Monday 6 September 2010

MENCICIP KASIH, MEMBAJA SAYANG



YATIM...Datuk Nasir (dua dari kiri) bersama A.M.Ibnu (tiga kiri) OKK Musa (empat kiri) dan Abd. Rashid (tiga kanan) dibantu Hj Tahir Amir (kiri) menyampaikan bantuan kepada anak-anak yatim sempena majlis itu di perkarangan masjid Inabah Kamal, Semporna.

Oleh: ARSHAD HUSSIN

KHIDMAT dan bakti para pemimpin di peringkat daerah dan kampung yang terdiri daripada Ketua-Ketua Kampung, Pengerusi JKKK, Ketua-Ketua dan Wakil Ketua Anak Negeri, Kakitangan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat dan kakitangan Adun tidak pernah dilupakan setiap menjelang hari raya aidilfitri tiba.

Ahli Dewan Undangan Negeri Senallang, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran dan isteri, Datin Hajjah Rokiah Haji Badar sentiasa prihatin dan berusaha menghulurkan sumbangan ikhlas sebagai tanda kesyukuran serta menghargai sumbangan yang diberikan para pemimpin berbakti kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

Selain itu golongan fakir miskin, imam-imam, anak yatim dan golongan kurang upaya (OKU) juga tidak ketinggalan diberikan sumbangan berbentuk duit hari raya dan makanan selain bantuan kepada surau dan masjid berbentuk peralatan siaraya serta peralatan solat yakni tikar sejadah.

Datuk Nasir menjelaskan sumbangan para pemimpin peringkat akar umbi itu amat bermakna dan menjadi tunggak kejayaan kepada kepimpinan yang berteraskan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

Katanya, tanpa penglibatan dan sumbangan tenaga para pemimpin yang diberikan tugas dan tanggungjawab sebagai mata dan telinga kerajaan itu mustahil kerajaan mampu merealisasikan agenda membela rakyat serta membangun maju sesebuah kawasan mahupun daerah.

Sehubungan itu Datuk Nasir yang juga Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, menyeru semua pemimpin yang telah diberikan amanah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi serta ikhlas semata-mata kerana Allah SWT untuk membantu rakyat tanpa memikirkan kepentingan peribadi mahupun memilih bulu.

“Kita bersyukur sepanjang acara yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadhan penglibatan segenap lapisan rakyat dari berbilang suku kaum telah menyerlahkan sinar perpaduan yang mampu menganjakkan keharmonian di kalangan masyarakat,” kata Nasir.

Katanya lagi, meskipun Negara ini memiliki masyarakat majmuk dengan pelbagai warna budaya dan anutan agama, namun berkat dengan perpaduan yang sedia terjalin telah mempamerkan semua masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan harmoni kaum.

Datuk Nasir berkata demikian sempena menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat (MBR) serta majlis penyampaian sumbangan hari raya kepada pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan bagi kawasan DUN Senallang.

Hadirsama sempena majlis itu Isteri Datuk Nasir, Datin Hajjah Rokiah haji Badar; Pegawai Daerah Semporna, Abdul Mohammad Ibnu Abdul Kadir Baba; Penolong Pegawai Daerah, Norseh Nursin; Pegawai Pendidikan Daerah, Mokthar Abd Rashid; Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawasan Senallang, Haji Tahir Amir; Ketua Daerah Semporna, OKK Haji Musa Sabaani serta pemimpin-pemimpin masyarakat peringkat daerah dan kampong.

Sempena majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan hariraya kepada 1,500 orang termasuk Ketua-Ketua Kampung, Pengerusi JKKK, Ketua dan Wakil Ketua Anak Negeri, Balu-balu, Mangsa-mangsa kebakaran kampong Air, Imam-imam, faqir miskin, golongan kelainan upaya (OKU), Kakitangan UPKR, Kakitangan Adun Senallang, guru-guru agama dan petugas-petugas masjid Inabah Kamal.

Datuk Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam Negeri Sabah, mengingatkan imam-imam dan ketua-ketua kampung sentiasa berusaha mengimarahkan surau dan masjid serta mempastikan semua prasarana yang disediakan kerajaan dijaga dengan baik dan sempurna.

Katanya, surau dan masjid hendaklah dihidupkan bukan sahaja dibulan Ramadhan malah harus diimarahkan setiap waktu dengan pelbagai aktiviti keagamaan serta pendidikan kerohanian serta mengingatkaan masyarakat Islam tidak lupa menunaikan tanggungjawab membayar zakat fitrah kepada amil-amil yang telah dilantik kerajaan sebelum menjelang hari raya dan tidak menunggu sehingga saat akhir.

Selain itu Nasir menasihatkan umat Islam yang balik berhari raya ke kampung masing-masing menggunakan kenderaan supaya berhati-hati di jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Dalam pada itu, Datuk Nasir dan isteri Datin Hajjah Rokiah serta seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh umat Islam dan mengundang hadir ke majlis rumah terbuka mereka di kediaman Kampung Air pada hari raya pertama.

No comments:

Post a Comment