Wednesday 4 August 2010

USUL SAPP DITOLAK



DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sabah menolak usul yang meminta kerajaan negeri menyediakan kertas putih berkaitan punca kejatuhan nilai Saham Amanah Sabah (SAS) pada tahun 1997 dan 1998, selepas dibahaskan pada sidang DUN di sini kelmarin.

Speaker DUN Datuk Juhar Mahiruddin mengumumkan keputusan itu selepas majoriti anggota dewan menyokong supaya usul yang dikemukakan oleh Datuk Liew Teck Chan (SAPP- Likas) itu ditolak.

Liew, dalam usulnya, berkata, kertas putih itu penting bagi menjelaskan kedudukan sebenar kemerosotan dan kejatuhan saham SAS pada tahun 1997 dan 1998.

Beliau berkata, ini kerana isu itu dipertikaikan oleh Parti Bersatu Sabah (PBS), sama ada semasa menjadi parti pembangkang sebelum ini dan sebagai parti komponen dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) pada masa ini.

Menurutnya, para pemimpin PBS berkali-kali menuduh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee seolah-olah menyebabkan kejatuhan SAS pada tahun 1997 dan 1998 akibat unsur-unsur penyelewengan dan kesalahan.

Nilai saham pada tempoh itu dikatakan merosot daripada RM1 seunit kepada kurang daripada RM0.20 sen.

Liew berkata, kertas putih itu akan menjadi asas bagi pihak yang berwajib untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya wujud penyelewengan, dan siapa yang terlibat mengendalikan SAS sejak ia diwujudkan.

Usul itu hanya disokong Melanie Chia Chui Ket (SAPP-Luyang). Ketika membahaskan usul itu, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri yang juga Adun Api-Api, Datuk Dr Yee Moh Chai, Menteri Pembangunan Perindustrian Negeri, Datuk Raymond Tan dan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Herbert Timbun Lagadan, yang turut mengambil bahagian dalam perbahasan itu, berkata, tidak ada keperluan untuk menyediakan kertas putih berhubung isu itu.

Menurut mereka kerajaan negeri boleh memberi penjelasan tanpa menyediakan kertas putih, malah menyarankan Yong sebagai Ketua Menteri pada ketika itu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung kejatuhan nilai SAS.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Datuk Taufik Abu Bakar Titingan berkata, nilai aset bersih SAS telah meningkat sebanyak RM92.61 juta daripada RM271.85 juta pada September 2008 kepada RM364.46 juta setakat 28 Julai tahun ini.

Beliau berkata, sebelum pelaburan dari kerajaan negeri, nilai aset bersih hanya RM73.01 juta pada 14 Sept 2008.

No comments:

Post a Comment