Wednesday 29 September 2010

SKIZOFRENIA BOLEH MEMBUNUH



Oleh : RAVICHANDRAN D.J PAUL (Bernama)

RAKYAT Malaysia masih bingung dengan siri pembunuhan mengejutkan dan tahun 2010 mungkin menyerlah sebagai tahun yang banyak menyaksikan pembunuhan gerun yang dilakukan oleh mereka yang siuman dan yang kurang siuman.

Sementara perhatian seluruh negara kini bertumpu kepada pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dengan jenayah itu dirancang, jika ditinjau kembali tahun 2010 juga menyaksikan sebilangan pembunuhan kejam yang dilakukan oleh mereka yang kurang siuman.

Dalam pembunuhan ngeri pertama pada tahun ini, pada 5 Jan lepas seorang lelaki kurang siuman membunuh adik perempuan, bapa, datuk dan nenek di kediaman keluarganya di Kampung Batang Rokan, Gemencheh.

Mangsa-mangsa sama ada dipenggal, ditikam atau anggota mereka putus dalam serangan ganas menggunakan parang.

Pada Ogos, di Teluk Intan, seorang bekas pengawal keselamatan yang menghidap penyakit mental menetak mati isterinya dengan sebilah parang dan menyebabkan kecederaan serius pada anak perempuannya selepas beliau mengamuk.

Sementara kejadian terbaru walaupun membabitkan satu sahaja mangsa, ia tidak kurang ngeri. Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun disembelih oleh bapanya di rumah mereka.

Ketiga-tiga kejadian ini mungkin antara pembunuhan paling ngeri yang dilakukan oleh mereka yang mengalami gangguan psikiatri sehingga ini bagi tahun ini dan ia bukan kejadian terpencil. Sejak bertahun-tahun rakyat Malaysia telah menyaksikan pelbagai tragedi yang disebabkan oleh mereka yang kurang siuman.

Bagaimanapun, dengan 300,000 rakyat Malaysia atau 1 peratus daripada jumlah penduduk dianggarkan mengalami gangguan psikiatri yang dikenali sebagai skizofrenia, dengan sebahagian besar daripada mereka tidak menjalani rawatan, mereka merupakan ancaman besar kepada masyarakat.

JENAYAH MASYARAKAT

Mereka yang mengalami skizofrenia mungkin melakukan jenayah di bawah arahan agresif akibat halusinasi tetapi masyarakat terlepas pandang akan nasib mereka. Adakah mungkin bagi segmen masyarakat siuman membantu mereka yang kurang siuman?

Pakar Perunding Psikiatri Dr Abdul Kadir Abu Bakar, yang juga Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), berpendapat bahawa kesedaran akan penyakit mental seperti skizofrenia dan yang ia boleh dirawati adalah masih rendah.

Lagipun, hak-hak bagi mereka yang mengalami penyakit mental seperti skizofrenia untuk mendapatkan rawatan dan kekal dalam masyarakat sentiasa dicabuli.

Seringkali keluarga dan masyarakat memandang rendah terhadap mereka. Majikan sama ada tidak mahu menggajikan mereka ataupun mengupah mereka dengan gaji yang lebih rendah. Jadi mereka berasa tertekan dan terabai.

Dr Abdul Kadir menunjukkan bahawa terdapat pelbagai ubat-ubatan psikotik yang berkesan untuk merawat mereka yang menghidap skizofrenia dan kadar penyakit ini berulang hanya 1 peratus sahaja. Tetapi ia membabitkan rawatan jangka panjang yang memerlukan komitmen anggota keluarga untuk memastikan mereka meneruskan dengan rawatan susulan.

Rawatan dalam kurungan di institusi-institusi mental sudah pasti bukan pilihan bijak. Intervensi pskikososial berasaskan kepada masyarakat merupakan penyelesaian terbaik untuk memastikan mereka dengan gangguan psikiatri mendapat sokongan masyarakat dan keluarga dalam meneruskan dengan rawatan mereka

Tetapi di Malaysia, ini bukan kes yang berlaku. Hampir 80 peratus daripada pesakit tidak menerima rawatan susulan seringkali kerana tiada sokongan daripada keluarga ataupun atas halangan lain.

Ini satu senario yang membimbangkan khasnya apabila risiko ancaman yang disebabkan oleh seseorang yang mengalami skizofrenia dan tidak mendapat rawatan adalah empat kali lebih tinggi berbanding mereka yang menjalani rawatan. Yang lebih menarik, Dr Abdul Kadir menunjukkan bahawa penagih dadah 20 kali lebih berbahaya daripada mereka dengan skizofrenia.

"Oleh itu masyarakatlah yang melakukan jenayah jika gagal memastikan mereka dengan penyakit mental meneruskan rawatan susulan mereka," kata Dr Abdul Kadir.

Oleh itu apabila pesakit skizofrenia ini tidak dirawat, maka masyarakat juga perlu dipersalahkan bagi jenayah yang disebabkan oleh mereka yang kurang siuman.

CAPAIAN MUDAH KEPADA RAWATAN

Bagaimanapun, Dr Abdul Kadir mengakui bahawa sementara penjagaan kesihatan mental telah disepadukan dengan khidmat utama penjagaan kesihatan sejak 1996, masih terdapat had-had tertentu dalam penyampaian rawatan di luar kemudahan utama kesihatan.

Antara yang menyumbangkan kepada masalah ini ialah 85 peratus daripada dana dan sumber bagi penjagaan kesihatan mental diperuntukan bagi hospital rawatan mental di negara ini - Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan, Hospital Permai di Tampoi, Hospital Sentosa di Kuching dan Hospital Mesra Bukit Padang di Kota Kinabalu.

Oleh itu mereka yang berada jauh atau di luar bandar tidak dapat mencapai penjagaan kesihatan mental.

Sementara itu, Tan Sri Lee Lam Thye yang merupakan anggota Majlis Promosi Kesihatan Mental berkata memandangkan bilangan mereka dengan penyakit mental semakin meningkat, masyarakat harus berhenti daripada mencetuskan stigma terhadap mereka dengan penyakit mental.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga 2006 menunjukkan penyakit mental di kalangan kanak-kanak dan remaja telah meningkat daripada 13 peratus pada 1996 kepada 20.3 peratus pada 2006 dan kepada dewasa daripada 10.6 peratus kepada 11.2 peratus dalam tempoh yang sama.

"Bunuh, serang, amuk dan bunuh diri membabitkan mereka dengan penyakit mental sering berulang dan menjadi peringatan yang golongan ini telah diabaikan oleh masyarakat."

Lee yang menerima Anugerah Pinel 2010 daripada MPA baru-baru ini kerana peranannya dalam mewujudkan kesedaran terhadap kesihatan mental menyeru supaya diambil tindakan untuk menamatkan stigma terhadap pesakit mental dan membawa kesedaran yang lebih lagi mengenai hakikat bahawa gangguan psikiatri boleh dirawat.

Lebih penting, orang ramai mesti sedar bukan semua yang menghidap skizofrenia adalah penjenayah dan mereka sebenarnya sebahagian daripada keluarga atau anggota masyarakat kita. Kesejahteraan mereka menyumbangkan kepada kesejahteraan masyarakat dan keluarga.

No comments:

Post a Comment