Tuesday 7 September 2010

TRANSFORMASI PEKAN MELALAP PADA RMK10



MUNDUR…Sederet kedai lama Pekan Melalap yang mengalami serba kedaifan.

Oleh: MAIL MATHEW

PENANTIAN sekian lama yang menjangkau berpuluh tahun lalu bagi penduduk persekitaran Melalap, Tenom mungkin akan terubat apabila Pekan Kecil Melalap yang sebelum ini rancak diperdebatkan secara terbuka mahupun menerusi media, kini dijangka akan menjadi kenyataan setelah kerajaan memberi jaminan dilaksanakan pada RMK-10.

Malahan pemimpin di Melalap turut merasa gusar di atas kelewatan kelulusan tersebut yang menjadikan rakyat khususnya penduduk Melalap hilang kesabaran lantas menimbulkan pelbagai tanggapan negatif terhadap kerajaan.

“Apapun, kita faham keinginan rakyat di situ bahawa pembinaan pekan kecil Melalap memang menjadi aspirasi kita sebelum ini. (Jadi) Saya amat mengharapkan proses pemilikan tanah daripada Sime Darby selesai dengan segera,” kata Datuk Radin Malleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap ketika dihubungi pada Jumaat lepas.

Tegasnya lagi, pihak kerajaan pada ketika ini sedang giat melakukan proses penilaian kos tanah milik Sime Darby yang terlibat dengan pembinaan pekan tersebut.

Radin yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah menegaskan bahawa, sesungguhnya pihak Sime Darby menyokong penuh hasrat kerajaan atas kehendak rakyat di situ untuk mendapatkan kawasan tapak pembinaan sebuah Pekan Kecil, namun tanah yang terlibat perlu dibeli oleh kerajaan dan bukan secara percuma.

“Kita perlu memahami bahawa di mana-mana sahaj, di dunia sekali pun tidak ada tanah milik sesebuah syarikat gergasi diberi secara percuma dan antara perkara itulah menjadi punca kepada kelewatan melaksanakan hasrat kita selama ini,” tegas Radin.

Hakikat sebenarnya, jelaslah kepada rakyat khususnya di kawasan sekitar Pekan Kecil Melalap bahawa kesungguhan Radin untuk merealisasikan aspirasinya adalah dilakukan dengan begitu gigih yang boleh disifatkan kegigihannya umpama seekor ‘angsa’ yang berenang di kolam yang kelihatan begitu tenang apabila berada di permukaan air.

Namun, jika dilihat dari dasar air kelihatan kelibat kakinya amat rancak mendayung untuk membawa dirinya ke sana sini untuk mencari arah dan tujuannya. Hakikatnya tiada sesiapa pun yang tahu peranan yang dimainkan kaki ‘angsa’ tersebut.

Dalam ertikata lain, bahawa kegigihan beliau dalam memesatkan pembangunan di kawasan DUN Melalap dilakukannya dengan serius namun secara senyap tetapi berisi.

Difahamkan bahawa Pekan Kecil Melalap yang bakal dibina akan mempunyai beberapa deretan kedai, sekolah menengah dan beberapa pejabat agensi kerajaan yang ada hubungkait dengan usaha melonjakkan ekonomi khususnya meningkatkan sumber kuasa beli destinasi baru pelancongan.

No comments:

Post a Comment