Monday 20 September 2010

PEMILIHAN PKR TENOM KECOH




BANTAH….Peter @ Phillip bin Lonok, calon sealiran dengan Datuk Dr Jeffrey Kitingan.


Oleh: MAIL MATHEW

PROSES pengiraan undi bagi pemilihan Jawatankuasa baru cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tenom terpaksa dihentikan serta merta kira-kira jam 11.10 malam apabila sekumpulan perwakilan yang sealiran dengan kem Peter Lonok membuat kecoh kerana tidak berpuas hati dengan kelebihan sebanyak 19 undi daripada jumlah perwakilan sebenar yang berjumlah 415 orang.

Mereka (perwakilan Kem Lonok) mendakwa bahawa pemilihan itu tidak telus dan berunsur penipuan dan mereka meminta supaya pengiraan semula dijalankan termasuk memeriksa semua kertas undi yang berada dalam kotak pengundian (ballots box).

Bagaimanapun pihak urusetia pemilihan tidak membenarkan hasrat pembantah itu yang membuatkan mereka terus berang untuk mendesak supaya pengiraan semula dilakukan.
Namun dalam keadaan kekalutan masalah itu, memaksa urusetia menghubungi pusat PKR di Kuala Lumpur untuk mendapatkan arahan lanjut. Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Radin Syamsul Kamar kemudiannya kira-kira jam 3.00 pagi mengarahkan pengiraan semula dilakukan di Pejabat Perhubungan PKR Negeri Sabah pada hari Isnin, jam 9 pagi.

Insiden itu bermula kira kira jam 11 malam ketika pengiraan undi untuk jawatan Timbalan Ketua Cabang selesai apabila Lampag Kurias (Kem Halik) mendapat 224 undi, Adries Taripin 116 dan Daniel Kalingang (Kem Lonok) 98. Manakala undi rosak 21. Jumlah keseluruhan 459 tetapi sepatutnya ia selari dengan penjumlahan asal perwakilan 415 orang.

Menguatkan lagi tanggapan pihak pembantah kerana penjumlahan undi untuk jawatan Naib Ketua 1, sekali lagi berlaku percanggahan apabila Sani Kuak (Kem Haik) mendapat 205; Antutus 121 dan Miling Oyot (Kem Lonok) hanya mendapat 80 undi manakala undi rosak 19. Jumlah keseluruhan untuk Naib Ketua 425 undi.

Setiausaha Bahagian, Misery Raisimin ketika dihubungi mengesahkan arahan pengiraan semula itu namun beliau tetap mempertahankan ketelusan urusetia yang menjalankan pemilihan tersebut sebaliknya menafikan ia ada unsur-unsur penipuan.

“Pihak pembantah mungkin terdorong oleh emosi mereka sehinggakan mereka terlupa bahawa undi lebih itu datangnya daripada undi bonus Angkatan Muda (Youth Wing) tetapi mereka sudah lakukan kekecohan apa boleh kita lakukan lagi,” tegas Misery sambil mengesali tindakan pembantah yang mencemar imej PKR.

Sementara itu, Ketua Pembantah yang juga calon Ketua Cabang, Peter @ Phillip Lonok ketika dihubungi berkata, beliau telahpun membuat laporan Polis semalam (ahad) berhubung dakwaan beliau kemungkinan berlaku penipuan di dalam pemilihan tersebut.

“Saya merujuk kepada pengumuman Ketua Urusetia Jawatankuasa Pemilihan yang mengendalikan pemilihan di sini, James Steven yang mengatakan pemlihan itu dibatalkan dan kami mahu menuntut supaya pengundian semula dijalankan,” kata Lonok sambil menegaskan bahawa cadangan pengiraan semula di Pejabat Perhubungan PKR Negeri tidak memberi kesan yang baik dalam menyelesaikan kemelut tersebut.

“Jika juga terpaksa, kita bersedia melangkah ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan yang sebaik mungkin,” tambah beliau lagi.

Ditanya apakah beliau mengiktiraf keputusan pengiraan semula yang dilakukan di Pejabat Perhubungan negeri itu yang dijadualkan hari ini (Isnin) jam 9 pagi, Lonok berkata;

“Ooohh! Tidak! Itu sebab saya tidak hadir malah tidak menghantar wakilpun untuk menyaksikan pengiraan itu. Sebarang keputusan yang mereka buat kami tidak iktiraf. Apa yang kami mahu ialah diadakan pengundian semula. Itu sahaja,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment