Wednesday 13 October 2010

100 KG WAYAR DIRAMPAS DI SEMPORNA



BANTERAS…Anggota kerja SESB kerja-kerja membanteras kegiatan penyambungan haram sedang dilaksanakan.

Oleh: CENDERAMATA HAJI SINTEH

LEBIH daripada 300 buah rumah di 18 kawasan di daerah Semporna telah dikesan melakukan aktiviti penyambungan haram dalam operasi membanteras aktiviti penyambungan haram yang telah dijalankan baru-baru ini.

Operasi ini yang dijalankan selama 10 hari (15–24 September 2010) telah berjaya merampas lebih kurang 100 kilogram wayar pelbagai jenis. Turut dirampas adalah beberapa batang paip air selepas dikesan digunakan untuk menyalurkan atau menyembunyikan wayar-wayar sambungan haram ini.

Didapati juga rumah-rumah yang bermeter di kawasan tersebut turut memberi bekalan kepada rumah yang lain tanpa pengetahuan SESB (membuat perniagaan) dan mengambil punca elektrik secara terus dengan membuat penyambungan talian perkhidmatan (service line) tanpa melalui meter.

Kabel-kabel ini juga turut ditanam di dalam tanah dan tindakan ini tidak selamat dan berbahaya kepada pengguna yang lain termasuk orang awam.

CURI….Distribution box dipagar di salah sebuah kampung yang dikesan terlibat dengan kegiatan ini.

Antara kawasan-kawasan yang dikenalpasti menjalankan kegiatan ini adalah Kampung Panji, Kampung Simunul, Kampung Sejati, Kampung Seri Aman, Kampung Bubul Lama dan Kampung Tunggulangan.

Oleh yang demikian, SESB menasihatkan supaya kerja-kerja yang melibatkan bekalan elektrik perlulah dibuat oleh orang yang kompeten dan berdaftar dengan pihak Suruhanjaya Tenaga (ST). Semua penyambungan bekalan ke premis pengguna hendaklah dibuat melalui SESB.

SESB memohon kerjasama semua pihak yang mengetahui mengenai kegiatan penyambungan haram atau melihat orang yang mencurigakan di dalam kawasan pepasang SESB supaya memaklumkan kepada pejabat SESB yang terdekat atau menghubungi talian 15454/ 088-282455 kerana kegiatan ini boleh menjejaskan sistem pembekalan elektrik sedia ada dan boleh menyebabkan renjatan elektrik kepada pelaku dan atau orang awam.

No comments:

Post a Comment