Friday 1 October 2010

SEMANGAT KEKITAAN JANA MALAYSIA



SUMBANGAN…Kimjus diringi oleh Abdul Rahman ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima semasa majlis tersebut.

Oleh: JAAFAR ABDUL WAHID

PERJUANGAN untuk memperkukuhkan perpaduan kaum merupakan perjuangan yang tiada bersempadan dan tiada penghujungnya.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata sebagai sebuah negara yang sedang dalam usaha memantapkan proses pembinaan negara-bangsanya, pelbagai usaha sedang dan akan terus dilaksanakan untuk menjamin perpaduan kaum terus dipertahan dan diperkukuhkan.

“Kerana itu kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, memperkenalkan Konsep 1 Malaysia, agar usaha untuk mempertahankan serta memperkukuhkan perpaduan kaum di negara ini terus terpelihara,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Kuih Bulan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pui Hwa anjuran bersama Lembaga Pengurusan Sekolah dan Persatuan Ibubapa Guru sekolah tersebut, di sini malam kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Naib Ketua Umno Bahagian Beaufort, Datuk Kimjus Duim yang mewakili Lajim bagi merasmikan majlis tersebut yang turut dihadiri bekas ADUN Kuala Penyu Datuk John Ghani, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kuala Penyu Haji Mohd.Fazlee Abdullah dan Pengerusi Penganjur Abdul Rahman Mohd.Taib.

Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort, bagi meningkatkan strategi memperkasakan perpaduan melalui konsep 1 Malaysia ini, aktiviti kebudayaan seperti penganjuran program tersebut boleh dijadikan wadah penyatuan masyarakat

Katanya, perpaduan yang ingin dipupuk di negara ini ialah satu keadaan rakyat berbilang keturunan dan agama di Malaysia mempunyai satu perasaan kekitaan dan beridentiti sebagai warganegara dan bangsa Malaysia kerana program seperti ini merupakan antara pendekatan positif bagi menjayakan hasrat menjadikan Malaysia sebagai Negara contoh, yang kental semangat perpaduannya meskipun terdiri dari pelbagai kaum dan agama.

Sementara itu, Datuk Kimjus Duim semasa ditemui selepas majlis ini berkata, jika kerajaan hanya memberi tumpuan kepada soal pembangunan dan ekonomi sahaja tanpa melihat kepada keperluan lain seperti perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama, maka negara akan hancur.

Sehubungan dengan itu katanya, rakyat perlu bersama medokong usaha kerajaan dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu kerana elemen ini cukup penting bagi membina sebuah negara yang maju, aman dan makmur.

“Sebarang elemen yang membawa kepada perpecahan kaum terutamanya yang dimainkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kerana mengutamakan kepentingan peribadi perlu dielak kerana rakyat perlu menolak segala dakyah yang mereka sebarkan,” tambah Kimjus.

No comments:

Post a Comment