Monday 6 September 2010

KENYATAAN ‘ASAM’ DIBIDAS



Saudara Pengarang,

SEKALI lagi saya memohon izin untuk menggunakan ruang portal ini bagi menjawab tulisan ‘Anak Sabah Anak Merdeka’ (ASAM). Saya tidak marah jika Asam mahu memaki hamun rakyat di Indonesia yang berkelakuan seperti binatang kerana saya sendiripun tidak setuju dengan tindakan barbarian mereka.

Hal-hal di Indonesia biarlah berlaku di sana namun saya sebagai wartawan kanan dan Ketua Biro Sabahkini.net yang diberi mandat dan amanah untuk menjalankan tugas untuk mencari berita. Saya telah menemui lebih 75 peratus rakyat Indonesia yang bekerja di ladang-ladang sawit termasuk orang Timur, Orang Bugis dan sedikit Jawa.

Saya tanya mereka, “Apakah kamu setuju dengan perbuatan warga Indonesia terhadap kerajaan Malaysia?”

Majoriti mereka menjawab tidak setuju, malahan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan barbarian tersebut kerana di luar batasan. Mereka berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberi peluang kepada mereka mencari rezeki yang halal tanpa sekatan dengan syarat memiliki dokumen atau permit kerja yang sah.

Bagi saya, bukan semua rakyat Indonesia yang tinggal di negara ini jahat, apatah lagi mereka menyumbang hampir 90 peratus tenaga kerja untuk sektor perladangan negara ini sehingga kita boleh tidur lena kerana cukai dalam bentuk levi yang dipungut daripada mereka dapat membayar gaji polis dan tentera untuk menjaga keselamatan jiwa dan harta benda kita selama ini.

Memang saya tidak dinafikan lebih 40 peratus rakyat Indon yang tinggal di negara kita terlibat dengan kegiatan jenayah, bergaduh, merompak dan sebagainya yang mungkin terjadi kerana mereka ditipu agen pencari kerja sehingga terpaksa melarikan diri daripada majikan dan menganggur. Tetapi bagi mereka yang ada keluarga dan anak isteri, tidak akan menimbulkan sebarang masalah di Sabah.

Yang benar,

SHAIMON S JUMADI

No comments:

Post a Comment