Thursday 30 September 2010

NILWAN BERBOHONG LAGI?



Oleh : IBRAHIM TABIR

KETUA Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat kawasan Kunak, Citra Masadi mengulangi pendirian bahawa kenyataan media oleh Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang baru-baru ini yang menyalahkan pihak pemaju atau kontraktor yang dilantik oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kerana berlaku kelewatan dalam penyiapan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini sebagai kenyataan yang kurang tepat dan tidak konsisten oleh wakil rakyat itu.

Citra berkata, Nilwan pada sidang medianya kepada Bernama dan media tempatan sebelum ini menyatakan yang beliau (Nilwan) telah berbincang dengan Pegawai Daerah Kunak supaya surat amaran dihantar kepada pemaju yang dilantik oleh SPNB, hanyalah kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh pemimpin tersebut sebelum membuat kajian dan mengenalpasti dengan lebih jelas punca kelewatan projek tersebut yang mungkin disebabkan beberapa faktor.

"Dalam laporan kebanyakan akhbar tempatan dan kebangsaan baru-baru ini, Nilwan jelas menyatakan bahawa kegagalan menyiapkan projek itu dalam tempoh yang ditetapkan akan memberi imej tidak baik kepada kerajaan dan beliau sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Citra berkata, Nilwan juga ada menyebut bahawa SPNB telah memberikan projek itu terus kepada syarikat pemaju tanpa memaklumkan kepada Pejabat Daerah yang mana menurut Nilwan beliau telah bertanya kepada Pejabat Daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini yang tidak tahu mengenai projek itu sehingga kononnya menimbulkan masalah jika wakil rakyat hendak memantau projek itu kerana tidak tahu hendak merujuk kepada siapa.

"Kenyataan Adun tersebut seolah-olah menggambarkan ketidakcekapan pentadbiran", ujar Citra sambil menambah, pihak Adun atau kakitangannya sepatutnya merujuk terlebih dahulu perkara tersebut kepada SPNB, syarikat pemaju atau kontraktor di lokasi projek dan bukannya membuat kenyataan melulu.

Citra memberitahu demikian kepada wartawan ketika meninjau lokasi projek tersebut yang masih berjalan di sini pada Khamis. Sementara itu,dalam temubual wartawan bersama seorang daripada Penyelia projek berkenaan yang dikenali sebagai Mr.Voon di situ berkata, pihak daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) juga ada datang memantau dan mengambil bahagian dalam beberapa mesyuarat bersama kontraktor ketika mengunjungi lokasi projek. untuk mengetahui perkembangan projek ini.

Menurut Voon, pihaknya juga maklum bahawa beberapa bulan lepas satu rombongan yang difahami dari (Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan) pernah melakukan tinjauan di lokasi PPR tersebut di sini.

Voon berkata, "Projek PPR sebanyak 400 unit ini sepatutnya dijangka siap pada bulan Ogos tahun ini."

Bagaimanapun, ia lewat disiapkan disebabkan beberapa punca antaranya faktor bekalan bahan. Projek PPR itu juga masih dibawah kendalian Kontraktor Utama tetapi beberapa sub-kontraktor sebelum ini telah ditukarkan atas sebab tertentu.

Menurut Citra, berdasarkan kenyataan Penyelia projek itu di lokasi, jelas menunjukkan bahawa Adun Kunak tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang tidak konsisten dan kurang tepat sebelum mendapatkan respon yang terperinci daripada pihak-pihak berkenaan.

"Saya bercakap bukan atas kapasiti sebagai parti politik pembangkang semata-mata tetapi ini adalah untuk kebaikan rakyat dan masyarakat di luar sana inginkan penjelasan yang sempurna dan konsisten", kata Citra sambil menambah yang konsep 'turun padang' sewajarnya difahami dan dipraktik oleh setiap pemimpin sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang.

Projek Perumahan Rakyat (PPR) itu yang terletak di kilometer 6, Jalan Kunak-Tawau berhampiran Kampung Kadazan di sini telah dimulakan pembinaannya sebelum pilihanraya umum 2008.

No comments:

Post a Comment