Saturday 18 September 2010

AHLI PARLIMEN PERLU ADA SEMANGAT PATRIOTIK



Oleh: SURIATI MAHMUD

SARANAN Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim agar semua ahli Parlimen perlu meletakkan semangat kenegaraan Malaysia di tahap tertinggi, tanpa mengira fahaman politik dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing disambut baik oleh semua pihak.

Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian, Kunsul Nahul berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi yang langsung tidak mempunyai semangat patriotik dengan mengekalkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sebagai pegawainya dan memecat Ketua Pegawai Perhubungannya, Chong Su Vun semata-mata kerana hasutan PATI.

Menurut Kunsul, semua Ketua Cawangan UMNO di Silam begitu menyanjungi Chong Su Vun kerana sekalipun beliau bukan Melayu, namun beliau lebih prihatin terhadap rakyat tempatan dan sentiasa membantu sesiapa sahaja tanpa mengira kaum, fahaman politik dan anutan agama.

“Bagaimana kita mahu yakinkan rakyat terutama ahli UMNO jika Ahli Parlimen tidak lagi mampu berkhidmat untuk rakyat dan sengaja mencari sebab untuk menghukum Ketua Cawangan yang tidak menyokong beliau sehingga gagal mendapatkan sebarang jawatan, baik dalam UMNO atau BN,” ujar Kunsul yang berharap agar amaran Perdana Menteri dapat menyedarkan Salleh agar kembali ke pangkal jalan.

Kata Kunsul, nepotisme dalam pentadbiran menyebabkan Pejabat Parlimen Silam tidak terurus dan kakitangan termasuk beliau tidak pernah dibayar gaji dan hanya mengharapkan ehsan Chong sehingga ramai di antara mereka berhenti atas kehendak sendiri.

“Kita tidak tahu ke mana dibelanjakan peruntukan Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM100,000 sebulan untuk membayar gaji kakitangan dan pejabat jika semuanya terpaksa dibayar oleh Chong dengan wang daripada poketnya sendiri,” ujar Kunsul yang agak kecewa kerana Salleh tidak mengenang jasa.

No comments:

Post a Comment