Tuesday 7 September 2010

88 KELUARGA SAMBUT RAYA DALAM DUKA




KESAL….Majid kesal kerana 88 keluarga bekas mangsa kebakaran hidup merempat di tanah air mereka sendiri setelah janji pemimpin BN tidak dipenuhi.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

SERAMAI 88 keluarga yang membabitkan 68 buah rumah bekas mangsa kebakaran di Kampung Simunul Ice Box, Semporna yang berlaku pada 5 Jun 2007 memohon kepada kerajaan, khususnya ADUN mereka, Datuk Ramlee Marahaban; Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran dan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri mohd Shafie Apdal supaya mencari tempat baru bagi menempatkan semula mangsa-mangsa berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Simunul Ice Box, Semporna, Datu Hj Majid Datu Seribu (gambar tengah) ketika ditemui oleh Ketua Biro Sabahkini.net baru-baru ini menjelaskan bahawa sudah hampir tiga tahun mangsa terbabit hidup dalam kesengsaraan dan merempat di sana-sini kerana tiada kediaman tetap.

“Kami telah difahamkan oleh pihak yang berkenaan bahawa bekas tapak kebakaran tersebut ianya telah digazetkan sebagai kawasan perindustrian yang bakal dibangunkan pada masa terdekat ini,” jelasnya Majid yang cuba menahan sebak kerana mereka terpaksa menyambut hari raya sekali lagi dalam keadaan serba kedaifan bagaikan musafir kelana sejak tiga tahun lalu.

Majid dalam nada agak kesal dan sebak memberitahu mereka tidak marah sekalipun Kerajaan bertindak ‘merampas’ Kampung Tradisi mereka untuk dimajukan sebagai Zon Industri, namun mereka terkilan kerana semua mangsa kebakaran terus diabaikan dan tiada pembelaan daripada mana-mana pihak, khususnya wakil rakyat sendiri .

Kata Majid lagi, dua minggu yang lalu beliau telah menghadiri satu mesyuarat dan Pegawai Daerah sendiri telah memaklumkan bahawa kerajaan telah menyediakan kawasan tanah seluas 280 ekar untuk dibangunkan perumahan bagi menempatkan semua bekas mangsa kebakaran.

“Sekiranya apa yang diperkatakan oleh Pegawai Daerah berkenaan menjadi kenyataan, kami amat bersyukur, tetapi Kerajaan wajib selesaikan dahulu tapak rumah baru untuk mangsa yang menderita sejak tiga tahun lalu,” ujar Majid yang sudah jemu menunggu janji yang tidak kunjung tiba.

Kata Majid, setahun yang lalu JKKK telahpun mengajukan satu memorandum kepada Ketua Menteri Sabah untuk meminta bantuan agar kawasan tapak kebakaran itu di bangunkan semula perumahan kampung, malang sekali disebabkan timbul ketegangan antara Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal, maka segala urusan menjadi terbantut dan tidak dapat diuruskan.

“Kami agak kesal kerana orang asing yang tinggal di negara ini, khususnya di Semporna mendapat pelbagai keistimewaan daripada Wakil Rakyat dan Kerajaan; tetapi kami Anak Jadi Semporna, dilayan lebih teruk daripada haiwan. Burungpun ada sarang, tapi kami rumahpun tiada. Asyik menyewa dan menumpang bertahun-tahun dengan keluarga. Kalau kami dirikan rumah di kawasan bekas kebakaran, sekejap sahaja Majlis Daerah Semporna datang bongkar, tapi kalau PATI bina, mereka tidak berani buat apa-apa,” kata Majid yang kesal sikap ADUN dan kerajaan yang memandang sambil lewa sahaja isu ini.

No comments:

Post a Comment