Monday 27 September 2010

GHULABDIN SOKONG MASIDI?



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

TINDAKAN Pengerusi Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar Sabah (LPPB), Datuk Rubin Balang yang menggesa Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun meletak jawatan sesungguhnya menghangatkan lagi kontroversi berhubung isu Menara Jam Atkinson; sambil mempersoalkan prinsip menteri itu yang tidak menyatakan prioriti kelulusan sebuah projek pembangunan.

Keputusan bijak Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Haji Hajiji Haji Noor untuk memanggil satu mesyuarat khas yang akan dihadiri oleh Wakil Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar Sabah (LPPB), pihak pemaju, Jabatan Muzium Sabah dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Negeri bagi menyelesaikan pertikaian berhubung cadangan projek berkenaan disokong Ahli Lembaga Pengarah (LPPB), Haji Ghulabdin Enjih.

Ghulabdin yang menyambut baik keputusan memanggil mesyuarat khas mengenainya kerana yakin akan mencapai keputusan secara ‘menang-menang’ dengan memberi peluang saksama kepada semua Ahli Lembaga Pengarah LPPB, untuk menyatakan pendirian mereka berhubung kegusaran dan kebimbangan serta bantahan yang telah dikemukakan oleh banyak pihak, termasuklah Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini.

Krisis ini mula timbul apabila Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun menjelaskan bahawa cadangan pembinaan bangunan LPPB serta bangunan komersil setinggi 16 tingkat berdekatan Menara Jam Atkinson perlu dilaksanakan mengikut perundangan dan kelulusan Jabatan Alam Sekitar.

Masidi Manjun selanjutnya meminta agar perlaksanaanya tidak akan menjejaskan struktur kedudukan menara jam yang bersejarah itu.

Dalam kenyataannya, Masidi menyatakan beliau terpanggil untuk membangkitkan isu Menara Jam Atkinson ketika mesyuarat Kabinet Negeri pada 8 September lepas kerana beliau pasti bahawa beberapa faktor tertentu tidak diberi pertimbangan sewajarnya ketika ia dibentangkan kepada kabinet tahun lepas untuk sokongan.

Selain daripada pandangan Masidi, selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap Alam Sekitar negeri mengenai kesannya terhadap persekitaran yang terlibat, pembangunan tersebut juga berkait dengan arahan Ketua menteri, Datuk Seri Musa Aman yang meminta semua pihak berkuasa tempatan di Sabah supaya berhati-hati apabila meluluskan sesuatu projek pembangunan.

Musa dalam kenyataannya rabu lepas, mahu Dewan Bandarraya Kota Kinabalu (DBKK) patuh kepada setiap dasar dan peraturan sedia ada sepertimana yang dimaklumkannya kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan supaya meminta Jawatan kuasa Perancangan Lembaga Pusat menilai projek itu.

“Pandangan yang dikemukakan oleh Ketua Menteri dan Menteri berrtanggungjawab mengenai Alam Sekitar; termasuklah cadangan untuk mengadakan satu mesyuarat terbaru oleh Datuk Hajiji selaku menteri bertanggungjawab terhadap pihak berkuasa haruslah dihormati,” kata Ghulabdin yang merupakan seorang Ahli Lembaga Pengarah LPPB yang dilantik awal tahun ini.

Beliau begitu bersetuju dengan pandangan Masidi yang menyatakan tiada sesiapa dapat melanggar peruntukan dan undang-undang, disamping LPPB tidak mungkin ada piawaian berbeza melainkan mengikut semua syarat yang telah diwajibkan.

"Selaku seorang Ahli Lembaga Pengarah LPPB, saya memang inginkan banyak pembangunan dapat dilaksanakan oleh agensi ini, namun kita berharap semua proses untuk melakasanakannya dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan. Saya juga menyokong kenyataan Masidi bahawa pemimpin atau Ahli Lembaga perlu bekerja untuk rakyat dan bukan untuk diri sendiri atau juga untuk syarikat mereka," kata Ghulabdin yang berharap tidak akan berlaku lagi cabaran Pengerusi LPPB, Datuk Rubin Balang yang meminta Masidi meletakan jawatan sebagai Menteri hanya kerana meminta perlaksanaan pembangunan ini diperhalusi.

Ghulabdin seterusnya meminta agar hasrat Pengurus Besar LPPB, Haji Jenar Lamdah yang bertegas untuk meneruskan pembinaan bangunan setingggi 16 tingkat yang menempatkan kompleks membeli belah dan hotel itu akan dilakukan sebaik sahaja keputusan mesyuarat terbaru mengenainya yang akan dipanggil oleh Hajiji tidak lama lagi selesai diadakan.

No comments:

Post a Comment