen Siong Yee meminta pihak kerajaan khasnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis menyiasat semula isu ini.

Menurut Chen, siasatan ini perlu kerana mesyuarat tapak tanah ini yang dipengerusikan oleh Tham Koon Siong (sekarang Datuk) pada waktu itu dengan jumlah ahli lembaga beliau seramai 34 orang sahaja dan beliau telah mengadakan dua kali mesyuarat.

Mesyuarat pertama diadakan pada 02 Mei 2005 tetapi tidak mencukupi korum lalu diadakan sekali lagi pada 16 Mei 2005 yang hanya dihadiri oleh 12 orang sahaja; 5 orang daripadanya ialah bekas pelajar SJKC Yuk Yin Keningau.

Pada ketika itu, (Datuk) Tham Koon Siong juga tidak hadir kerana bersama-sama dengan kontraktor pergi ke Shanghai, China. Selepas itu, apabila kembali ke Malaysia, (Datuk) Tham Koon Siong kemudian berkata, beliau telah mendapat sokongan dan menjadi Pengerusi Lembaga SJKC Yuk Yin Keningau seterusnya menguruskan tapak tanah lama SJKC Yuk Yin Keningau untuk memindahkan geran penggunaanya daripada sekolah kepada komersil dan kemudian menjualnya kepada sebuah syarikat pemaju iaitu Sri Padasa.

Chen berkata, walaupun mereka telah membuat laporan mengenai perkara ini kepada pejabat SPRM di Kota Kinabalu, pihak polis di Keningau, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, namun sehingga kini tiada apa-apa jawapan.

Sehubungan itu, beliau berharap perkara ini dapat disiasat semula kerana Lembaga Pengurusan SJKC Yuk Yin Keningau bukan hanya 34 orang sahaja dan beliau juga tidak hadir dalam mesyuarat kedua.

Mengikut minit mesyuarat berkenaan, hanya 17 orang sahaja yang membuat pemilihan di mana perlembagaan ini disahkan dengan kenyataan daripada lembaga sekolah itu sendiri.

Selain itu, proses penukaran nama di tanah geran itu hanya mengambil masa 1 bulan 18 hari dan tidak pernah dibawa ke mahkamah tinggi, sedangkan pemilik asal geran itu ialah Pemegang Amanah Lembaga Pengurusan SJKC Yuk Yin Keningau dan tiada sesiapa yang boleh mengubahnya kecuali mendapat kelulusan daripada kaum Tionghua dan perintah mahkamah tinggi.

“Tanah geran itu juga diubah dari penggunaan sekolah kepada komersil dan proses tersebut juga tidak mengikut peraturan yang betul,” kata Chen sambil mendesak siasatan semula demi untuk kebaikan kepada kerajaan BN dan mengukuhkan kepercayaan daripada rakyat, khasnya kaum Tionghua.

Secara latarnya, SJKC Yuk Yin Keningau pada mesyuarat 29 Julai 1993 kaum Tionghua telah sebulat suara membuat keputusan tanah tapak SJKC Yuk Yin Keningau di Pekan Keningau akan dibina sebuah Dewan Masyarakat Serbaguna.

Namun (Datuk) Tham Koon Siong tidak mengikut keputusan tersebut dan mengambil keputusan sendiri untuk memindahkan SJKC Yuk Yin Keningau dari Pekan Keningau ke Kampung Ria yang mana sehingga kini, masih terdapat masalah mengenai kira-kira 28 buah rumah kampung yang masih terletak dalam tapak SJKC Yuk Yin Keningau. Jika ingin dipindahkan, sekolah terpaksa membayar pampasan lebih kurang RM 2 juta.

Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar SJKC Yuk Yin Keningau, Tsen Khin Loong telah mengirim sepucuk surat ke Pejabat SPRM Putrajaya pada 12 September 2006 tetapi sebarang tindakan diambil.

Tsen berkata, Tun Dr. Ling Ling Sik, bekas presiden MCA yang menghadapi masalah kes tapak tanah Klang, di Kuala Lumpur telah dibawa ke mahkamah tinggi dan beliau berharap pihak kerajaan dapat mengambil tindakan dengan segera untuk kebaikan kepada rakyat dan negara khasnya kepada kerajaan BN.

Pada 06 September 2006, bangunan SJKC Yuk Yin Keningau telah dirobohkan oleh syarikat pemaju Sri Padasa. Ramai masyarakat Tionghua berasa hairan mengapa bangunan-bangunan sekolah itu ingin dirobohkan.

Lanjutan daripada itu, pada 10 September 2006, masyarakat Tionghua mengadakan satu mesyuarat. Pada waktu itu, Pegawai Daerah Keningau, Zulkifli Nasir telah mengatakan projek membina bangunan projek SJKC Yuk Yin Keningau dan ianya tidak sah.

Dalam mesyuarat juga, bekas Pengerusi Persatuan Perniagaan Tionghua Keningau merangkap bekas Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Yuk Yin Keningau, Alex Chan juga tidak bersetuju tapak SJKC Yuk Yin Keningau dibina bangunan kerana lebih banyak sekolah seperti di Kota Kinabalu yang juga terletak di dalam kawasan Bandar.

Pada 08 Oktober 2006, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj Aman semasa dalam majlis berbuka puasa di Zon 4 UMNO, di kawasan Sook Keningau telah mengumumkan projek bangunan SJKC Yuk Yin Keningau diberhentikan untuk disiasat semula.

Manakala pada 30 November 2006 satu sub-majlis dipengerusikan oleh Richard Lee tiba-tiba meluluskan projek bangunan tapak SJKC Yuk Yin Keningau untuk membina 14 buah kedai dalam 2 barisan dan juga ada satu jalan raya terletak antara tapak SJKC Yuk Yin Keningau dengan bangunan Tai Pak Kung Keningau.

Namun begitu, bangunan sekarang tidak mempunyai sebarang jalan raya dan mengakibatkan kesesakan jalan raya. Bagaimanakah perkara ini boleh dibenarkan? Ahli Majlis Daerah merangkap UPKR, Vincent Lee berkata, walaupun sub-majlis meluluskannya tetapi ia tidak dibawa kepada mesyuarat penuh majlis.

Pada 07 Januari 2007, tapak bangunan SJKC Yuk Yin Keningau telah mula dibina sebaris kedai 10 unit dan pada tahun 2008 telah disiapkan. Namun, sebelah baris kedai itu diubah dengan membina satu bangunan besar pasaraya empat tingkat seperti yang ada sekarang. Ini telah menipu kerajaan dan masyarakat Tionghua kerana pada waktu itu, pelan asal ialah membina 14 pintu kedai dalam 2 barisan.

Bagi memberi keterangan kepada masyarakat Tionghua, (Datuk) Tham Koon Siong berkata, pada mulanya ingin memberikan dua kedai kepada SJKC Yuk Yin Keningau iaitu sebuah kedai diberi kepada Sekolah Yuk Kong dan sebuah lagi kepada SJKC Yuk Yin Keningau.

Selepas itu, beliau mengubah lagi bahawa akan memberi tiga kedai kepada SJKC Yuk Yin Keningau. Apabila masyarakat Tionghua membuat bantahan besar-besaran, (Datuk) Tham Koon Siong kemudian mengatakan akan memberi 5 pintu kedai kepada SJKC Yuk Yin Keningau.

Namun 5 pintu kedai ini hanya dikuasai oleh 15 orang dan dalam satu syarikat sendirian berhad. Perkara seperti ini, (Datuk) Tham Koon Siong telah berkuasa penuh dan menganggap tanah SJKC Yuk Yin Keningau adalah miliknya sendiri.

Adakah ini dibenarkan dalam kerajaan BN? Siapa lagi yang berani menderma kepada sekolah pada masa akan datang jika tidak ada satu pihak berkuasapun berani mengambil tindakan terhadap Penjenayah Kolar Putih yang melakukan pecah amanah dan mengkhianati masyarakat Tiong Hua?

Mungkin tiba masanya, mereka beralih arah?

No comments:

Post a Comment