Sunday 12 September 2010

JOHN TEO TENUNG NASIB GELAP


GIMIK POLITIK...YB John Teo bersama Datuk John Ghani (tengah) dan Datuk Wences Angang (kanan sekali) yang kelihatan bersama dalam satu majlis santai di Kuala Penyu.

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

WAKIL Rakyat kawasan Kuala Penyu, John Teo Mau Sing mungkin kini sibuk menenung nasibnya sama ada beliau masih berpeluang menjadi calon bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) kawasan berkenaan pada pilihan raya negeri akan datang atau bakal kempunan.

Terdapat desas-desus bertiup kencang sekarang bahawa peluangnya untuk dicalonkan semula begitu tipis berikutan kepimpinan tertinggi parti yang diwakilinya, UPKO sudah lama memerhati pergerakan Adun tersebut yang mendapat kritikan rakyat di Kuala Penyu.

Malah rakan-rakan pemimpin dalam komponen Barisan Nasional (BN) terutama Umno dapat merasakan bahang panas reaksi negatif akar umbi khususnya ahli-ahlinya yang dikatakan tidak lagi mahu memberi peluang kedua kepada wakil tersebut.

Ada kalangan pemimpin parti itu bukan sahaja secara terbuka mengkritik cara Adun itu melaksanakan tugasnya malah mereka turut memberi amaran bahawa sekiranya nama John Teo dipertaruhkan semula alamatnya BN bakal kehilangan kerusi tersebut.

Soalnya, siapakah individu yang dikenal pasti oleh kepimpinan Upko terutama Presidennya, Tan Sri Bernard Dompok untuk mengganti tempat John Teo yang telah mencalar nama dan imej Upko, parti yang berasaskan KDM untuk mempertahankan maruah BN di kawasan yang banyak dipengaruhi sokongan kuat Umno ini.

Pada pilihan raya negeri yang lepas, John Teo mungkin calon yang bernasib baik kerana di saat-saat akhir Ketua Umno Bahagian Beaufort, Datuk Lajim Ukin, yang juga bertanding bagi kerusi Parlimen Beaufort telah 'menggugurkan' nama John (Datuk) yang satu lagi kerana dua John itu saling berpaut di kiri dan kanan bahunya.

Kita masih ingat ungkapan Lajim semasa kempen ketika itu, katanya, " sekarang ada dua John sedang berpaut di dahan tetapi saya terpaksa melepaskan satu daripada. Kita tidak boleh pilih dua-dua sebab kita mahu satu pemenang sahaja."

Mungkin kerana menyedari kesetiaannya terhadap BN, Pengerusi BN Beaufort itu terpaksa memberi 'klu' kepada ahli-ahli Umno bahawa John Teo yang terkapai-kapai seolah-olah lemas di dalam sungai, perlu diselamatkan sekalipun dengan kelebihan undi yang sedikit. Beliau juga tentu tidak lupa pengalaman pahit yang dilalui pada pilihan raya 2004, walaupun menang kerusi Klias namun Lajim hanya sekadar diberi peranan sebagai Ketua Merinyu Projek, satu jawatan yang dianggap 'peti sejuk' atas sebab-sebab tertentu.

Kerana situasi berserabut di Kuala Penyu masa ini, Datuk John Ghani yang kini sudah sah menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) pasti kembali bernafas dan tidak hairan jika beliau akan turun ke gelanggang pertarungan sekali lagi. Kekalahan tipis dalam pilihan raya yang lalu selain pencapaian wakil rakyat yang kurang memberangsangkan ketika ini, seolah-olah membuka ruang besar kepada beliau. Bayangkanlah jika bekas rakan-rakannya dalam Umno sudah tiada keyakinan dengan calon BN, yang mereka pasti bukan datang dari parti mereka tentulah risiko sangat besar.

Sungguh pun Datuk John dilihat tiada masalah dengan pemimpin-pemimpin Upko termasuk Ketua Bahagian Beaufort, Datuk Wences Angang dan YB John Teo sendiri dan sering bersama dalam beberapa majlis tetapi ini bukanlah jaminan bahawa beliau boleh bertolak-ansur dalam pilihan raya. Datuk John, bekas anak didik Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun, bekas Presiden Usno, cukup berpengalaman dalam politik dan bijak dalam membuat percaturan.

Malah Datuk John pernah memberitahu bagaimanapun wakil rakyat sekarang sendiri pernah mengadu kepadanya mengenai masalah YB itu berhadapan dengan rakyat, yang mungkin ia sepatutnya tidak diceritakan kepada seteru.

Sekarang kepimpinan Umno bahagian dan Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Kuala Penyu harus berani tampil memberi pandangan kepada kepimpinan teringgi BN bahawa kaedah meletakkan calon secara 'tangkap muat' akan menyebabkan kerusi Kuala Penyu bakal terlepas sekali lagi.

No comments:

Post a Comment