Saturday 18 September 2010

BATU SUMPAH ATAU SUMPAH-SUMPAH?



Oleh : ROZIE JUMAT

BATU Sumpah Peringatan interior seperti yang diistilahkan 47 tahun yang lalu, memang membawa siginifikan yang cukup bermakna kepada rakyat Sabah terutamanya masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) di pedalaman kerana ia berkait rapat dengan sejarah pembentukan sebuah negara bernama Malaysia tahun 1963, dengan tentangan kuat, G.S Sundang orang kuat British, yang mengetuai Parti Pasok Momogun.

Sehinggalah Suruhanjaya Cobbold, akhirnya pedalaman satu-satunya kawasan di Sabah yang menentang Sabah menyokong penubuhan sebuah negara bernama Malaysia.

Dengan pengunduran Bristih di bumi North Borneo kerana kekalahan Tentera Bersekutu disebabkan Tragedy Pearl Harbour, Chartered Company meninggalkan North Borneo kerana siri-siri kemusnahan akibat penentangan orang tempatan selain patahnya semangat orang British akibat peperangan di beberapa kawasan yang dikuasai oleh British.

Dalam masa yang sama, di Tanah Melayu, perundingan untuk kemerdekaan oleh seorang yang berpendidikan Barat, direalisasikan dan akhirnya Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957.

North Borneo yang dikenali sebagai Sabah sebenarnya diberi kemerdekaan oleh Chartered Company disebabkan oleh tekanan kemusnahan selepas kekalahan Jepun. Memandangkan Sabah terkontang kanting dengan tuntutan Filipina dan konfrantasi dengan Indonesia.

Pemimpin Sabah tidak dapat berfikir jauh selain bergabung dengan Tanah Melayu. Akhirnya bersetuju untuk bergabung dan membentuk sebuah kerajaan bernama Negara Malaysia. Masyarakat pedalaman menentang pembentukan ini.

Namun selepas penerangan dibuat mengenai pembentukan kerajaan bernama Malaysia, akhirnya masyarakat pedalaman menerima pembentukan Malaysia dengan syarat-syarat dan timbullah Perkara 20 yang menjadi intipati penerimaan Sabah terhadap gabungan untuk membentuk dan bersama mengujudkan Negara Malaysia.

Intipati utama itu ialah kebebasan beragama, tanah hendaklah di bawah penguasaaan Sabah dan perlindungan terhadap adat istiadat anak negeri. Era Datuk G.S Sundang adalah era kepercayaan terhadap bobolian, batu sumpah yang boleh dimanterakan agar menjadi batu yang bersemangat atau keramat.

Batu sumpah itu diilhamkan oleh G.S Sundang sebagai membuktikan sokongan pedalaman terhadap pembentukan Malaysia.

Batu sumpah dibacakan dengan mentera menandakan kesetiaan dan keakuran rakyat terhadap pembentukan Malaysia, malahan sesuai di zaman itu, mereka mengorbankan haiwan dan sehingga mengeluarkan darah dengan memalitkan di batu berkenaan.

Pada 16 September 2010, mencatatkan sejarah di pedalaman kerana masyarakat berhimpun di hadapan Batu Sumpah Peringatan bertempat di perkarangan Pejabat Daerah Keningau.

Perhimpunan itu adalah bersempena dengan sambutan Hari Malaysia. Demi menghormati sejarah pembentukan serta jaminan kerajaan Persekutuan terhadap Sabah, batu sumpah membawa siginifikan yang amat besar maknanya.

Di hari yang bersejarah selepas 47 tahun, sejarah mengenai kemerdekaan akhirnya diperbetulkan dan Perdana Menteri masa kini memberikan cuti kelepasan pada tarikh sebuah Negara Malaysia dibentuk.

Batu Sumpah telah menjadi tumpuan di pedalaman pada 16 September. Di masa yang sama pihak kerajaan telah mengadakan program di tapak tersebut, begitu juga dengan Yayasan Warisan Borneo (YWB) yang diketuai oleh Datuk Dr. Jeffrey Kitingan membuat kunjungan ke tapak batu sumpah itu sebagai memperingati perjanjian pembentukan Malaysia.

Dengan lengkap berpakaian tradisi, Datuk Dr.Jeffrey dengan dikawal ketat oleh orangnya (terdiri dari ahli-ahli PKR) membaca semula dokumen pemasyhuran Hari Malaysia yang pernah dibuat oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia dan acara memotong ayam berwarna putih di hadapan batu sumpah oleh bomoh dari Mukim Tulid dan Mukim Lanas dalam daerah Sook, Keningau.

Perbuatan mereka itu mendapat tentangan dari Setiausaha Penganjur perhimpunan bagi pihak kerajaan, Rayner F.Udong.

Berlaku pertikaman lidah antara, Pengerusi Penganjur Konvoi Hari Malaysia Yayasan Warisan Borneo, Datuk Kalakau Untol dan Rayner Udong ketika itu. Namun pihak PKR dan YWB meneruskan aktiviti mereka di hadapan batu sumpah dengan kawalan ketat agar upacara itu berjalan dengan lancar.

Ketika ditegur, Kalakau berkata, “Teruskan …saya yang bertanggungjawab”. Dengan mengambil masa antara 5-10 minit, pihak YWB pun beredar dari tapak tersebut, Ketua Polis Daerah, OCPD Zahari dilihat menepuk bahu Datuk Kalakau Untol yang kemudiannya akur dan beredar.

Sebenarnya di masa yang sama, kebanyakan hadirin yang berada di majlis itu berasa keliru, siapakah sebenarnya penganjur Hari Malaysia kerana ketua-ketua masyarakat hanya diberitahu pada saat akhir mengenai penganjuran tersebut.

Bagaimanapun, sesiapapun berhak untuk memberi penghormatan kepada batu sumpah kerana ia adalah hak rakyat Sabah tanpa mengira ideologi politik mereka kerana ia bukan sumpah-sumpah yang suka berubah warna kulit mengikut keadaan.

Saya berpendapat, sebuah badan perlu dibentuk untuk melindungi Batu Sumpah dan badan inilah yang bertanggungjawab menetapkan masa kepada mana-mana kumpulan untuk melakukan lawatan terutamanya pada Hari Malaysia yang akan disambut setiap tahun mulai tahun ini.

(NOTA: Artikel ini adalah pendapat penulis sendiri dan tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak).

No comments:

Post a Comment