Sunday 8 August 2010

UPKO BEAUFORT ‘OKU’ POLITIK?




PENGHORMATAN....Para pemimpin BN Beaufort diiringi oleh keluarga mendiang memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Josephone yang terkorban dalam nahas jalan raya di kediaman keluarganya di Kg. Kiambor, Kuala Penyu.

Oleh : KREW SABAHKINI.NET

UPKO Bahagian Beaufort kini seolah-olah menjadi ‘Orang Kurang Upaya Politik’ (OKU) apabila kehilangan dua pemimpin kanan berikutan kematian Naib Ketua Bahagian II, Josephone Cheongkiam baru-baru ini selain ura-ura seorang lagi Naib Ketua Bahagian III, Haji Talip Mijin yang akan menyertai sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) atas faktor peribadi.

Ketiadaan pemimpin kanan tersebut dijangka menjadi cabaran paling getir bagi Ketua Bahagian, Datuk Wences Anggang, yang juga memegang jawatan Naib Presiden UPKO Pusat dalam menyakinkan rakyat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Penyu; apa lagi dengan situasi wakil rakyatnya, Teo Mau Sing @ John Teo yang sering dipersoalkan reputasinya kebelakangan ini.

Kedudukan UPKO bahagian berkenaan tercalar apabila rakan-rakan dalam komponen di Bahagian Beaufort sendiri terlalu terluka dengan sikap wakil rakyat tersebut yang mereka sifatkan sebagai hanya mementingkan diri sendiri dan bersikap dingin dengan pemimpin komponen BN lain terutama dari UMNO dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sikap beliau itu dikatakan telah banyak memalitkan lumpur kepada kewibawaan UPKO bahagian berkenaan dan ini dilihat sebagai satu bencana yang bakal mengundang terutama apabila menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Kemelut ini selain daripada gangguan perasaan dalam kalangan pemimpin akar umbi BN Bahagian Beaufort kerana tidak mendapat layanan baik wakil rakyat Kuala Penyu bakal memberi impak negatif terhadap usaha untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan dan senario ini mungkin akan membuatkan Datuk Wences tidak dapat tidur lena.

Di satu pihak pula, pergeseran yang berlaku dalam UPKO Bahagian Beaufort antara konco-konco yang pro Wences, puak John Teo dan kem Monih Epin, seorang ketua penerangan yang bercita-cita tinggi, ditambah lagi dengan kehilangan beberapa pemimpin kanan ini akan mengundang padah untuk menzahirkan sokongan rakyat kepada BN.

Pemergian mendiang Josephone akibat terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Kampung Bingkul, Beaufort baru-baru ini merupakan sesuatu yang mengejutkan. Walaupun mendiang dilihat lebih pro-aktif dalam bidang pembinaan tetapi beliau seorang berani memberi cadangan bagi kepentingan parti.

Sekiranya khabar angin Haji Talip Mijin, Ketua Bahagian III untuk menyertai UMNO menjadi kenyataan maka ini satu lagi tamparan kepada parti itu di bahagian Beaufort yang selama ini kurang mempunyai sensitiviti terhadap kehadiran orang-orang Islam yang menganggotai parti itu.

Menurut sumber UMNO bahagian, Haji Talip, seorang Ketua Anak Negeri (KAN) di Pejabat Daerah Kecil Menumbok sudah pun menyatakan hasrat untuk menyertai parti itu di bahagian Beaufort kerana penyertaannya itu membolehkan beliau diangkat menjadi Ketua Daerah bagi mengisi kuota parti itu.

Yang nyata, isteri beliau merupakan ahli UMNO dan memegang jawatan di peringkat cawangan dan ini menguatkan lagi andaian bahawa Haji Talip tidak main-main meluahkan hasrat untuk menjadi ahli UMNO sekali gus mengidamkan habuan menjadi Ketua Daerah yang memang diimpi-impikannya sejak sekian lama.

Bak kata pepatah, alang-alang meyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Kalau peluang sudah di hadapan mata, mahukan apalagi di dalam UPKO, jika sekadar jadi boneka, untuk menggaburi mata masyarakat Islam yang menyumbang hampir 60 peratus undi bagi kerusi DUN Kuala Penyu.

No comments:

Post a Comment