Friday 1 October 2010

POLIS TENOM NAFI RAMAI PATI



Oleh: MAIL MATHEW

Ketua Polis Daerah (KPD) Tenom, Deputi Suprintendan Polis (DSP) Mazlan Haji Lazim (gambar) menafikan tidak benar dakwaan sebuah akhbar Nasional berbahasa Malaysia baru-baru ini yang dipetik sebagai berkata kawasan pedalaman masih terdapat ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) berkeliaran masih belum dicekup oleh pihak berkuasa untuk dihantar pulang ke negara asal mereka.

Katanya, pihaknya terkejut dengan laporan itu kerana mengikut statistik kehadiran mereka (PATI) di sini sudah KOSONG berdasarkan rekod operasi yang dijalankan anggota Polis di sini pada setiap bulan.

“Setakat ini kita tidak ada penemuan kehadiran baru PATI di sini tetapi bagi PATI yang bermajikan dan mempunyai dokumen yang lengkap dan sah masih ada. Bagaimana pun ia bukan mengancam keselamatan di sini tetapi pergerakan mereka kami senantiasa lakukan pemantauan dari semasa ke semasa,” kata beliau ketika memberitahu Sabahkini.net pada Jumaat sambil kesal dengan laporan itu yang disifatkannya dibuat secara sembarangan tanpa merujuk fakta yang sebenarnya.

DSP Mazlan menegaskan, laporan itu dibuat kemungkinan ia berdasarkan pandangan kasar bahawa saiz dan perawakan masyarakat tempatan di sini mempunyai persamaan dengan PATI kerana mereka juga sudah boleh meniru gaya warga tempatan dari segi pakaian dan sebagainya.

Malahan tambah beliau, ada juga terdapat PATI yang sudah menetap lama dan mempunyai dokumen sah di sini kemudian berkahwin dengan warga tempatan dan hasil dari perkahwinan itu lahir seorang anak yang sama perawakannya dengan warga tempatan.

Bagaimana pun tambah Mazlan lagi, beliau akan melakukan pemeriksaan sekali lagi secara menyeluruh dengan mendapatkan kerjasama daripada pihak lain seperti JKKK, JKDB dan Ketua Ketua Kampung untuk mendapatkan maklumat daripada mereka demi mempastikan bahawa kehadiran PATI di sini benar-benar kosong.

Sementara itu, beberapa JKKK di kawasan di sini telah dihubungi secara rambang menyatakan bahawa di kawasan perkampungan mereka tidak terdapat PATI menyelinap masuk dan tinggal.

Di Kg Mantailang, Pengerusi JKKK Gaidim Lajah menjelaskan bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk melaporkan kepada pihak Polis jika terserempak dengan kehadiran PATI di kampungnya.

“Kita memang ada hubungan kerjasama dengan pihak Polis dalam membanteras kehadiran PATI termasuk kegiatan jenayah dan gejala sosial kerana itulah tugas utama kami selaku JKKK selain membawa pembangunan untuk rakyat di sesuatu kawasan,” tegas Gaidim yang turut kesal dengan laporan itu.

No comments:

Post a Comment