Thursday 23 September 2010

JABATAN IMIGRESEN KINI JADI AH LONG?



Oleh: CHANG SHAK HUNG

PENGUMUMAN yang dibuat oleh kerajaan berhubung dengan kenaikan kadar levi untuk pekerja asing mulai awal 2011, merupakan satu pengumuman ‘gila’ yang memeranjatkan dan begitu mendukacitakan majikan di semua sektor yang menyifatkan Jabatan Imigresen kini sebagai Ah Long berlesen!

Apa kejadah dan di manakah logiknya kenaikan levi, terutamanya kepada majikan di Sabah yang mengaji pekerja asing dalam sektor perladangan dan pembuatan, memandangkan sektor berkenaan merupakan sektor utama di Sabah amnya dan Bahagian Sandakan khasnya?

Walaupun krisis ekonomi baru sahaja pulih dan masih berada dalam keadaan yang tidak kukuh, kerajaan pula mengumumkan agar menaikkan kadar levi yang kononnya bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, merupakan satu tindakan yang membelakangkan kehendak rakyat.

Secara umumnya, pekerja asing amat diperlukan di dalam sektor perladangan, pembuatan, pembinaan serta pembantu rumah dan ia tidak dapat dinafikan bahawa dengan adanya pekerja asing berkenaan, keadaan ekonomi negara secara keseluruhannya telah kembali kukuh setelah negara berhadapan dengan krisis ekonomi pada tahun 1997 dan 2008.

Kerajaan sentiasa memberi alasan bahawa kebergantungan pekerja asing akan menyebabkan rakyat tempatan tidak memperolehi pekerjaan. Untuk yang demikian, persoalannya adalah adakah anak-anak muda sekarang minat bekerja dengan mengutip kelapa sawit ataupun menjadi buruh binaan di bawah kepanasan matahari terik?

Perlu diingat, bahawa majikan telahpun dibebani oleh pelbagai perbelanjaan yang tinggi dalam mendapatkan perkhidmatan pekerja asing yang sah untuk bekerja dengan mereka. Kerajaan sememangnya tahu dengan kos untuk mengaji seorang pekerja asing dan cuma mereka tidak mengambil endah dengan perkara tersebut kerana kerajaan memerlukan sumber kewangan dalam membangunkan negara.

Majikan sekarang terpaksa membayar kos pemeriksaan kesihatan untuk pekerja asing, membayar kos pemprosesan pasport mereka termasuklah mengeluarkan kos pengangkutan mereka dan yansg paling penting adalah kos levi pekerja asing yang digaji oleh majikan.

Bilangan pekerja asing yang sah (mempunyai dokumen yang sah) bekerja di Malaysia adalah seramai 1.9 juta orang dengan sektor pembuatan seramai 39%, pembinaan (19%), perladangan (14%), pembantu rumah (12%), perkhidmatan (10%) dan pertanian (6%).

Namun yang demikian, adakah kerajaan sedar tentang bebanan yang perlu ditanggung oleh majikan dalam membayar levi yang tinggi semata-mata untuk membantu beban kerajaan dalam kewangan negara?

Majikan yang mengaji pekerja asing melebihi 200 orang, akan membelanjakan kos hampir sejuta ringgit setahun. Bukan itu sahaja, majikan juga perlu membayar pelbagai cukai dan duti dan ini termasuklah cukai import dan eksport, cukai perkhidmatan, cukai kastam, cukai pendapatan syarikat dan lain-lain lagi demi untuk membantu kerajaan.

Kenapalah kerajaan perlu membebani majikan lagi akibat daripada ketidakcekapan pengurusan kewangan negara?

Mereka pandai menggunakan alasan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, namun hakikatnya perbelanjaan kewangan negara adalah begitu tidak tersusun dan sistematik di samping pembaziran yang terlalu tinggi dalam sesetengah projek mega.

Oleh yang demikian, diharap kerajaan dapat menimbang semula bagi menaikkan levi pekerja asing demi kesejahteraan penduduk tempatan iaitu majikan itu sendiri daripada menjadi ‘Ah Long’ berlesen dalam mengenakan kadar yang tidak munasabah dan tidak masuk akal langsung.

No comments:

Post a Comment