Monday 16 August 2010

TINGKATKAN AMAL IBADAT DI BULAN RAMADAN



BINCANG...Datuk Nasir (tiga kiri) diiringi A.M.Ibnu (kiri) dan sebahagian jemaah berbincang sesuatu dengan Gulam Miralam (kanan) sempena majlis berbuka puasa di zon Kabogan,Semporna.

Oleh: ARSHAD HUSSIN

MENTERI Di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran, menyarankan umat Islam meningkatkan amal ibadat sempena bulan Ramadhan Al-Mubaraq selain berpuasa dan bersedekah sebagai amal jariah.

Katanya, bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan rahmat dan umat Islam seharusnya mengambil peluang itu memperbanyakkan amalan agama, solat tarawih, bertadrus Al-Qur’an dan qiamullail.

Datuk Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam, menjelaskan umat Islam juga hendaklah menghormati bulan mulia ini dan tidak makan minum di khalayak ramai.

Beliau berkata demikian sempena menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat bagi Zon Kabogan di sini.

Hadirsama sempena majis itu isteri Datuk Nasir, Datin Hajjah Rokiah Haji Badar; Pegawai Daerah Semporna, A.M.Ibnu A.K.Baba; Pemimpin Unit Kemajuan Rakyat Kawasan Senallang, Haji Tahir Amir; Ketua Daerah Semporna Kawasan Senallang, OKK Haji Musa Sabaani; Kapitan Cina Kawasan Bubul, Datuk Chao Yan San; Kapitan Cina Kawasan Bandar, Ong Hang Seng; Pegawai Kemajuan Masyarakat Senallang, Roslan Jalaludin dan kakitangan UPKR dan DUN Senallang.

Selain itu beliau juga mengingatkan ibubapa sentiasa mendidik anak-anak mereka dengan amalan berpuasa di samping memberikan pendidikan agama dan akademik sebagai pemangkin ke arah pembinaan generasi yang berilmu dan beragama.

Beliau menambah, para ibubapa yang mempunyai anak-anak sedang belajar di luar Negara khususnya di Mesir supaya tidak merasa risau dan gundah kerana kerajaan negeri Sabah sudahpun memiliki dan menyediakan dua buah asrama baru yang telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman bagi menempatkan pelajar-pelajar yang menuntut di Iskandariah dan Kaherah.

Sehubungan itu Datuk Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Senallang, mengingatkan rakyat sentiasa bersyukur terhadap nikmat dan rahmat Allah SWT serta berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa prihatin membela nasib rakyat.

Katanya, rakyat di kawasan itu kini telah menikmati pelbagai pembangunan dan prasarana yang diperlukan dalam kehidupan harian berbanding sebelum merdeka dan sebelum kerajaan BN memerintah negeri ini.

Nasir berkata, berhubung bekalan air bersih yang sudah lama dinikmati di kawasan itu sedang dalam perancangan untuk dipertingkatkan.

Katanya, kerajaan juga sedang merancang membina sekolah menengah Kabogan dan tiga puluh buah rumah PPR bagi kawasan DUN Senallang.

Selain itu Nasir juga meminta semua rakyat terus bersatu padu dan mengukuhkan perpaduan sebagai pemangkin kearah keamanan, kesejateraan dan aman makmur berlandaskan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment