Sunday 5 September 2010

POLIS WAJAR TANGKAP ‘THREE STOOGIES’



Oleh: PHANG SU KIANG

POLIS Di-Raja Malaysia (PDRM) digesa membuka semula fail berhubung laporan polis terhadap ‘Three Stoogies’ Sandakan yang terdiri daripada David Fong Vun Fui, Lee Kon Hing dan Chong Fui Leong yang digelar ‘Lau Chen’ oleh penduduk Sandakan kerana sering memperdaya tokoh ternama di seluruh Sabah termasuk melakukan peras ugut.

‘Three Stoogies’ ini bukan sahaja berjaya melakukan penipuan berjuta ringgit, malah pernah memperdaya Wartawan Kanan Sabahkini.net dengan memberikan fakta palsu dan cerita yang sengaja diada-adakan untuk melaksanakan pelan memeras ugut seorang tokoh penting Sandakan berpangkat Tan Sri sejumlah RM500,000 setelah berita palsu tersebut disiarkan di Sabahkini.net.

Adalah amat menghairankan kenapa David Fong beria-ia sangat untuk membantu Lee Kong Hing sedangkan beliau tiada sangkut paut mengenai kes pencerobohan tanah seperti yang didakwanya dalam kenyataan akhbar yang ditarik balik Sabahkini.net kerana hampir terperangkap oleh penipuan mereka bertiga.

Sikap David Fong yang memperalat Sabahkini.net untuk melakukan ugutan terhadap Tan Sri berkenaan dan seorang lagi mangsa LMH amat dikesalkan kerana mereka mendapat hasil yang lumayan, ratusan ribu ringgit di atas sandiwara palsu mereka.

Seluruh rakyat Sandakan merasa hairan dan aneh kerana PDRM enggan mengambil sebarang tindakan walaupun ramai mangsa telah membuat laporan rasmi sehingga menyebabkan Tan Sri berkenaan enggan membuat laporan, mungkin disebabkan kecewa dengan sikap tidak professional polis Sandakan yang mudah dirasuah untuk menutup sesuatu kes jenayah.

“David langsung tidak boleh dipercayai jika melibatkan wang dan perempuan. Dia boleh berjanji bulan dan bintang untuk meyakinkan kita tetapi selepas itu kita akan merasa diri kita tertipu dalam keadaan separuh sedar, tetapi sudah terlambat kerana kita tidak ada apa-apa lagi untuk diselamatkan,” ujar Khoo YH yang telah menjadi mangsa David Fong dan rakan-rakannya.

Menurut Khoo, dia mempercayai David untuk menjalankan satu perniagaan penting tetapi agak malang kerana akhirnya terperangkap oleh sandiwara David sehingga bukan sahaja syarikatnya menanggung kerugian, malah mendapati hutang syarikat berlipat ganda.

“Saya terpaksa membuat laporan polis tetapi sampai sekarang tidak ada sebarang tindakan diambil terhadapnya yang melakukan pecah amanah, malah lebih buruk saya tidak ada wang lagi untuk mengupah peguam,” ujar Khoo yang agak kesal kerana diperdaya oleh David Fong.

Menurut beberapa orang peniaga dan mangsa yang pernah ditipu ‘Three Stoogies’ ini, David bukan sahaja menggelapkan wang syarikat dan melakukan peras ugut, malah mempunyai skandal seks dengan beberapa isteri rakannya sendiri.

“Dia suka memeras ugut mangsa dengan pelbagai cara termasuk membuat siaran akhbar palsu dan gambar palsu atau dokumen palsu sehingga mangsa tidak mempunyai pilihan selain memenuhi kehendaknya bagi mengelakkan malu,” ujar seorang Datuk yang terpedaya dengan tipu helah David, namun enggan membuat laporan polis bagi mengelakkan gangguan fizikal kerana terpaksa berulang alik ke balai polis untuk memberi kenyataan.

Menurut Datuk tersebut, dia juga pernah ditipu oleh David berpuluh ribu ringgit yang mendakwa memerlukan wang untuk merawat isterinya yang mengidap penyakit kanser; tetapi setelah rakannya memberitahu isteri David tidak mengidap apa-apa penyakit, sudah agak terlambat untuk meminta balik wang yang telah didermakan dan dipinjamkan kepada David.

“Dia ini desperado dan ada masalah kewangan yang teruk. Dia terpaksa bersembunyi kerana takut dikejar Along. Rumahnya di Sandakan sudah di jual. Isteri dan anaknya pun sudah pindah ke Kota Kinabalu. Pasal duit, langsung tidak boleh diharap. Dia sekarang melakukan operasi penipuan bersama dengan dua lelaki Cina bernama Lee dan Chong,” ujar Datuk tersebut yang mengharapkan agar polis mengintip kegiatan penipuan Three Stoogies ini dan memberkas mereka sebelum ramai jadi mangsa.

No comments:

Post a Comment