Tuesday 14 September 2010

BUKIT LAYANG-LAYANG DESTINASI PELANCONGAN



EKSKLUSIF….Keindahan terserlah ketika berada di kawasan puncak Bukit Layang-Layang.

Oleh: MAIL MATHEW

KERAJAAN khususnya Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah digesa agar membangunkan kawasan ‘Bukit Layang-Layang’ sebagai destinasi pelancongan baru kerana mempunyai ciri-ciri tarikan semula jadi dan pakej menarik untuk dikomersilkan.

Bukit Layang-Layang yang terletak 28 kilometer daripada pekan Tenom pada lokasi di puncak Banjaran Crocker iaitu perantaraan lebuhraya Kemabong ke Sipitang, telahpun diabadikan keindahannya oleh seorang penyanyi Murut tempatan, Zainal Likuran yang bertajuk ‘ Bukit Layang-Layang Namansian ru Guangku’ (Bukit Layang-Layang memberi ketenangan fikiran).

Pernah suatu ketika dahulu, sekitar tahun 2007, mantan Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Yusof Yaakob, semasa meninjau kerja-kerja akhir menyiapkan lebuhraya tersebut; menyatakan bahawa kawasan Bukit Layang-Layang amat berpotensi dijadikan sebagai satu lagi destinasi baru pelancongan, berdasarkan persekitaran semula jadi yang mampu menggamit kedatangan pelancong.

“Saya percaya jika kawasan ini terus dibangunkan, mungkin boleh maju untuk pelancongan, tetapi mestilah ada prasarana yang mantap seperti resort, restoran dan medan tempat meninjau siap dengan teropong seperti di Bukit Bendera, Pulau Pinang,” kata Sudin Kansut, 30, salah seorang penyanyi tempatan yang secara kebetulan berada di situ ketika dalam perjalanan dari Kemabong ke Sipitang.

Tegas Sudin, sekarang pelancong yang datang dari Brunei dan Sarawak pasti singgah di sini untuk menikmati keindahan keaslian hutan kekal banjaran Crocker sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi mereka di Sabah.

Manakala seorang lagi pengunjung yang sempat ditemui, Koperal Arnold Ambrose, 40, yang bertugas di Unit Regimen Semboyan Angkatan Tentera, Lokawi yang singgah di situ ketika dalam perjalanan balik ke kampung halamannya di Tenom untuk bercuti, turut merasa kagum dengan keindahan pemandangan di situ.

Beliau yang menyamakan iklim di situ dengan Cameron Highland iaitu sebuah tempat peranginan terkenal di Banjaran Titiwangsa di Pahang, tidak mungkin Bukit Layang- Layang tidak boleh dimajukan jika kerajaan, khususnya pihak Kementerian berkaitan memberi tumpuan ke arah membangunkan kawasan itu sebagai lokasi baru percutian atau persinggahan pelancong.

“Sebenarnya kita kaya dengan sumber asli dan tempat pelancongan tetapi masih belum diterokai sepenuhnya. Ada juga destinasi pelancongan yang tersedia tetapi prasarananya tidak lengkap, malah membosankan pelancong. Mungkin kerana itu kekerapan kedatangan pelancong turut berkurangan. Tidak seperti di Semenanjung yang serba lengkap sehingga membuatkan pelancong merasa lebih selesa dan mereka akan datang lagi selepas beberapa bulan kemudian,” tegas Arnold.

No comments:

Post a Comment