Monday 6 September 2010

BOLEHKAH PBS ISI JAWATAN TKM KOUTA CINA?



Oleh: HAJI GHULABDIN ENJIH

BUKAN rahsia lagi berlakunya bantahan dari kalangan parti-parti dalam gabungan Barisan Nasional (BN) Sabah terutamanya kenyataan disuarakan oleh beberapa pemimpin kanan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang tidak bersetuju dengan keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi BN negeri untuk mengekalkan Mantan Naib Presiden Parti Laiberal Demokratik (LDP) Datuk Peter Pang En Yin ke jawatan lamanya, sekiranya benar pemimpin ini menjadikan Parti Gerakan sebuah parti yang bukan berasaskan Negeri Sabah menjadi flatform meneruskan perjuangan politiknya.

Senario ini semakin jelas seperti disuarakan oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tandek, Christopher Mandut yang menyokong kuat kenyataan Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Maximus Ongkili yang menyatakan bahawa Jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah bagi kouta Cina adalah sesuatu ‘Legitimate and rightfully for Sabahan based party’ dan tidak seharusnya diberikan kepada parti yang berpusat di Semenanjung seperti Parti Gerakan.

Sebilangan pemimpin PBS merasakan Parti Gerakan yang masih terkial-kial mencari sokongan daripada rakyat khususnya Masyarakat Cina tidak wajar diberikan jawatan nombor dua kouta Cina itu dan memadai pada peringkat awal ini ianya telah mendapat kedudukan dalam Kabinet negeri yang kini disandang oleh Naib Presidennya, Datuk Raymond Tan Su Kiah.

Seperti kata Naib Ketua PBS Bahagian Kiulu, Jonuin Mansamal, dari sudut percaturan politik untuk mendapatkan sokongan pengundi Cina pada pilihanraya umum ke 13 nanti adalah difikirkan wajar agar BN tidak lari daripada amalan tradisi dan ada baiknya jika jawatan Timbalan Ketua Menteri Kouta Cina itu dipegang oleh parti yang berpangkalan di Sabah dan mempunyai sokongan kuat dari akar umbi.

Adalah tepat jika dijadikan rujukan akan kenyataan Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Maximus yang menyebut muslihat politik yang memberikan ganjaran kepada pihak-pihak yang tidak mempunyai sokongan akar umbi. Apatah lagi jelas seperti ‘Parti Satu Kerusi’ atau ‘Parti Untuk Pemimpin Tanpa Parti’ dan seandainya pemberian jawatan ini diteruskan; dikhuatiri ia tidak akan memperkukuhkan BN di Sabah pada jangka masa panjang.

PBS yang jelas tidak bersetuju dengan keputusan Musa, menyatakan adalah tidak wajar jawatan berkenaan dijadikan sebagai habuan ‘Membalas Budi Kerana Tergadai Bodi’ disebabkan maruah politik yang tercalar, sebagai ganjaran kepada tindakan tertentu, kerana ini bukanlah sesuatu yang sihat dalam BN. Malah akibatnya akan melemahkan sokongan rakyat dan merenggangkan hubungan antara komponen BN itu sendiri.

Sejajar dengan itu PBS merupakan sebuah parti berbilang kaum dan mempunyai sokongan kuat di peringkat akar umbi termasuklah Kaum Cina sewajarnya dan amat layak diberikan pertimbangan untuk menyandang jawatan berkenaan.

Kalangan pemimpin BN juga jelas mempersoalkan keputusan Musa yang tidakpun melalui perbincangan rasmi mengenainya, kerana didapati Peter Pang ketika ini tidak bernaung di mana-mana parti yang mempunyai kapasiti untuk mengekalkan jawatan Timbalan Ketua Menteri berkenaan dan adalah sewajarnya ia digantikan kerana kouta jawatan tersebut adalah bukan untuk individu tetapi untuk parti.

Berlandaskan kepada persoalan yang di timbulkan oleh PBS, sebuah parti yang kedua terbesar di Sabah selepas UMNO, apakah Musa akan terpaksa melupakan pengorbanan Peter Pang dengan mengantikan orang lain yang lebih sesuai dari sebuah parti berasaskan Sabah seperti PBS?

Jika bantahan dari PBS ini tidak dihiaraukan oleh Musa ke manakah PBS mengadu? Atau beranikah Musa meminta Peter Pang menyertai PBS meskipun melanggar kenyatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyebut pemimpin LDP itu akan menyertai Gerakan?

Tapi soalnya jika PBS dilayan untuk mengakhiri bantahan ini, apakah wajar hanya parti itu berhak membolot kedua-dua fotfolio Timbalan Ketua Menteri yang sekarang ini Pairin selaku Presidennya menduduki satu lagi jawatan Timbalan Ketua Menteri?

Bagaimana dengan Parti UPKO yang sebelum ini juga kedengaran mempersoalkan keputusan Musa melantik semula Peter Pang, Apakah UPKO juga ingin dan mengidamkan kedudukan Timbalan Ketua Menteri ini?

Benarlah pergolakan atas perletakan jawatan Peter Pang dari LDP ini menjadikan pentas Politik Sabah penuh dramatik umpama wayang Bollywood yang dianggap oleh Editor Utusan Borneo, Lichong Angkui penuh suspen, berwarna-warni dan skrip perjalanannya sukar dibaca.

No comments:

Post a Comment