Thursday 30 September 2010

DONGENG KEAGUNGAN SISTEM PENDIDIKAN NEOLAND



Oleh : NASPAZI

PERCAYA pun boleh, tidak percaya pun lagi boleh, sebab cerita ini adalah kisah dongeng sekitar 12 ribu tahun yang silam, di sebuah negara pulau yang hilang. Nama negara itu ialah Neoland, seluas 768,000 batu persegi, yang juga merupakan sebagai sebuah negara yang sangat maju, sehingga kemajuannya menakjubkan.

Dengan kata lain, ketinggian tamadun warga Neoland dalam bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sains jauh lebih canggih berbanding kemajuan peradaban manusia sekarang. Bahkan, saintis mereka mampu berkomunikasi dengan segala haiwan di lautan dan daratan.

Neoland merupakan sebuah negara yang kaya dengan intan, emas dan perak yang tidak terhingga banyaknya. Manakala pisang, kelapa dan padi adalah tanaman utamanya. Ada pun, pemimpin yang bertanggungjawab menjadikan Neoland agung ialah Maharaja Nazda. Istana baginda diperbuat daripada permata intan dan emas serta perak, di samping pagar perak yang bersalutkan emas seluas 3,000 batu persegi.

Neoland yang agung memiliki rangkaian lebuh raya, pelabuhan dan landasan kapal terbang yang sangat luas dan indah. Malahan, teknologi manusia sekarang, tidak lain dari hanya baru permulaan, kepada kebangkitan semula teknologi Neoland yang hilang.

Para saintis agung bangsa Neoland juga telah mencipta pelbagai bentuk teknologi yang tidak terkira banyaknya, termasuklah jam, basikal, motosikal, kereta, kapal laut, kapal selam, kapal terbang, radio, computer, elektrik (yang disebut tenaga kristal), bom atom dan Combat 4 gamaknya. Malahan dan kemungkinan, beberapa lakaran dan rangka pelbagai teknologi canggih ciptaan bangsa Neoland, masih ada yang tersimpan secara rahsia di Iraq dan Mesir.

Empayar kerajaan Neoland pula, meliputi seluruh daratan yang terdapat tumbuhan pokok pisang, kelapa dan padi. Sebab itulah, maka Piramid Mesir, Taman Tergantung Babylon, Piramid Maya, Candi Borobudur, Angkor Wat dan Tembok Besar China, kononnya sebagai idea tamadun bangsa Neoland juga.

Namun, di luar dugaan, Neoland yang agung, yang kemajuannya melampaui peradaban tinggi manusia, secara tiba-tiba dilanda gempa bumi dan banjir yang maha dahsyat, sehingga lenyap dalam semalam dari permukaan bumi dan hilanglah ia dari ingatan manusia selamanya. Kehebatan cerita dogeng ini mungkin terletak pada sistem pendidikan yang ditinggalkannya, yang juga menjadi asas kepada keagungan tamadunnya.

Sistem pendidikan di Neoland bermula dari bayi masih dalam kandungan lagi. Bayi dalam kandungan akan diberikan didikan dalam bentuk suara dan muzik sebagai sarana bimbingan kecerdasan jiwa pada zaman itu. Orang pintar atau pakar yang bijaksana akan sentiasa memberikan bimbingan kepada para ibu yang mengandung sehinggalah bayi mereka dilahirkan.

Para ibu bapa juga akan sentiasa dipantau oleh negara dari semasa ke semasa, untuk mempastikan setiap ibu bapa menjaga, mengasuh, mendidik dan menyayangi anak-anak mereka di rumah dengan baik.

Tatakala kanak-kanak berusia 3 tahun, di waktu siang, kanak-kanak tersebut akan dihantar ke pusat-pusat penjagaan kanak-kanak negara untuk melihat getaran warna, mendengar muzik dan cerita-cerita yang berhubung dengan cara berfikir positif dan juga kisah-kisah leluhur para filosofi.

Pusat pendidikan kanak-kanak terdapat di setiap tempat di seluruh wilayah Neoland. Kanak-kanak akan diasuh dan dididik di pusat-pusat didikan kanak-kanak negara dari awal lagi untuk menjadikan mereka sebagai warganegara Neoland yang memiliki kebijaksanaan sempurna.

Belajar membuka fikiran, agar jasad dan jiwa mereka bergerak secara seimbang. Di tahap awal perkembangan kanak-kanak juga, orang yang bijaksana atau pakar kanak-kanak akan memegang peranan yang amat penting.

Justeru, seorang pendidik atau warga guru adalah kelompok yang sungguh-sungguh istimewa dan dihormati dalam masyarakat Neoland. Yang demikian, kerjaya sebagai pendidik atau guru merupakan bidang yang menjadi idaman setiap orang warganegara Neoland.

Kanak-kanak sejak usia 3 tahun hingga ke remaja usia 15 tahun, diberikan pendidikan percuma oleh negara di dalam sebuah bangunan sekolah yang bertingkat, besar dan indah.

Dengan ungkapan lain, tidak seperti sekolah di sesetengah negara jiran Neoland yang menjunjung cogan kata pendidikan bertaraf dunia, tetapi sekolahnya laksana reban ayam saja. Di depan pintu gerbang bangunan sekolah terdapat lambang pelangi, pelangi adalah lambang pusat pendidikan di seluruh wilayah Neoland.

Pelajaran utama di sekolah adalah mendengar, melihat, bersukan dan berenang. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, murid-murid akan diberikan kebebasan sama ada berdiri, duduk atau baring, agar tulang belakang mereka tidak mengalami tekanan.

Pusat-pusat pendidikan atau setiap sekolah di Neoland juga, disediakan padang olahraga, kolam renang, taman rekreasi, dewan besar, pasar raya dan restoran. Orang pintar atau setiap guru, disediakan rumah yang selesa di sekeliling kawasan sekolah, atau berhampiran dengan kawasan sekolah.

Tegasnya, tidak ada guru yang tinggal jauh diluar kawasan sekolah atau berulang-alik ke sekolah. Badan perkhidmatan istimewa negara juga akan menghantar pelbagai jenis barangan makanan yang bermutu tinggi setiap minggu yang berhubung dengan keperluan dapur ke rumah-rumah orang pintar atau guru. Yang demikian dilakukan, agar orang pintar atau guru tiada sebarang gangguan dalam usaha memberikan tumpuan mendidik murid-murid.

Dalam sistem pendidkan Neoland juga, tidak ada pengasingan atau kasta dalam pendidikan. Tidak ada perbezaan sekolah bagi semua murid di seluruh wilayah. Semua murid dijaga kebajikan mereka sepenuhnya oleh negara, dari segi makan, minum dan buku teks sepanjang tempoh persekolahan wajib warga Neoland. Malahan, dalam sistem pendidikan Neoland juga, tidak ada peperiksaan kebangsaan.

Peperiksaan hanya akan dikendalikan oleh guru di peringkat sekolah sahaja, iaitu sebulan sekali bagi menentukan hanya murid yang lulus dan layak untuk dinaikkan ke darjah yang lebih tinggi bagi mengikuti pelajaran seterusnya.

Semua murid yang belum menguasai kemahiran asas yang sewajarnya, akan ditahan dan dikumpul di suatu kelas atau darjah agar tidak bercampur dengan murid-murid yang tidak sebaya dari segi usia, sehinggalah murid-murid tersebut lulus dan layak untuk dinaikkan ke darjah yang lebih tinggi.

Atas nama orang pintar atau guru, maka tugas dan tempat seseorang guru dalam sistem pendidikan Neoland hanya mengajar dan terus mengajar, iaitu berdepan dengan murid di sekolah. Dengan kata lain, tidak ada yang bergelar guru, tetapi tidak mengajar, sebagaimana yang berlaku di sesetengah negara jiran Neoland yang begitu mundur.

Tatkala fajar menyingsing menghamparkan sayap lembayung mentari paginya, kanak-kanak kecil serta murid-murid sekolah warga Neoland akan berduyun-duyun berjalan kaki menuju ke jalan raya untuk pergi ke sekolah masing-masing dari jam 7.00 pagi hingga jam 8.00 pagi, iaitu masa untuk mereka berjalan kaki ke sekolah yang hampir dua batu dari rumah kediaman mereka masing-masing.

Yang demikian, tidak berlaku keserabutan kenderaan di jalan-jalan raya atau di pintu pagar kawasan sekolah. Kawasan sekolah sungguh sunyi dari deruman enjin motosikal atau kereta. Justeru, keindahan aora ketenangan dan keharmonian tampak menjelma di kawasan sekolah.

Semasa pulang, kanak-kanak dan murid-murid berjalan sendirian tanpa dijemput oleh ibu bapa mereka. Bagi kanak-kanak dan murid-murid yang rumah mereka agak jauh sedikit, mereka akan berjalan kaki secara berkelompok atau berkumpulan.

Apakah rasional dan simbolik disebalik warga Neoland yang membiarkan anak-anak mereka berjalan kaki sendirian pergi dan balik ke sekolah sejauh 2 batu? Pada hal, mengambil kira kemajuan dan kemampuan tiap-tiap keluarga warga Neoland, nescaya mereka lebih dari mampu untuk menghantar dan mengambil anak-anak mereka dengan menggunakan kereta masing-masing. Jawapannya adalah, tidak lain dari mendidik anak-anak mereka agar belajar berdikari.

Pelajar sekolah menengah pula menaiki basikal untuk pergi ke sekolah. Betapa kaya dan mewah sekalipun keluarga warga Neoland, anak-anak mereka atau para pelajarnya tidak dibenarkan sama sekali menaiki motosikal, apatah lagi memandu kereta sendiri ke sekolah. Tegasnya, bermula dari pelajar tingkatan 1, sehinggalah ke pelajar tingkatan 6 hanya menaiki basikal untuk pergi dan balik sekolah.

Sistem pendidkan di Neoland juga tiada pakaian seragam khusus untuk kanak-kanak tadika atau murid-murid sekolah rendah di seluruh wilayah. Kalau begitu, bagaimanakah seseorang itu hendak mengenal bahawa seorang kanak-kanak itu sebagai murid sekolah di luar kawasan sekolah?

Mereka boleh dikenali melalui beg sekolah yang mereka sikut setiap sesi persekolahan. Beg tersebut diperbuat daripada kulit dan dijual oleh kerajaan. Ukurannya berpadanan dengan buku teks mereka dari murid sekolah rendah hingga ke pelajar sekolah menengah yang hanya sebesar buku komik Conan dan setebal 100 halaman sahaja.

Dengan kata lain, sungguh tidak memenatkan untuk disikut sejauh 2 batu ke sekolah. Yang demikian, setiap ibu bapa harus membeli beg tersebut dengan harga 1,000 ringgit. Harga 1,000 ringgit mungkin agak mahal, tetapi ianya berbaloi kerana bermutu tinggi.

Sementelahan, warga Neoland rata-rata terpelajar dan berpendapatan tinggi. Justeru, yang seragam hanyalah beg sekolah mereka dari darjah 1 hingga ke darjah 6. Walau bagaimanapun, pelajar sekolah menengah ada pakaian seragam khusus untuk mereka, itu pun tidak sama antara satu sekolah menengah dengan sekolah menengah yang lain.

Kaedah persekolahan di Neoland hanyalah satu sesi yang bermula dari jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 3.00 petang. Pada jam 8.00 hingga 9.00 pagi mata pelajaran Bahasa Neoland, 9.00 hingga 10.00 pagi mata pelajaran matematik, 10.00 hingga 11.00 pagi mata pelajaran sains. 11.00 hingga 12.00 tengahari masa untuk makan yang disediakan khas oleh negara serta aktiviti bebas, semua murid dibiarkan bermain bersama kawan-kawan dengan alat permainan yang sekolah sediakan, 12.00 hingga 1.00 petang gimnastik yang diadakan dalam dewan besar sekolah, 1.00 hingga 2.00 petang sukan di padang, 2.00 hingga 3.00 petang berenang dalam kolam dengan bimbingan guru atau orang pintar.

Mempertimbangkan kaedah sistem pendidikan Neoland memanglah sungguh-sungguh memenatkan. Namun begitu, semua murid sangat gembira setiap kali pergi ke sekolah dan sangat letih setiap kali pulang ke rumah. Justeru, tiada kerja rumah untuk setiap mata pelajaran di Neoland.

Natijah dari nilai murni yang diterapkan oleh orang pintar atau guru sejak zaman kanak-kanak kepada warga Neoland, maka tidak lain dari sikap yang sarat dengan kasih sayang dan disiplin tinggi sebagai warisan mukaddas agung warga Neoland.

Arakian, maka adapun kehancuran peradaban serta kemusnahan moral suatu bangsa akan ditandai oleh segelintir manusia. Ramai orang yang tahu sebabnya, akan tetapi sebilangan besar masyarakat mengabaikannya.

Justeru, kebejatan moral akan muncul dan tiada jalan pintas sebagai kuasa sakti untuk meluruskannya. Lantaran itu, andai kata sebilangan kecil masyarakat menjadi biadab tidaklah begitu menakutkan, yang menakutkan tatkala sebilangan besar masyarakat mengabaikan adab, sehingga membiarkan perubahan ke arah kejahatan dan secara diam-diam menyetujui kebejatan.

Di kala kepongahan membanjiri fikiran, kemuliaan moral masyarakat akan menjadi punah dan hanyut bersama peradaban ke muara buntu. Lantas, makna kehidupan murni bermasyarakat dan bernegara hanya laksana memancing bayang di kolam mimpi yang indah memang tidak menjelma. Bahkan, kengerian mengejar kehidupan hatta berakhir tragis di tebing takdir kematian.

No comments:

Post a Comment